Jumaat, 23 November 2018

Permainan Menarik Di MYBestBox Malaysia

Assalammualaikum dan salam sejahtera semua. Seperti yang dijanjikan Hans akan kongsikan pengalaman Hans sewaktu berada di MYBestBox baru-baru ini. Jika anda telah membaca artikel MYBestBox Malaysia sebelum ini pasti anda sudah sedia maklum tentang lokasi tarikan terbaru ini yang terletak di Berjaya Times Square dan menawarkan lebih 40 permainan yang cukup menarik dan menghiburkan para pengunjungnya.
Pengalaman dapat bertemu dan menikmati permainan disini bersama rakan-rakan media yang lain sememangnya sangat menghiburkan. Jadi, MYBestBox Malaysia telah menawarkan kepada anda tujuh daya tarikan utama yang wajib anda cuba apabila berkunjung ke sini iaitu :

1. VS Hall : Kawasan tarikan utama dimana anda boleh mencabar rakan-rakan atau ahli keluarga untuk bermain pelbagai permainan menarik yang cukup menghiburkan.

2. The Dry Pool : kawasan ini mendapat inspirasi daripada Northern Lights dimana anda akan mendapat pengalaman baru kerana merasai kecantikan cahaya auroro yang bersinar daripada ribuan bebola kristal yang terdapat di kawasan ini.

3. Crazy Kartz : Kawasan ini menyediakan permainan Go-karts tetapi di dalam versi yang dinaik taraf untuk membuatkan anda merasai kelainan yang menarik saat berlumba dengan rakan anda.

4. Kiddy Zone : Kawasan istimewa untuk kanak-kanak yang berwarna-warni dan dipenuhi dengan pelbagai permainan yang menairk dan bersesuaian dengan mereka.

5. Rage Room : Sebuah kawasan unik dan pertama kali di Malaysia dimana terdapat sebuah bilik yang membenarkan anda untuk memusnahkan pelbagai barangan yang anda pasti tidak pernah lakukan sebelum ini.

6. Party Room : Kawasan ini dilengkapi dengan PlayStation, Nintendo Switch, papan permainan dan karaoke. Selain itu, kawasan ini juga berdekatan dengan tiga tarikan utama yang lain iaitu VS Hall, The Dry Pool dan Kiddy Zone.

7. The Box : Kawasan seluas 2000 kaki persegi ini mampu memuatkan hampir 350 orang dalam satu-satu masa dan sesuai untuk diadakan majlis-majlis tertentu seperti seperti parti, pelancaran produk, seminar dan sebagainya. The Box menyediakan set lengkap lampu, sistem suara serta dekorasi yang bersesuaian dengan majlis yang dianjurkan.
Video di atas ialah video promo daripada pihak MYBestBox untuk anda lihat sendiri tentang beberapa permainan serta kemudahan yang terdapat di lokasi yang menarik ini. Jadi, mari lihat bagaimana pula pengalaman Hans sewaktu berada disini.
Gambar di atas merupakan gambar untuk kawasan The Dry Pool. Bukan sahaja menarik perhatian kanak-kanak tetapi turut membuatkan warga emas serta remaja separa purba seperti Hans ini berasa teruja melihat bagaimana permainan dan keindahan cahaya serta warna dimanfaatkan di dalam kawasan ini. Seperti yang anda boleh lihat sendiri, kawasan The Dry Pool ini memang sangat cantik dan mendamaikan. Bukan sahaja sesuai untuk bermain serta bergembira bersama anak-anak atau rakan-rakan tetapi juga sangat sesuai untuk anda bergambar sebagai kenang-kenangan di kawasan ini.
Gambar di atas pula menunjukkan satu kawasan permainan yang diberi nama Human Claw. Konsep permainan ini sama seperti mana anda main mesin permainan yang anda masukkan duit dan selepas itu cuba menangkap patung beruang atau apa-apa yang anda ingin dengan mengawal besi di dalam mesin itu. Cuma untuk permainan ini, anda akan bertindak sebagai besi dan di kawal oleh orang lain untuk menangkap mainan-mainan serta patung beruang yang terdapat di dalam bekas Human Claw ini. 
Seperti video di atas, anda dapat lihat bagaimana Izzue Islam bermain permainan ini. Mudah dan sangat menghiburkan kerana pengalaman bermainan permainan unik ini memang susah kita nak jumpa di tempat lain dekat Malaysia ini. Jadi, dekat MYBestBox ini semua angan-angan anda itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Hahaha!
Hans namakan permainan ini 'Roda Impian' sebab boleh putarkan mangsa-mangsa yang 'melekat' dekat 'perisai Captain America' ini. Nampak tak kekejaman muka Hans disitu dapat membuli saudara Otto yang kepeningan selepas berjaya dipusing 360 darjah dengan bergayanya. Ikutkan Hans nak pusing tanpa henti benda alah ini dalam lima minit macam tu tetapi telah dihalang oleh orang ramai yang risaukan nyawa manusia yang sedang melekat seperti pada gambar di atas. Ditambah pula reaksi wajah saudara Dboy yang memakai topi dengan mulut ternganga seperti manusia kanibal yang sedang kelaparan memang berjaya menimbulkan kerisauan pengunjung yang lain. Haha!
Video di atas adalah hasil suntingan saudara Otto yang begitu bersemangat berkongsi pengalamannya sewaktu berada di MYBestBox ini. Jadi, anda boleh tengok lah saudara Otto jadi kanak-kanak Ribena sikit dalam beberapa permainan yang dia sempat main. Paling penting kena tengok waktu dia main 'Roda Impian @ Shield Captain America' tu. Hahaha!
Permainan seterusnya ini diberi nama 100M Race. Nampak tak dekat gambar di atas ada empat petak hitam dekat tikar rumput tu? Hah, itulah tempat anda kena berdiri dan berlari setempat selaju yang boleh untuk menggerakkan bola dan memastikan kemenangan berpihak kepada anda. Serius memang kelakar betul main permainan ini sebab macam-macam aksi berlari yang anda dapat lihat nanti. Hehehe!
Permainan ini pula bernama Human Ping Pong yang boleh dimain oleh enam orang. Konsepnya sebenarnya macam main bola sepak tetapi anda kena tiup bola itu. Permainan ini agak berisiko dan pada waktu yang sama memberi kelebihan bagi sesiapa yang menghadapi masalah mulut berbau sebab mesti anda boleh menang punya sebab waktu anda tiup pasti yang lain semua lari menyelamatkan diri. Cuma risikonya mungkin selepas itu anda akan dijumpai di kawasan parkir kereta di dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana dibelasah beramai-ramai. Hahaha! Jadi, pastikan anda berus gigi atau makan gula-gula getah sebelum main permainan ini agar udara yang keluar daripada mulut anda membuatkan pemain yang lain berasa aman dan tenang.
Recharge merupakan kawasan untuk anda membeli makanan dan minuman untuk memberi kembali tenaga anda yang hilang sama ada ketika bermain permainan-permainan disini atau pun semasa anda menjadi tukang sorak kepada rakan-rakan dan ahli keluarga anda.
Salah satu permainan yang membuatkan Hans sangat teruja ialah Rain Biking dimana terdapat dua kumpulan yang akan berlawan sesama mereka dengan mengayuh basikal yang disediakan dengan selaju dan sepantas yang boleh untuk memastikan kumpulan anda menang dan mengelakkan anda serta rakan sepasukan daripada basah lencun dihujani oleh limpahan air daripada atas.
Jangan risau pakaian yang anda pakai basah kerana disediakan baju hujan yang tebal untuk menyelamatkan pakaian serta solekan anda daripada musnah dek kerana limpahan air yang turun mencurah-curah daripada atas. Serius anda sangat rugi kalau datang ke MYBestBox tetapi tak main permainan yang sangat kreatif ini. Wajib cuba yer!
Permainan seterusnya ini ialah Whack Mole. Hans kongsikan satu tips dengan anda semua. Kalau nak main permainan ini, baik anda pilih untuk jadi Farmer. Selepas itu sesiapa rakan anda yang anda rasa macam tak puas hati atau nak balas dendam tu, suruh dia jadi Moles. Kemudian apabila bermula sahaja permainan ini, hang ketuk lah puas-puas kepala dia Cik Nab oiiii!! Serius rasa puaih hati bak hanqq masa tu! Tak percaya cuba buat apa yang Hans kata ini! 
Permainan seterusnya ialah Crazy Soccer. Cara main pun mudah tetapi menghiburkan iaitu anda sepak bola anda dan kemudian tengok lah pada akhirnya bola yang anda sepak itu masuk dekat ruang markah yang mana satu. Memang riuh punya kalau main permainan ini nanti. Jangan sepak bola pergi tempat lain sudah lah yer! Haru biru jadinya nanti! Haha!
Gambar di atas itu sebenarnya memaparkan lokasi dua permainan tetapi Hans tertarik dengan permainan Challenge Track dimana anda kena pakai baju maskot yang membuatkan tiba-tiba badan anda menjadi bulat. Kemudian anda kena melalui kawasan trek yang mencabar ini. Kalau tak pakai pakaian maskot memang nampak trek ini mudah. Tetapi, apabila anda pakai memang anda tahu betapa mencabarnya trek ini. Hahaha! 
Permainan seterusnya ialah Ball Frenzy dimana permainan ini pun menarik untuk dimainkan secara berpasukan. Dimana salah satu kumpulan akan menghantar wakil untuk mengumpul bola menggunakan bakul serta membantunya memberi arah. Manakala pasukan pula akan cuba mengelirukan si pengumpul bola tadi. Memang meriah kalau main permainan ini.
Permainan seterusnya yang membuatkan Hans turut berasa teruja ialah permainan yang diberi nama Balloon Wars. Pemenang permainan ini ditentukan melalui belon. Kalau belon anda tidak pecah maka andalah pemenang yang dicari. Permainan ini lagi seronok kalau dapat main dengan orang yang melatah. Mana tak nya sebab memang pasti melatah punya apabila belon ini pecah. Hans yang tak melatah ini pun terkejut sebab belon yang dipakai atas kepala itu memang saiznya jadi besar gila sebelum pecah. Hehehe!
Boleh tonton video di atas untuk menyaksikan sebuah perlawan epik yang sangat menggerunkan. Kalau tak percaya sila lihat sendiri!

