Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Untuk makluman semua, baru-baru ini Hans telah menghadiri majlis pengumuman Konsert We 4U2C yang bakal mengubati rindu peminat kumpulan rap legenda 4U2C yang pernah mencipta fenomena dalam dunia hip-hop Malaysia pada tahun 90-an.
Sudah hampir tiga dekad tidak membuat persembahan di pentas besar, konsert ini akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, Selangor pada 15 September 2025. Ini merupakan platform terbaik buat kumpulan 4U2C untuk kembali membuat 'comeback' bagi mengubati kerinduan peminat mereka.
Mengangkat tema Bringin’ Back Da 90’s Flava, konsert ini bakal menggamit memori indah gaya dekad 90-an sewaktu nama 4U2C sedang meningkat naik. Menurut anggota kumpulan 4U2C iaitu Datuk AC Mizal, konsert yang dianjurkan kali ini tercetus hasil daripada idea isterinya, Datin Emylia Rosnaida dan menganggap tawaran daripada pihak Juss Event Sdn. Bhd. tiba tepat pada masanya. Malah AC serta ahli kumpulan lain berjanji akan melakukan persembahan yang terbaik demi peminat mereka yang hadir pada malam konsert itu nanti.
Bukan mahu mencipta sejarah, sebaliknya objektif kumpulan ini adalah untuk menjadi trendsetter buat penyanyi mahupun kumpulan muzik lain. Jelas AC, Malaysia mempunyai ramai penyanyi berbakat dan berkualiti, jadi konsert 4U2C ini akan menjadi momen untuk membuktikan perkara tersebut kerana kumpulan 4U2C adalah kumpulan pertama yang tampil berbeza dengan menyanyi sambil menari.
AC turut memberitahu kumpulan 4U2C juga akan melancarkan tiga buah single baharu untuk tahun ini dimana lagu-lagu yang dikeluarkan akan menampilkan sisi baharu kumpulan itu yang seiring dengan peredaran zaman. Bukan sekadar sebuah persembahan muzik, konsert We 4U2C ini juga dilihat sebagai satu penghargaan kepada legasi yang ditinggalkan mereka dalam landskap muzik di Malaysia. Selain AC, 4U2C mempunyai enam ahli lain iaitu Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam.
Sementara itu, komposer terkenal iaitu Aubrey Suwito bakal menggalas tanggungjawab sebagai pengarah muzik bagi konsert WE 4U2C dengan dibantu barisan pemuzik profesional dan berpengalaman dalam industri. Aubrey memulakan perjalanan muziknya pada usia 6 tahun dan telah banyak bekerjasama dengan ramai artis ternama, hasilnya dia berjaya meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam industri muzik.
Konsert WE 4U2C yang dianjurkan oleh Juss Event Sdn. Bhd. ini mendapat kepercayaan serta tajaan daripada syarikat Millennium Group. Manakala syarikat Giant Malaysia merupakan rakan kongsi bagi pengaktifan runcit serta Uncle Jack sebagai rakan rasmi bagi makanan dan minuman. Selain itu, konsert ini turut menerima sokongan daripada stesen radio Era, Sinar, Gegar dan Mix sebagai rakan radio rasmi, manakala Astro Gempak sebagai rakan kongsi media digital rasmi bagi membantu mempromosikan acara ini kepada khalayak.
Harga tiket WE 4U2C ini bermula daripada:
- RM155 (Berpisah Jangan)
- RM355 (Kembalilah Fiona)
- RM455 (Video Games)
- RM505 (Kami Rappers)
- RM555 (Fiona) bagi tingkat bawah.
Manakala harga tiket bagi tingkat atas pula:
- RM255 (Kenangan Cinta & Persahabatan)
- RM355 (I Miss U)
- RM405 (Dusta)
- RM505 (Dynamite)
Tiket tersebut akan mula dijual pada 30 Jun ini, melalui platform Ticket Empire dan Fantopia. Peminat 4U2C digalakkan untuk mendapatkan tiket awal kerana permintaan konsert ini dijangka mendapat sambutan yang sangat tinggi.
Malah selain pembayaran melalui perbankan dalam talian, peminat juga boleh membeli tiket dengan kaedah ‘beli dahulu bayar kemudian’, menerusi Atome, Pay Later by Grab dan Shopee Pay Later.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Juss , manakala bagi perkembangan semasa mengenai konsert boleh lawati media sosial Juss.Events di aplikasi Instagram, Facebook dan TikTok.
Catat Ulasan
Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com