Isnin, 18 Mac 2019

Sky Mirror Kuala Selangor

Isnin, Mac 18, 2019 1
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog hanshanis.com sekalian. Jadi, kali ini Hans ingin berkongsi aktiviti seterusnya sewaktu mengikuti program Exploring The Treasures Of Selangor yang dianjurkan oleh Tourism Selangor dengan kerjasama Fire Fly. Destinasi yang paling Hans nanti-nantikan untuk mengambil yang menarik dan unik iaitu Sky Mirror.


Hans dan rakan media yang lain bertolak ke Jeti Kuala Selangor bermula dari jam 7.00 pagi lagi. Perjalanan dari Subang mengambil masa sekitar satu jam. Kemudian, kami bergerak ke Sky Mirror dengan menaiki bot sambil menikmati alunan ombak serta desiran air yang sungguh menyamankan. Masa yang diambil untuk tiba di Sky Mirror adalah sekitar 30 minit hingga 40 minit.


Hans perasan masih ramai yang tidak tahu bahawa terdapat sebuah kawasan beting pasing yang terletak di Kuala Selangor menawarkan sebuah keindahan panorama yang cukup indah dan sangat mengasyikkan.


Sebenarnya, kawasan pelancongan Sky Mirror ini sudah pun dibuka sejak dua tahun yang lepas untuk pelancong dan ia mendapat sambutan yang cukup baik bukan sahaja daripada pelancong tempatan tetapi juga dari luar negara.


Menariknya sewaktu Hans tiba di Sky Mirror ini, Hans melihat ramai yang datang kesini untuk mengambil gambar di dalam pelbagai posisi serta penggunaan prop yang pelbagai untuk menghasilkan gambar yang menarik, melucukan atau pun unik.


Gambar-gambar yang terhasil di sini seakan-akan sebuah pantulan imej dari air laut yang membuatkan gambar kita kelihatan seperti bercantum. Lebih tepat ia kelihatan seolah-olah kita berada di hadapan cermin.


Sedikit tips untuk para pembaca yang bercadang untuk datang ke Sky Mirror, Hans menyarankan agar anda memakai pakaian yang berwarna ceria dan terang. Elakkan daripada memakai pakaian berwarna hitam atau putih.


Ini kerana gambar yang terhasil akan lebih menawan jika pakaian anda berwarna-warni dan terang. Selain itu juga, rancang masa perjalanan anda dengan betul kerana ada waktu-waktu tertentu sahaja yang anda boleh lawati Sky Mirror. Ini disebabkan keadaan surut pasang air laut mempengaruhi kawasan Sky Mirror tersebut.


Secara peribadi, kunjungan Hans ke Sky Mirror ini merupakan satu memori indah yang tidak akan Hans lupakan. Memang kalau boleh Hans nak datang lagi dan bergambar puas-puas sambil ditemani oleh ketam dan siput yang memenuhi kawasan beting pasir sewaktu kita berjalan di sekitar kawasan Sky Mirror ini.


Berada di Sky Mirror adalah satu perjalanan yang bukan sahaja berbaloi tetapi membuatkan sesiapa sahaja yang sampai disini akan terasa kagum dengan keindahan yang terdapat disini.


Kepada yang berminat untuk pergi ke Sky Mirror ini, anda boleh merancang perjalanan anda dengan menghubungi operator Sky Mirror, Kuala Selangor di talian 016-2234788 untuk mengetahui tarikh serta waktu yang sesuai untuk ke sana.


Ahad, 17 Mac 2019

Atok Asam Pedas Sungai Sembilang Kuala Selangor

Ahad, Mac 17, 2019 3
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog hanshanis.com sekalian. Jadi, kali ini Hans ingin berkongsi aktiviti seterusnya sewaktu mengikuti program Exploring The Treasures Of Selangor yang dianjurkan oleh Tourism Selangor dengan kerjasama Fire Fly. Destinasi makan tengahari kami yang terakhir ialah di Atok Asam Pedas Sungai Sembilang di Kuala Selangor.


Hans bukannya penggemar asam pedas tetapi agak mengejutkan kerana asam pedas di Restoran Atok Asam Pedas Sungai Sembilang, Kuala Selangor ini memang memberikan satu rasa yang sangat menarik, padu dan lazat. Pada hari tersebut terdapat tiga jenis ikan yang boleh dipilih untuk menu asam pedas. Hans memilih untuk menikmati juadah asam pedas ikan pari pada kali ini.


Serius asam pedas ikan pari dekat sini memang sedap betul. Isi ikan sangat lembut. Tidak bau hanyir. Kuah asam pedas pun sedap sampai terfikir macam nak tapau bawa balik rumah jer nak buat cicah roti. Hahaha!

 TELUR DADAR

 SAYUR KAILAN

 ASAM PEDAS IKAN PARI

 SET NASI PUTIH, TELUR MASIN DAN TIMUN


Memandangkan makan tengahari kali ini ada orang belanja jadi Hans tak tahu harga sebenar menu ini. Tetapi, apa yang Hans boleh katakan memang tidak rugi kepada para peminat asam pedas untuk datang mencuba menu ini di Restoran Atok Asam Pedas Sungai Sembilang, Kuala Selangor ini. In Sha Allah pasti anda puas hati! Selamat menjamu selera.

Sabtu, 16 Mac 2019

Chinese New Year Lantern And Flora Festival

Sabtu, Mac 16, 2019 0
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog hanshanis.com sekalian. Jadi, kali ini Hans ingin berkongsi aktiviti seterusnya sewaktu mengikuti program Exploring The Treasures Of Selangor yang dianjurkan oleh Tourism Selangor dengan kerjasama Fire Fly. Seterusnya Hans dan rakan media lain telah dibawa ke sebuah lokasi menarik untuk menyaksikan Chinese New Year Lantern and Flora Festival di Fo Guang Shan Dong Zen Temple.


Ini merupakan pengalaman kali pertama Hans melawat Kuil Dong Cen ini dan menyaksikan sendiri Pesta Tanglung yang rupa-rupanya cukup meriah dan penuh warna-warni. Agak menarik buat diri Hans kerana dapat memahami dengan lebih mendalam lagi budaya masyarakat Cina di Malaysia.


Untuk pengetahuan semua, Pesta Tanglung ini merupakan pesta penganut Buddha dan ia diraikan pada hari ke-15 Tahun Baru Cina mengikut kalendar Cina. Jika pada zaman dahulu kala, Pesta Tanglung ini hanya diraikan oleh golongan Maharaja dan bangsawan sahaja. Namun, pada zaman yang moden ini ialah diraikan oleh semua pihak.


Pesta Tanglung ini juga digelar sebagai Tahun Baru Kecil yang menandakan berakhirnya turutan perayaan yang bermula dari Tahun Baru Cina.


Info tambahan yang Hans ingin kongsikan buat anda semua ialah kalendar Cina menampilkan 12 jenis zodiak berbentuk haiwan. Pada tahun ini, zodiak yang tertera ialah tahun babi dimana penganut Buddha percaya bahawa babi mewakili kesempurnaan dan permulaan satu kitaran yang menandakan bahawa semua perkara akan tercapai dalam kesempurnaan dan berjalan dengan lancar.


Apa yang membuatkan Hans teruja apabila mendengar penerangan tentang Pesta Tanglung ini ialah perancangan yang dilakukan untuk menyiapkan segala hiasan, reka bentuk dan dekorasi ini telah pun berjalan sejak tiga tahun yang lepas.


Jadi, tidak hairan lah jika segala hiasan tanglung yang wujud di sini sangat cantik, berseni dan penuh warna-warni. Sesiapa yang suka bergambar memang pasti rambang mata melihat bagaimana kreatif dan uniknya setiap tanglung dan hiasan yang wujud di ke seluruhan kawasan kuil ini sepanjang berlangsungnya Pesta Tanglung.


Jangan risau kepada sesiapa yang baru mengetahui tentang Pesta Tanglung ini kerana ia diadakan pada setiap tahun mengikut zodiak kalendar Tahun Baru Cina.


Jadi, jangan lupa berkunjung ke Chinese New Year Lantern And Flora Festival atau Pesta Tanglung pada tahun hadapan untuk merasai kemeriahan dan melihat keindahan potret yang terhasil saat anda bergambar di kawasan ini nanti.

Restoran Mansion 1969

Sabtu, Mac 16, 2019 0
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog hanshanis.com sekalian. Jadi, kali ini Hans ingin berkongsi aktiviti seterusnya sewaktu mengikuti program Exploring The Treasures Of Selangor yang dianjurkan oleh Tourism Selangor dengan kerjasama Fire Fly. Seterusnya Hans dan rakan media lain telah dibawa untuk menikmati makan malam di Restoran Mansion 1969 yang terletak di Jenjarom, Selangor.



Restoran Mansion 1969 ini mendapat namanya apabila ia dibina pada tahun 1969. Asalnya kawasan restoran ini merupakan sebuah tinggalan lama yang telah ditinggalkan pada tahun 1969 sebelum ia dibaik pulih dan diubah menjadi restoran seperti hari ini.


Restoran Mansion 1969 ini terletak di Jalan Klang-Banting, Kampung Sungai Rambai, Jenjarom. Ia dibuka setiap hari Rabu hingga Isnin bermula pada pukul 12 tengahari sehingga 9 malam. Manakala pada hari Selasa pula Restoran Mansion 1969 ini ditutup.


