Khamis, 8 November 2018

Anda Wajib Menonton Filem Operasi X

Alhamdulillah kalau sebelum ini Hans sudah menulis ulasan tentang trailer filem Operasi X. Akhirnya, Hans berkesempatan juga untuk menonton filem Operasi X ini di Amerin Cineplex di Amerin Mall, Seri Kembangan pada 7 November 2018 yang lepas. Jadi, sebelum Hans berkongsi pengalaman Hans sewaktu menonton filem ini, dibawah Hans kongsikan secara ringkas info tentang filem yang penuh dengan aksi yang menarik ini.


Filem:
Operasi X

Pengarah:
Sandosh Kesavan

Genre:
Aksi & Jenayah

Pelakon:
Aaron Aziz, Awie, Dato' Yusuf Haslam, Nasir Bilal Khan, Hairul Azreen & Etc.

Tarikh Tayangan:
1 November 2018

Sinopsis:


Filem ini mengisahkan ASP Redzuan yang sudah tidak percaya lagi dengan pegawai polis yang lain apabila dia menyaksikan sendiri kematian rakan baiknya, Inspektor Aman yang dipercayai terbunuh gara-gara tembakan pihak polis sewaktu operasi menangkap penjenayah dilakukan. Redzuan akhirnya mengambil keputusan untuk berehat buat sementara waktu dengan memutuskan segala komunikasi dengan semua pihak polis dan rakan-rakan lain. Dia mula berhijrah ke sebuah pulau bernama Pulau Aman dan tinggal dengan penduduk disitu sambil menyembunyikan identiti sebenarnya sebagai polis. Namun, Dato' Mokhtar dan Tuan Anwar yang merupakan ketua kepada ASP Redzuan berjaya menjejaki kedudukannya dari Bukit Aman dan meminta Redzuan kembali mengetuai satu operasi untuk menumpaskan Geng Belut. Redzuan pada mulanya enggan untuk kembali bertugas namun berubah fikiran apabila dia mengetahui Geng Belut ada hubung kait dengan kematian rakan baiknya, Inspektor Aman. Berjayakah ASP Redzuan menumpaskan Geng Belut dan menuntut bela atas kematian rakan baiknya? Kalau nak tahu kenalah tonton filem Operasi X ini di pawagam berhampiran anda.

Jadi, disini Hans kongsikan 7 sebab kenapa anda wajib menonton filem Operasi X ini di pawagam berhampiran anda sekarang.


1) Pertembungan Tiga Hero Malaya Berlainan Zaman Idaman Gadis-Gadis Dan Makcik-Makcik Seluruh Malaysia

Gabungan mantap tiga Hero Malaya berlainan zaman iaitu Dato' Aaron Aziz, Dato' Awie dan Dato' Yusuf Haslam pastinya memberikan sesuatu yang menarik untuk naskhah filem ini. Kemunculan Dato' Yusuf Haslam yang mula dikenali di dalam filem Permintaan Terakhir pastinya akan membuatkan anda yang meminati drama Gerak Khas akan turut meminati filem ini kerana setiap kali kemunculan suara beliau di dalam filem ini akan membawa anda mengimbau kembali babak-babak di dalam filem Gerak Khas. Dato' Awie yang gah di dalam filem Sembilu serta beberapa filem bergenre komedi sebelum ini juga pasti akan memberikan anda kejutan kerana mampu berlakon di dalam filem aksi dengan cukup baik. Manakala Dato' Aaron Aziz yang sebelum ini sangat popular di dalam filem Ombak Rindu masih berjaya mengekalkan karakter jiwangnya dengan cukup berkesan dan pada masa yang sama berjaya memberikan aksi pertempuran yang menarik seperti mana di dalam filem KL Gangster.


2) Filem Operasi X menyerlahkan sisi humor dan kejam Dato' Awie

Kemunculan Dato' Awie di dalam filem ini sebagai Belut dan juga dirinya sendiri iaitu penyanyi Awie pasti akan membuatkan anda yang menonton tidak kering gusi kerana terhibur dan bergelak ketawa dengan reaksi, mimik wajah serta dialog yang dilontarkan oleh beliau di dalam filem ini. Lebih menarik, watak yang dipegang Awie ini juga berjaya digabungkan dengan sifat kejam yang sangat dasyat menjadikan watak Belut yang dibawa Awie kali ini betul-betul lain daripada kebiasaan yang dibawakannya. Anda perlu tengok untuk menilai sendiri lakonan hebat Dato' Awie di dalam filem ini. 


