Wang Kertas RM600 Terbesar Di Malaysia
Hans Hanis
Rabu, Januari 31, 2018
82
Assalammualaikum semua! Alhamdulillah hari nih Hans tersangat lah gembira sebab Hans berjaya melengkapkan koleksi Pengeluaran Wang Kertas Peringatan Bersempena Dengan Ulang Tahun Ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Mungkin masih ramai yang tak tahu atau tak pernah tahu tentang koleksi nih kan?
Jadi, Hans kongsikan sedikit tentang info maklumat berkaitan koleksi ini yang diperoleh dari Bank Negara Malaysia seperti di bawah :
Bank Negara Malaysia mengeluarkan wang kertas peringatan bersempena dengan Ulang Tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Wang kertas peringatan ini dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V di Muzium dan Galeri Seni, Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
Wang kertas ini memperingati Ulang Tahun ke-60 upacara menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Wang kertas peringan ini merupakan tanda penghormatan terhadap sumbangan Majlis (kemudiannya dikenali sebagai Persidangan) Raja-Raja yang merintis jalan ke arah merealisasikan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Perjanjian bertarikh 5 Ogos 1957 yang mengisytiharkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani antara pihak Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada Raja-Raja Melayu dari Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu dengan Sir Donald MacGillivray, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, yang mewakili Queen Elizabeth II. Perjanjian ini menjadi bukti perlembagaan yang bersejarah bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Jadi, untuk membeli wang kertas nih bukannya pergi terus ke Sasana Kijang nih dan beli. Sebenarnya, Bank Negara Malaysia telah pun memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia dan juga rakyat mana-mana negara di dunia ini untuk wang kertas ini melalui tempahan dalam talian online pada 29 Disember 2017 yang lepas dan tempahan ditutup pada 19 Januari 2018.
Keputusan undian pula diumumkan pada 25 Januari 2018 dan pengambilan wang kertas ini boleh diambil bermula pada tarikh keputusan diumumkan sehingga tarikh akhir 28 Februari 2018 ini. Jadi, memang banyak betul lah orang tempahkan dan bila keputusan diumumkan Hans cuma dapat wang kertas RM60 sekeping. Jadi, terpaksa lah Hans merayu meraih simpati kawan-kawan yang dapat lebih wang kertas nih. Alhamdulillah berjumpa dan harga pun tak adalah depa naikkan banyak sangat.
Maka, Hans pun pergilah ke Sasana Kijang Bank Negara Malaysia untuk mengambil wang-wang kertas Hans nih.
Selain di Sasana Kijang, pejabat Bank Negara Malaysia nih ada beberapa cawangan lagi seperti di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu. Macam Hans mesti pergi ke Sasana Kijang sebab dah nama pun duduk dekat Kuala Lumpur. Hehehe!
Hans pergi ke sini hari Sabtu sebab fikir macam tak sibuk. Sekali ramai pula manusia! Bila nak masuk dalam nih memang langkah-langkah keselamatan mereka ketat. Semua beg tak kira lah beg tangan ker beg galas ker beg plastik ker....asal nama beg memang akan diperiksa dekat setiap check point yang terdapat di dalam tu. Jadi, kalau sesiapa yang tak suka diperiksa berulang kali tu elakkan bawa beg.
WANG KERTAS SEKEPING RM60
WANG KERTAS BERCANTUM RM60 (3 DALAM 1)
KOTAK WANG KERTAS SEKEPING RM600
INILAH WANG KERTAS RM600
Cantik gila kan reka bentuk dan warna wang kertas nih? Hehehe! Tetapi, mesti ada yang tak tahu apakah makna setiap reka bentuk dekat wang kertas. Jadi, Hans kongsikan lagi info daripada Bank Negara Malaysia nih :
REKA BENTUK WANG KERTAS
Reka Bentuk Wang Kertas peringatan ini berdasarkan tema "Raja Payung Kedaulatan Negara". Wang kertas peringatan ini adalah yang pertama dicetak oleh Bank Negara Malaysia menggunakan bahan substrat komposit, iaitu gabungan substrat polimer dan kertas yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih tinggi dan jangka hayat yang lebih panjang. Wang kertas peringatan ini dicetak lebih besar, mengikut nilai muka wang tersebut.
REKA BENTUK HADAPAN
Singgahsana di-Raja dikelilingi potret 15 Yang di-Pertuan Agong yang bertakhta dari tahun 1957 sehingga kini tertera pada bahagian tengah wang kertas, melambangkan Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan. Reka bentuk hadapan diilhamkan daripada lambang bulan sabit dan bintang pecah 14 Persekutuan yang tersemat pada Tengkolok Diraja.
REKA BENTUK BELAKANG
Reka bentuk bahagian belakang wang kertas peringatan ini memaparkan potret sembilan Raja-Raja Melayu yang menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957. Kesemua wang kertas peringatan ini dihiasi dengan gambar tokoh-tokoh dan ciri-ciri penting yang berkaitan dengan kemerdekaan. Pada bahagian kanan wang kertas ini terdapat bayangan laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan arkitek Kemerdekaan Tanah Melayu dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Terdapat empat mercu tanda penting yang dicetak pada latar belakang wang kertas ini : Istana Negara, Perdana Putra, bangunan Parlimen dan Istana Kehakiman yang masing-masing mencerminkan empat tonggak negara : Institusi Pemerintahan Beraja, Badan Eksekutif, Badan Perundangan dan Badan Kehakiman.
Jadi, dibawah ini Hans kongsikan lagi dengan korang semua tentang reka bentuk, ciri-ciri keselamatan, spesifikasi, kuantiti tempaan dan juga nilai harga untuk setiap jenis.
Jadi, banyak soalan dari kawan-kawan Hans tentang wang kertas nih. Jadi, rasanya dengan entry kali ini dah menjawab soalan-soalan tersebut. Jadi, kepada sesiapa yang hobi suka kumpul wang kertas dan syiling tu, pastinya wang kertas ini wajib ada di dalam simpanan korang. Selamat membeli dan mengumpul yer.
P/S : Ketika entry ini ditulis, nilai wang kertas RM600 ini yang pada asalnya dijual dengan harga RM1700 telah melonjak naik dengan begitu hebat sekali. Paling mahal Hans dengar dijual sekarang ialah hampir RM3000. Menangis Hans dengar!