Antara yang menarik tentang Restoran Mansion 1969 ini ialah pemandangan dalamannya yang sangat memukau mata. Selain itu, anda juga dapat melihat kawasan luar yang dipenuhi pelbagai pokok buah-buahan seperti rambutan dan durian menerusi lapisan dinding kaca yang membantu membangkitkan lagi selera makan anda saat menjamu selera disini.


Restoran Mansion 1969 ini juga merupakan syurga buat sesiapa yang suka bergambar kerana di restoran ini penuh dengan pelbagai sudut yang menampilkan dekorasi, lukisan serta barang antik yang sangat cantik dan unik. Memang ada banyak juga benda-benda baru yang Hans belum pernah lihat dan dapat dijumpai di sini.


Restoran Mansion 1969 yang berkonsepkan hipster dan vintage ini bukan sahaja menang dari segi dekorasi dan barang-barang antiknya tetapi juga rasa makanannya yang sangat-sangat lazat. Disini, mereka menyajikan makanan berkonsepkan Cina dan Barat. Apa yang lebih menarik terdapat menu disini yang menggabungkan kedua-dua konsep ini di dalam satu hidangan dan rasanya memang sangat unik dan lazat. Antara menu tersebut ialah Tom Yam Spaghetti yang sangat sedap dan menjadi rebutan ramai saat kami menjamu selera disini. Dengan harga RM15, Hans jamin anda pasti berpuas hati menjamah sepinggan Tom Yam Spaghetti yang begitu sedap rasanya.

HERBAL CHICKEN

BLACK PEPPER ROASTED CHICKEN

HERBAL CHICKEN RICE

PAN FRIED MEE HOON

BALINISE FRIED RICE

TOTE POTATO

TOM YAM SPAGHETTI


Dua menu yang paling Hans suka sekali disini ialah Tom Yam Spaghetti dan Tote Potato. Serius rasa kedua-dua menu ini bukan sekadar unik tetapi sangat sedap. Ikutkan hati rasa macam nak makan lagi sahaja tetapi apakan daya masa mencemburui kami kerana ada lokasi seterusnya yang harus dituju.


Secara jujurnya, Restoran Mansion 1969 ini merupakan salah sebuah tempat makan yang wajib dicuba oleh sesiapa yang pencinta makanan yang mencari hidangan-hidangan yang sedap, unik, cantik dan menyelerakan. Selamat mencuba menu-menu disini dan semoga anda juga gembira menikmati juadahnya seperti mana yang dirasai oleh Hans dan rakan media yang lain.








Kebudayaan Mah Meri Yang Semakin Hilang

Sabtu, Mac 16, 2019 0
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog hanshanis.com sekalian. Jadi, kali ini Hans ingin berkongsi aktiviti seterusnya sewaktu mengikuti program Exploring The Treasures Of Selangor yang dianjurkan oleh Tourism Selangor dengan kerjasama Fire Fly. Kali ini Hans dan rakan-rakan media lain dibawa pula menjejak kehidupan masyarakat orang asli Mah Meri yang terletak di Pulau CareyPerkampungan Mah Meri di Pulau Carey ini sebenarnya terletak antara selatan Pelabuhan Klang dan utara Banting, Selangor dimana jumlah komuniti masyarakat Mah Meri ini dilaporkan seramai 1409 orang.


Hans tiba di Pusat Kraf Orang Asli Kampung Sungai Bumbundi Pulau Carey dan disambut mesra oleh masyarakat dengan sana dengan pemberian sebuah 'tanjak' yang dibuat sendiri oleh meraka menggunakan daung mengkuang dan disematkan di atas kepala menandakan ucapan Selamat Datang ke perkampungan Mah Meri ini.


Mah Meri ini bermaksud Orang Hutan atau dalam istilah mereka dipanggil 'Pesisik' atau 'Orang Laut'. Masih ramai sebenarnya rakyat Malaysia yang belum menyedari tentang kewujudan orang asli Mah Meri ini. Hans sendiri pun mengetahui tentang masyarakat Mah Meri ini secara kebetulan semasa zaman universiti dahulu dimana seorang rakan kuliah merupakan orang asli Mah Meri.



Hans berpeluang untuk berbual dengan Puan Julida Anak Udu yang merupakan orang asli Mah Meri. Wanita yang sudah berusia 50 tahun dan mempunyai empat orang anak lelaki ini akan melakukan persembahan buat kali kedua di Jerman pada bulan Mac ini. Menariknya dia langsung tidak  kelihatan kekok dan sangat mesra semasa berkongsi tentang keistimewaan serta budaya kaum Mah Meri yang semakin hari semakin pupus ditelan zaman tanpa pembelaan dan kawalan daripada orang Malaysia sendiri.


