Sinar Baru Buat Pesakit Anemia Buah Pinggang Yang Kronik

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Minggu ini Hans berpeluang hadir ke majlis pelancaran Program Bantuan Red Bean untuk pesakit buah pinggang kronik yang memerlukan bantuan dimana ia telah dilancarkan oleh Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) atau National Kidney Foundation.


Hans agak tertarik dengan program kali ini kerana terdapat pelbagai perkara menarik yang Hans peroleh berkaitan dengan pesakit buah pinggang. Antaranya ialah masalah yang sering kali melanda pesakit buah pinggang kronik iaitu anemia dimana majoriti pesakit menghadapi kesukaran terutama daripada segi kewangan. Ini kerana untuk menguruskan komplikasi kesihatan akibat penyakit buah pinggang kronik ini memerlukan setiap pesakit secara puratanya membayar lebih daripada RM25,000 setahun untuk rawatan di Malaysia.


Apabila Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) telah mengumumkan usaha mereka melalui Program Bantuan Red Bean yang bertujuan untuk membantu mengurangkan beban kewangan para pesakit buah pinggang kronik yang terjejas teruk terutamanya buat mereka yang berpendapatan rendah, Hans melihat usaha ini bukan sekadar meringankan beban dan masalah mereka tetapi ia adalah satu usaha murni yang wajar diperluaskan dan dikekalkan di masa akan datang. 


Memandangkan bilangan pesakit buah pinggang kronik di Malaysia semakin meningkat dan mereka berkemungkinan besar akan menjalani rawatan dialisis yang mahal seumur hidup maka Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NFK) telah bekerjasama dengan Roche Malaysia yang merupakan pelopor dalam pasaran anemia buah pinggang untuk membantu mengurangkan beban mereka yang memerlukannya. Program ini akan bermula di Lembah Klang mulai 1 Ogos 2019 dan seterusnya akan diperluaskan lagi ke seluruh negara mulai 1 Januari 2020 ini.


Hans turut dibawa melawat dan melihat sendiri suasana serta keadaan pusat dialisis yang terdapat di Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NFK) dimana Hans berpendapat servis yang ditawarkan pihak NFK sangat bagus dan berkualiti setanding dengan pihak hospital swasta. Disini Hans telah dimaklumkan bahawa kebiasaannya pengidap penyakit buah pinggang kronik di Malaysia telah meningkat dari 9.07% kepada 15.5 %2 dimana hampir 40,000 pesakit telah dicatatkan menjalani rawatan dialisis pada tahun 2016. 


Daripada bilangan tersebut, pesakit buah pinggang kronik yang mengidap Anemia pula ada merangkumi 75.8% daripada pesakit pra-dialisis di Malaysia. Dari tahun ke tahun dilihat peningkatannya semakin ketara terutama apabila jangkitan mulai merebak. Sebagai info tambahan, Anemia adalah keadaan di mana hemoglobin atau sel darah merah adalah kurang di dalam darah. Buah pinggang kita pula sebenarnya menghasilkan hormon penting yang disebut eritropoietin (EPO) yang memberitahu badan kita untuk menghasilkan sel darah merah. Walau bagaimanapun, paras EPO akan menurun apabila buah pinggang kita berpenyakit atau rosak. Paras EPO yang rendah seterusnya boleh menyebabkan anemia. Apa yang membuatkan keadaan menjadi bertambah buruk apabila pesakit buah pinggang kronik juga kehilangan darah sewaktu rawatan hemodialisis yang seterusnya mengurangkan tahap hemoglobin mereka.


Jadi, Hans melihat Program Bantuan Red Bean ini akan membantu memenuhi keperluan pesakit buah pinggang yang sememangnya memerlukan rawatan jangka panjang serta melibatkan kos yang sangat tinggi untuk mengekalkan rawatan dialisis terutama bagi mereka yang mempunyai anemia buah pinggang. Tahniah kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NFK) kerana menyediakan sokongan dan rawatan di 28 buah pusat mereka di seluruh negara dimana lebih daripada 1,700 pesakit dialisis telah diuruskan oleh pihak mereka. Hasil bantuan Roche Malaysia sebagai rakan NKF juga sudah pasti akan membantu lebih ramai pesakit selepas ini dimana kos rawatan pesakit akan dikongsi bersama antara pesakit, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NFK) dan Roche. Ini adalah satu langkah hebat dan berita baik buat para pesakit buah pinggang kronik yang memerlukan bantuan seperti ini.


Hans yakin pasti ramai para pembaca yang ingin tahu berkenaan tanda-tanda yang menunjukkan adakah anda berisiko untuk mengidap penyakit buah pinggang ini. Jadi, Hans kongsikan di bawah untuk rujukan anda dan adalah lebih baik jika anda melakukan pemeriksaan lanjut dengan para doktor yang bertauliah di dalam hal ini:

● Air Kencing Berbuih
● Rasa Tidak Sihat
● Kaki Membengkak
● Rasa Yang Teruk Di Dalam Mulut Anda
● Kerap Letih
● Kencing Berwarna Coklat Atau Merah
● Gatal-Gatal Badan


Jadi, sebelum terlewat baik kita cegah terlebih dahulu. Maka, ada beberapa perkara atau langkah yang anda perlu amalkan untuk mengelakkan daripada tergolong sebagai pesakit buah pinggang kronik. Antaranya ialah:

● Sentiasa Melakukan Pemeriksaan Tekanan Darah Secara Berkala
● Kawal Tekanan Darah Dengan Pemakanan Seimbang
● Jangan Sembunyikan Sejarah Tekanan Darah Tinggi Atau Penyakit Buah Pinggang Yang Dialami Oleh Ahli Keluarga Anda Daripada Pengetahuan Doktor.
● Sentiasa Peka Terhadap Perubahan Warna Pada Air Kencing Anda.
● Sentiasa Aktif Dan Kekalkan Berat Badan Yang Seimbang.
● Minum Air Di Dalam Kuantiti Yang Mencukupi Dan Disarankan.
● Jangan Merokok.
● Kurangkan Pengambilan Gula, Garam Dan Kafein Di Dalam Makanan Serta Minuman.


Hans yakin jika kita peka dengan permasalahan penyakit buah pinggang kronik ini dan mengamalkan gaya hidup sihat maka kita dapat mengelakkan daripada menjadi sebagai salah seorang pengidapnya. Namun, kepada mereka yang disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik ini dan pada masa yang sama turut mengalami masalah kewangan akibat kos rawatan yang tinggi dan membebankan maka pastikan anda berkunjung ke Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NFK) atau menghubungi pihak mereka bagi mendapatkan maklumat serta info lanjut berkaitan dengan Program Bantuan Red Bean ini.


Untuk maklumat lanjut berkaitan Program Bantuan Red Bean, anda boleh layari laman web Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NFK) seperti yang tertera dibawah :

Laman Web:


Diharapkan berita gembira berkaitan Program Bantuan Red Bean ini disebarkan oleh anda yang telah membacanya agar maklumat ini sampai kepada lebih ramai orang terutama kepada para pesakit buah pinggang kronik yang menghidap anemia. Semoga usaha murni ini dapat membantu meringankan beban lebih ramai pesakit buah pinggang selepas ini. Tahniah buat pihak Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) dan Roche Malaysia atas kerjasama hebat ini.

2 Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

  1. moga bermanfaat pd yg memerlukan

    BalasPadam
    Balasan
    1. sebar-sebarkan kepada kenalan yang mempunyai masalah buah pinggang atau ahli keluarga mereka yang ada masalah ini

      Padam

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama