Rabu, 28 November 2018

Zoo Taiping Night Safari

Assalammualaikum semua. Kali ini Hans nak berkongsi tentang lokasi kedua persinggahan program Jelajah Media bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC) dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) yang berlangsung pada 23 hingga 24 November 2018 yang lepas iaitu Zoo Taiping & Night Safari yang sangat menyeronokkan.


Untuk maklumat semua pembaca blog hanshanis.com sekalian, Zoo Taiping & Night Safari merupakan sebuah muzium yang sangat menitikberatkan kebajikan haiwan serta memastikan setiap pengunjung berasa gembira dan puas hati apabila melawat muzium ini. Kawasan zoo ini dibangunkan di dalam kawasan seluas 36 ekar dan memiliki kira-kira 1300 ekor haiwan dari 140 spesis mamalia, burung, reptilia dan ikan.


Kali terakhir Hans mengunjungi Zoo Taiping ini rasa-rasanya sewaktu zaman sekolah. Jadi, apabila Hans sampai ke sini memang Hans lihat terdapat banyak kemajuan dan pembangunan di seluruh kawasan Zoo Taiping ini. Cuma kunjungan kali ini sangat berbeza kerana ini merupakan kali pertama Hans dapat merasa bagaimana keadaan mengunjungi haiwan-haiwan di dalam Zoo Taiping ini pada waktu malam melalui aktiviti Night Safari yang disediakan disini.


Hans dan rakan-rakan media yang lain disambut mesra oleh kakitangan Zoo Taiping & Night Safari yang menyambut ketibaan kami dengan senyuman dan layanan yang sangat baik. Jadi, aktiviti Night Safari ini bermula pada pukul 8 malam dan Hans akhirnya berpeluang melihat haiwan-haiwan yang aktif di waktu malam sepanjang trek perjalanan sejauh 2.5 kilometer.


Jadi, para pengunjung boleh memilih sama ada untuk berjalan kaki atau menaiki tram yang disediakan. Sebelum Hans dan rakan media lain memulakan penjelajahan kami di dalam Night Safari ini, petugas Zoo Taiping telah memberi taklimat mengenai beberapa perkara. Antara yang menarik perhatian Hans ialah tentang beberapa perkara yang pengunjung dilarang sewaktu berada disini iaitu:

1) Ditegah memberi makanan dan mengganggu binatang-binatang.
2) Dilarang melintas halangan-halangan serta memetik, memotong atau merosakkan pokok-pokok dan tanaman.
3) Dilarang membuang sampah merata-rata. Gunakan tong sampah yang disediakan atau bawa keluar sampah untuk dibuang ke dalam bekas yang disediakan di luar kawasan.
4) Dilarang membawa masuk binatang peliharaan.
5) Dilarang membawa masuk lampu suluh dan kamera berflash.
6) Dilarang menggunakan polisterin.
7) Dilarang menggunakan pembesar suara semasa berada di dalam Zoo Taiping & Night Safari. 


Jadi, bermulalah pengembaraan Hans dan rakan-rakan media lain menjelajah kawasan-kawasan yang terdapat di dalam Night Safari. Antara yang menjadi tumpuan dan kegeraman Hans ialah apabila melalui kawasan Burung Mahkota. Cantik betul burung ini dan sangat tinggi. Rasa macam nak peluk sahaja tetapi takut dipatuknya pula nanti. Hahaha! Apa-apapun, Burung Mahkota ini tidak ganas dan para pengunjung boleh berada dekat dengan burung ini. Asalkan jangan gatal-gatal tangan pergi cubit atau kacau dia sudah! Kalau tidak pasti anda mengerti apakah ertinya perkataan penyesalan. Hahaha!


Momen seterusnya yang sangat berharga bagi Hans ialah berpeluang untuk memberi makan badak air. Untuk maklumat para pembaca sekalian, waktu binatang diberi makan memang sekitar pukul 8.15 malam sehingga pukul 10.00 malam. Jadi, dapat melihat badak air ini diberi makan buah betik sememangnya satu pengalaman yang cukup menakjubkan. Kebanyakan rakan media memberi badak air ini makan tetapi Hans hanya mengambil gambar. Tiba-tiba rasa cuak pula bila tengok gigi taring dia yang panjang, tajam dan tebal seperti gambar di atas. Tetapi, apa yang menarik pasangan badak air ini mempunyai anak kecil yang sangat comel. Memang betul-betul kenangan yang sangat indah melihat badak-badak ini hidup sihat di Zoo Taiping ini. 


Seterusnya, Hans dan rakan media turut berpeluang memberi makan kepada zirafah di Zoo Taiping ini. Zirafah yang datang kepada kami ialah zirafah betina dan sangat manja. Paling seronok sekali bila masing-masing boleh belai kepala dan leher zirafah betina ini yang diberi nama Mas. Manakala pasangan zirafah betina ini yakni yang jantan pula jual mahal. Hahaha! Paling seronok bila dapat tengok lidah zirafah yang sangat panjang depan-depan mata. Selalunya tengok dalam televisyen sahaja. Memang satu pengalaman indah yang betul-betul menggembirakan Hans yang memang suka tengok kehidupan haiwan-haiwan liar ini.


Memang banyak sebenarnya haiwan-haiwan liar yang boleh dilihat bergerak aktif sepanjang lawatan Night Safari ini seperti gajah, seladang, kuda belang, landak, buaya, burung, babi hutan, singa, harimau, rusa  dan macam-macam lagi lah. Kucing yang Datuk Terlajak Laris bela pun ada dekat Zoo Taiping ini. Memang berbaloi sebenarnya beli tiket Safari Night ini sebab Hans dapat tengok haiwan-haiwan liar yang tidak aktif pada waktu siang tetapi sangat aktif pada waktu malam. 


Selepas tamat lawatan Night Safari maka Hans dan rakan-rakan singgah sebentar di kedai cenderamata Zoo Taiping. Walawehhhh!! Rambang mata sebab semua yang dijual cantik-cantik dan berkualiti. Kalau tak percaya nanti anda datang sendiri ke Zoo Taiping dan pastikan anda masuk ke dalam kedai cenderamata ini untuk lihat sendiri pelbagai jenis cenderamata yang dijual. Takut anda pening kepala sahaja nanti nak memilih mana satu yang berkenan di hati.


Hans juga sempat berbual dengan kakitangan Zoo Taiping bertanyakan tentang jumlah pengunjung serta jumlah kutipan tiket. Nampaknya jumlah pengunjung semakin meningkat dari hari ke hari dan ini membuatkan hasil kutipan tiket dapat disalurkan kepada program pembangunan, pemeliharaan, pemuliharaan serta untuk membeli makanan haiwan-haiwan di dalam Zoo Taiping ini. Jadi, kepada yang masih belum pernah melawat Zoo Taiping ini memang Hans sarankan anda wajib datang kesini. Kepada yang pernah datang pula, apa salahnya anda datang lagi ke sini kerana duit tiket anda pasti dimanfaatkan ke dalam program pembangunan Zoo Taiping ini. Lagi pun harga tiket masuk sangat murah dan berbaloi.

Harga Tiket Zoo Taiping:
RM16 (Dewasa)
RM8 (Kanak-Kanak)


Harga Tiket Night Safari:

RM20 (Dewasa)
RM10 (Kanak-Kanak)


Hans sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Zoo Taiping di atas pengalaman yang sangat menggembirakan buat Hans yang baru pertama kali dapat merasa bagaimana seronoknya aktiviti Night Safari di Zoo Taiping. In Sha Allah, pada masa akan datang Hans akan datang lagi ke sini bersama rakan-rakan yang lain untuk memberikan mereka peluang merasa sendiri pengalaman yang cukup hebat sepanjang melihat aktiviti pelbagai jenis haiwan liar di trek perjalanan sejauh 2.5 kilometer. Tahniah buat kakitangan dan petugas Zoo Taiping atas segala usaha serta memberi penjagaan yang sangat baik buat semua haiwan yang terdapat disini.


ZOO TAIPING & NIGHT SAFARI

Lokasi:
ZOO TAIPING & NIGHT SAFARI,
Jalan Taman Tasik Taiping,
34000 Taiping,
Perak.

Waktu Lawatan Zoo Taiping:
8.30 A.M - 6.00 P.M : Setiap Hari

Waktu Lawatan Night Safari:
8.00 P.M - 12.00 A.M : Setiap Hari

Whatsapps:
019-4815351


Telefon:
05-8086577

Fax:
05-8066025

Laman Web:
Zoo Taiping

Facebook:
Zoo Taiping

Email:
zootaiping@zootaiping.gov.my

P/S : Satu Pengalaman Menarik Sepanjang Hans Berada Di Night Safari Zoo Taiping Dan Rugi Jika Anda Tidak Mengambil Peluang Datang Ke Sini Dan Merasai Sendiri Pengalaman Indah Ini :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com