3) Babak aksi, letupan, tembakan dan pergaduhan yang sangat menarik

Pengarah Sandosh Kesavan bijak menerapkan elemen-elemen aksi filem Tamil dari Kollywood di dalam filem Operasi X ini dan menjadikan babak-babak aksi di dalam filem ini sangat menarik, mencemaskan dan cukup untuk membuatkan anda teruja. Paling menarik semestinya babak dimana watak Pablo lakonan Hairul Azreen yang memanjat keluar ke dalam lori trelar daripada dalam kereta pasti akan membuat adrenalin anda meningkat secara mendadak. Tidak dilupakan juga babak-babak tembakan dan pergaduhan di sebuah kelab malam kepunyaan Geng Belut yang sememangnya cukup menarik yang melibatkan Aaron Aziz dan Hairul Azreen sendiri.


4) Sinematografi filem ini sangat cantik dan indah

Melihat kepada sinematografi di dalam filem ini, pasti anda yang telah menonton akan terpukau dengan keindahan sudut-sudut kamera yang sangat cantik. Babak yang melibatkan Pulau Aman, feri, kawasan bandar serta rumah banglo di atas puncak bukit sememangnya berjaya divisualkan dalam keadaan yang cukup cantik dan gah. Serius memang rasa puas menonton filem ini apabila visual yang dipaparkan di dalam keadaan yang cantik dan jelas.


5) Pergerakan kamera serta suntingan ala-ala filem Tamil yang memukau

Memandangkan Hans sememangnya penggemar filem Tamil daripada negara India jadi Hans cukup suka melihat pergerakan kamera serta suntingan setiap babak-babaknya yang berjaya menerapkan elemen filem aksi Tamil ke dalam filem Operasi X ini. Jadi, momentum babak aksinya bergerak pantas, jelas dan seronok untuk ditonton.


6) Lagu latar dan skor bunyi yang menepati kriteria setiap babak filem

Filem ini menggunakan lagu latar yang berbeza mengikut situasi serta emosi di dalam setiap adegan filem ini tetapi ianya berjaya membantu penonton untuk lebih merasai apa yang watak-watak ini cuba sampaikan. Paling menarik semestinya lagu latar sewaktu babak-babak aksi menguasai cerita yang mengingatkan Hans kepada filem-filem aksi lakonan superstar Rajinikanth. Layan!


7) Selain babak aksi dan elemen komedi, filem Operasi X juga menyampaikan pelbagai mesej positif yang lain.

Walaupun filem ini dipenuhi dengan babak-babak aksi dan komedi yang menghiburkan penonton tetapi dalam masa yang sama filem ini juga menerapkan elemen kasih sayang, tanggungjawab kepada negara, menjaga kebersihan persekitaran laut serta semangat setiakawan yang tinggi.


Hans sudah selesai menonton filem Operasi X. Anda pula bila lagi? Cepat-cepat pergi menonton sementara filem Operasi X masih rancak lagi ditayangkan di pawagam berhampiran dengan ada. Jadi, Hans ucapkan selamat menonton filem Operasi X dan nikmatilah pelbagai babak aksi serta dialog lucu yang pasti membuatkan anda terhibur ketika menonton filem ini. Sekian!

4 ulasan:

  1. boleh tahan jgk ye filem tu....
    akak kalau filem polis2 i mmg minat... lagi2 bila ada awie...
    dia tu bwk watak kelakar, serius n kadang lembut2 pun jadi je

    BalasPadam
    Balasan
    1. itu akak kena tengok sendiri
      lain orang lain pandangan
      hehehe

      Padam
  2. banyak betul dialog dala gmbo.
    wah awie bawa 2 watak

    BalasPadam
    Balasan
    1. sikit jer tu
      tapi sebab font besar nampaklah macam banyak
      hahaha

      Padam

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com