Untuk pengetahuan semua, masyarakat Mah Meri ini pada waktu dahulu sememangnya tinggal berdekatan dengan laut dan hutan kerana mudah untuk mereka mencari tempat tinggal dan berburu. Ada sebuah kisah menarik yang diceritakan kepada Hans tentang makhluk hutan yang digelar orang Mah Meri dengan nama Bongkol. Si Bongkol ini selalunya akan menyesatkan orang Mah Meri atau orang luar yang berada di dalam hutan dengan cara penyamaran suara-suara orang yang kita kenali. Jadi, orang Mah Meri selalu memberitahu sesiapa pun bahawa hutan harus dihormati dan jangan diganggu.


Sebelum ini, Hans ada juga terbaca tentang kisah di akhbar berkaitan perkampungan orang Mah Meri ini semakin dilanda kemodenan dan bakal ditelan pembangunan. Jadi, Hans bertanyakan sendiri hal ini kepada Puan Julida dan dia mengakui tentang hal tersebut serta rasa sedihnya mengenangkan nasib masyarakat Mah Meri di sana. Hans sendiri secara peribadi agak kesal tentang hal ini dan terfikir kenapa kerajaan Malaysia tidak mencontohi inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan Taiwan dimana mereka bukan sahaja menjaga dan melindungi budaya masyarakat orang asli di sana tetapi ia juga dijadikan sebagai tarikan pelancongan serta sumber ekonomi buat penduduk orang asli serta kerajaan Taiwan sendiri. Sayang di Malaysia kita masih ketinggalan dari segi hal kebudayaan orang asli ini.


Hans tertarik untuk berkongsi tentang satu perkara yang menarik berkaitan orang asli Mah Meri ini. Pada satu ketika dahulu ialah kaum wanita terutama anak dara wajib tahu menganyam, memasak dan menjaga anak sebagai syarat sah untuk berkahwin. Manakala bagi kaum lelaki terutama si teruna perlu pandai bertukang dan membina rumah jika mahu menjadi suami.


Selain itu, keluarga pihak lelaki dan pihak perempuan perlu sama-sama berkumpul bukan sahaja sewaktu majlis perkahwinan tetapi juga jika terjadinya penceraian di kalangan suami isteri. Jadi, kita nampak disini bahawa orang asli Mah Meri ini mempunyai jiwa yang pemaaf dan tidak suka berdendam maka amalan yang mereka amalkan ini sebenarnya sangat baik untuk mengekalkan silaturahim sesama mereka walaupun berlakunya kes penceraian.


Selain itu juga, Hans tertarik tentang sejarah pahlawan mereka. Pahlawan Mah Meri pada zaman dahulu digeruni bukan kerana kekuatan mereka di dalam berlawan menggunakan senjata atau bertempur dengan musuh. Tetapi, mereka digeruni kerana kekuatan sihir atau ilmu hitam mereka yang sangat dasyat serta penggunaan racun melalui peralatan sumpit. Selain itu, masyarakat Mah Meri ini mempunyai sikap yang agak unik dimana mereka tidak suka bergaduh atau berperang. Mereka lebih suka beralah dan ini antara punca yang menyebabkan penempatan suku kaum Mah Meri ini begitu mudah diganggu gugat oleh orang luar sejak dahulu kala lagi.


Menyentuh pula tentang nilai seni orang Mah Meri, Hans telah dipersembahkan sebuah tarian tradisional yang diberi nama tarian Jooh atau dikenali sebagai tarian topeng.


Tarian ini selalunya akan diadakan pada 7 Mac pada setiap tahun bertujuan untuk memperingati nenek moyang dan memohon kesejahteraan kepada semua penduduk masyarakat Mah Meri.


Tarian Jooh ini akan diiringi dengan alunan muzik tradisional seperti tambo (gendang), tuntung (buluh), biola dan gong. Manakala penari-penarinya pula akan berpakaian tradisi yang dibuat daripada kulit kayu dan disertakan dengan aksesori tambahan yang dihasilkan daripada anyaman daun nipah.


Paling menarik apabila penari lelakinya pula bertopeng dan akan menari mengikut arah jam dan ia berbeza dengan penari wanita yang menari mengikut lawan arah jamSelain itu, Hans juga berkesempatan melihat bagaimana kehebatan orang asli Mah Meri di dalam bidang menganyam dan mengukir patung.


Kesimpulannya, kebudayaan Mah Meri ini wajar dipelihara dan dikekalkan demi khazanah negara yang bernilai. Hans juga berharap agar kerajaan Malaysia lebih bekerja keras di dalam memperkenalkan lagi budaya-budaya orang asli lain yang terdapat di Malaysia dan mencontohi usaha hebat yang telah dilakukan di Taiwan yang terbukti berjaya dan menjadi tarikan pelancong seluruh dunia. Kepada pembaca yang belum pernah ke Perkampungan Mah Meri di Pulau Carey ini maka silalah datang dan kenali kaum Mah Meri yang sangat peramah dan baik hati ini.