Sepatutnya pakaian itu kembang sebab angin tetapi Hans sebab nak sarung untuk bergambar sahaja jadi pakaian jadi macam itu lah. Hahaha! Seronok tengok sarung tinju dekat sini besar-besar semuanya. Itu yang semangat nak ambil gambar dengan pakaian untuk permainan Balloon Wars ini.



Permainan seterusnya yang menjadi antara tumpuan utama rakan media ialah Crazy Karts. Seperti biasalah apabila main permainan Go Karts ini memang masing-masing naik 'Syeikh' lah. Seronok bawa Go Karts sambil berpusing-pusing penuh bergaya. Ini antara permainan yang wajib anda main apabila berkunjung ke MyBestBox ini. Rugi lah kalau sudah bayar duit tiket masuk tetapi tak main kan.
Rage Room merupakan sebuah bilik yang sangat sesuai untuk sesiapa yang ingin hilangkan tekanan di tempat kerja atau apa-apa perkara lah yang mengundang rasa sakit hati atau geram di dalam diri anda
Dekat dalam Rage Room nanti anda boleh memecahkan pelbagai jenis barang. Masa ini tak ada mana-mana manusia pun nak marah hang Cik Joyah weh. Hang nak katok botoi ka gelas ka apa ka....ikut suka hang lah masa nih! Bab keselamatan jangan risau sebab para pekerja MYBestBox akan memastikan anda memakai pakaian keselamatan serta aksesori yang berkaitan untuk melindungi diri anda daripada serpihan barang-barang yang pecah ini. Jadi, kepada sesiapa yang rasa macam geram gila dekat bos hangpa tetapi memang tak lah kan hangpa nak pukul bos sendiri maka datanglah kesini. Anggap sahaja barang-barang yang nak dipecahkan ini ibarat bos hangpa lepas tu lepaskan geram tersebut. Hans jamin mesti anda akan tersenyum lebar selepas keluar daripada Rage Room ini.
Video di atas adalah hasil suntingan saudara Dboy yang sememangnya bangga dapat berkongsi pengalamannya sewaktu berada di MYBestBox ini. Jadi, anda boleh tengok lah saudara Dboy turut tidak terkecuali menjad kanak-kanak ribena sewaktu berada di bahagian The Dry Pool. Hahaha!

MYBestBox

Alamat:
Lot 06-99,
Level 6, Berjaya Times Square,
No. 1, Jalan Imbi,
55100 Kuala Lumpur,
Malaysia.

Waktu:
7.00 P.M - 10.30 P.M

Nombor Telefon:
+603 2775 5117

Untuk Tempahan Korporat:
+6019 381 1090

Email:
info@mybestbox.com.my

Laman Web:
MY Best Box

Laman Facebook:

Hans sekali lagin ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak MYBestBox dan juga pihak Tourism Malaysia kerana memberikan Hans peluang untuk menikmati dan bermain pelbagai permainan menarik yang terdapat di sini. Jadi, memandangkan musim cuti sekolah pun sudah tiba maka kepada ibu bapa di luar sana itu boleh lah datang ke MYBestBox yang terletak di Berjaya Times Square ini bersama anak-anak untuk sama-sama bercuti dan merapatkan hubungan kekeluargaan. Kepada para remaja atau yang bujang itu pula, datang lah ke sini bersama rakan-rakan anda untuk mencuba pelbagai permainan yang pasti buat anda semua ceria. Semoga terhibur apabila anda ke sana nanti. Sekian!

P/S : MYBestBox Sememangnya Sebuah Daya Tarikan Terbaru Di Kuala Lumpur Yang Wajib Untuk Anda Kunjungi.

4 ulasan:

  1. wah bestnya boleh hilang stress ni hahaha

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      serius memang boleh hilang stress
      tambah-tambah dekat Rage Room tu
      hahaha

      Padam
  2. wahhhh menariknya, selalunya bdk2 kecik je ada playground gini tp ni playground utk kanak2 dewasa hehehehe...
    syok jgk layan tgk permainan2 yg ada... compom penuh ngn gelak tawa

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      yups
      Hans masa dekat sini pun ketawa tak henti-henti
      hahaha

      Padam

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com