Mari Makan Buah Tomato!
Sewaktu saya kecil dahulu sebutlah apa saja jenis sayur pasti tak terlintas pun di hati saya nih nak merasa walaupun secubit kecuali ubi kentang, daun bawang, bawang goreng, kucai, timun dan salad. Saya merasakan makan sayur sewaktu kecil seperti dipaksa memakan racun tikus! Bertambah deritanya hidup saya apabila sewaktu tingkatan 1 saya sudah terpaksa menetap di asrama sekolah kerana semua pelajarnya diwajibkan tinggal di asrama walaupun jarak rumah dengan sekolah hanya sehasta.
Apabila tinggal di hostel, saya tidak boleh lagi bersifat pemilih kerana jika tidak makan maka saya akan kelaparan atau lebih tepat lagi kebuluran. Saya dihidangkan dengan sayur - sayuran yang berlonggok - longgok di dalam dulang seperti sayur sawi, bayam dan kangkung . Apatah lagi apabila ada pelajar lain yang mengadu terjumpa ulat sayur sebesar jari kelingking serta paku dan sebagainya sehingga membuatkan saya semakin anti untuk memakan sayur - sayuran.
Keluarga saya selalu berleter kepada saya kerana tidak mahu makan sayur. Ditambah pula alahan kulit saya yang memang teruk hingga membuatkan tangan dan kaki saya bergerutu sewaktu itu menguatkan lagi leteran mak dan abah saya. Tapi, apa boleh buat! Saya tidak mampu untuk menelan sayur - sayur sebegitu! Tekak terasa seperti tersekat sewaktu mahu menelannya!
Akhirnya, saya belajar memakan sayur - sayuran cuma masih ada sayur yang saya tak mampu lagi nak telan seperti terung dan labu. Sekarang saya sangat suka makan sayur. Siapa sangka saya yang dahulunya manusia anti sayur berubah kepada manusia yang fanatik pada sayur - sayuran. Antara sayur kegemaran saya ialah ubi kentang, brokoli dan tomato. Saya suka makan tomato mentah. Maksudnya disini jika tomato itu dimasak sehingga menjadi lembik maka saya tidak ada selera untuk menjamahnya.
Apa yang saya perasan ialah saya sangat meminati tomato sewaktu saya kerap makan di luar! Setiap hidangan nasi goreng apatah lagi nasi ayam mesti ada beberapa hirisan tomato dan yang pastinya saya tanpa segan silu akan meminta lebih hirisan tomato itu sehinggakan para peniaga yang sentiasa berurusan dengan saya sanggup memberi sebiji atau dua biji tomato yang dipotong dua kerana saya sangat menyukai tomato.
Seperti di Melaka dimana saya suka makan nasi ayam di kedai Haji Nikmat di hadapan Uitm Lendu, peniaga di kedai itu yang saya bahasakan dirinya sebagai nenek juga sudah faham dengan kehendak saya. Tomato pasti akan diberi lebih tanpa menaikkan sedikit pun harga makanan. Sebentar tadi juga saya baru melantak sebiji besar tomato mentah di Restoran Ummi di Seksyen 7!
Tomato atau nama saintifiknya Iycopersicon Esculetum sangat kaya dengan anti-oksida dan juga mengandungi vitamin A dan C, zat besi, serat yang baik untuk badan. Disamping itu tomato juga mengandungi fruktosa, glukosa, asid folik, potasium, kalsium dan mineral.
Tomato ialah sejenis sayur buah berwarna merah dan boleh dimakan secara mentah ataupun dimasak bersama makanan lain seperti sup, tomyam, kari, dalca dan sebagainya. Untuk pengetahuan anda, tomato turut membekalkan kita 40 peratus daripada keperluan harian vitamin C dalam badan kita.
Kelebihan Tomato :-
1) Mengurangkan risiko barah prostat di kalangan lelaki.
2) Mengurangkan jerawat dan merawat penyakit kulit.
3) Membersihkan kulit muka dan mengecilkan liang roma.
4) Membantu memulihkan kesihatan sel dan tisu badan.
5) Melancarkan perjalanan darah.
6) Menghalang bengkak dan radang.
7) Menguatkan sistem pertahanan badan.
8) Mengurangkan risiko kanser.
Jadi, mulakan hidup sihat dengan memilih tomato sebagai makanan wajib anda setiap hari.
P/S :
Ada Tak Syarikat Perusahaan Tomato
Yang Mahu Menjadikan Saya Sebagai Duta Anda?
Hubungi Saya Segera Yer!