Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Untuk makluman semua, baru-baru ini Hans telah menghadiri majlis pelancaran Album “Dekati” yang menampilkan puteri rock yang berpangkalan di Australia, JessC dan diva legenda Malaysia Fauziah Latiff (Jee).
Sangat menarik kerana ini merupakan penampilan kali pertama mereka berduet secara langsung menerusi lagu baharu “Tak Terpisah” di majlis pelancaran album Dekati. Persembahan penuh emosi ini berjaya merentas sempadan budaya dan kaum, menggetarkan hati penonton serta disambut dengan tepukan gemuruh yang tidak putus-putus.
Walaupun album masih belum dilancarkan secara rasmi, lima buah video muziknya telah mencecah lebih 6 juta tontonan di YouTube malah mencetuskan fenomena di Indonesia dengan pelbagai liputan media dan temu bual eksklusif. Video muzik “Tak Terpisah” telah dirakam di Malaysia dan dihasilkan oleh pasukan produksi dari Australia bersama pengarah dari Amerika Syarikat. Kolaborasi ini berakar dari konsert sedekad yang lalu, apabila Jee dijemput sebagai tetamu khas dan hubungan mereka sebagai sahabat muzik terus terjalin sejak itu.
Majlis dimulakan dengan tayangan beberapa video muzik pilihan JessC, termasuk “Demi Impian,” “Dekati,” “Satu Suara Raya,” “Expose” dan single terbaharu “Tak Terpisah,” yang membangkitkan nostalgia serta semangat dalam kalangan peminat. Kemuncak acara sudah tentu apabila JessC dan Jee bergandingan di pentas menyampaikan “Tak Terpisah” secara langsung. JessC tampil anggun dalam busana tradisional Melayu serba putih manakala Jee menyerlahkan aura diva dengan gaya kuda ekor tinggi yang kemas.
JessC mendedahkan bahawa beliau telah lama menyukai lagu-lagu Melayu sejak kecil, dan sudah mengagumi Jee sejak sedekad lalu. Beliau berterima kasih kerana pernah diberi peluang menyanyikan lagu ikonik Jee, “Dia,” dan sentiasa mengimpikan untuk berduet bersama idola tersebut. Kini impian itu akhirnya menjadi kenyataan melalui kolaborasi istimewa ini.
Jee pula berkongsi tentang air matanya terus mengalir sewaktu pertama kali mendengar demo 'Tak Terpisah' dimana beliau menyatakan lagu ini sangat berjiwa dan penuh nilai positif. Melodi dan liriknya menyentuh hati serta menyampaikan mesej tentang kasih sayang, hormat, perpaduan dan kehidupan. Ia adalah lagu yang boleh meresap ke dalam hati setiap orang. JessC pula berkongsi bahawa dua lagi lagu duet sedang dalam perancangan dimana salah satunya sebuah lagu rancak bertajuk “Kawan Baik.”
Kini, album Dekati bukan sahaja mencipta impak di Malaysia, tetapi turut mendapat sambutan hangat di Indonesia. Ia membuktikan bahawa karya seni boleh melangkaui sempadan negara dan menyatukan pelbagai budaya. Dari pertemuan pertama hingga kini berdiri di pentas yang sama, kerjasama antara JessC dan Jee adalah kisah persahabatan, kekaguman dan keharmonian yang sungguh menyentuh hati.
Catat Ulasan
Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com