Rabu, 8 Mei 2019

Jom Singgah Kilang Buah Pala Ghee Hup Balik Pulau

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah dibawa oleh pihak Tourism Malaysia untuk mengikuti program Durian Packages Penang yang berlangsung di negeri Pulau Pinang. Jadi, salah satu lokasi yang menarik yang Hans ingin kongsikan dengan para pembaca semua ialah Kilang Buah Pala Ghee Hup yang terletak di Balik Pulau, Pulau Pinang.


Seperti yang semua sedia maklum, buah pala merupakan produk negeri Pulau Pinang yang cukup dikenali ramai gara-gara buahnya dijadikan jeruk. Hans dikhabarkan industri buah pala di negeri Pulau Pinang ini telah lama berkembang sejak dari zaman negara masih belum merdeka lagi. Salah satu buktinya ialah Kilang Buah Pala Ghee Hup ini sendiri yang mula beroperasi sejak tahun 1953 lagi.


Apa yang menariknya apabila anda singgah disini ialah anda akan dapat melihat sendiri bagaimana rupa fizikal pokok buah pala serta buah pala yang sedang tumbuh mekar di pokok yang ditanam di sekitar kawasan Kilang Buah Pala Ghee Hup ini. Untuk pengetahuan semua, buah pala ini bukan sekadar dijadikan jeruk untuk dimakan sahaja tetapi sebenarnya mempunyai banyak kegunaan lain. Buah pala ini boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk lain seperti minyak angin, salap, teh, sirap, serbuk untuk masakan dan juga jus buah pala.


Hans juga turut mendapat ilmu baru tentang buah pala ini kerana buah ini sebenarnya mempunyai pelbagai zat yang diperlukan oleh tubuh kita seperti kalsium, kalium, fosforus, lemak, protein dan karbohidrat. Jadi, tidak hairan jika orang-orang dahulu mengamalkan pemakanan buah pala ini untuk kekuatan minda dan menghindarkan daripada beberapa gejala penyakit seperti sakit kepala, gatal-gatal, jeragat serta menghilangkan masa bau mulut.


Hans sebenarnya sangat tertarik saat menjejakkan kaki ke Kilang Buah Pala Ghee Hup ini apabila terpandang bekas air berisi jus buah pala. Baru pertama kali Hans tahu bahawa buah pala sebenarnya sesuai dijadikan jus dan turut mempunyai khasiat yang unik seperti melegakan sakit perut, menghilangkan angin senggugut, melawaskan perut, mencegah kolestrol, darah tinggi, membantu perjalanan darah dan paling penting membuang angin yang terkumpul di dalam badan. Rasa jus buah pala memang sedap sampai Hans terfikir nak isikan jus buah pala ini dalam botol air mineral sebelum pulang. Nasib tak ada bekas air sahaja. Hahaha!

 Biji Buah Pala Yang Dijemur
Buah Pala Mentah
 Buah Pala Berkualiti
 Pecahan Biji Buah Pala Yang Kurang Berkualiti
Buah Pala Jantan Dan Buah Pala Betina

Kedatangan Hans kesini bukan sekadar membaca info dan melihat-lihat sahaja namun diberi penerangan yang cukup menarik oleh pemilik Kilang Buah Pala Ghee Hup ini. Hans dan rakan-rakan media yang lain diterangkan tentang proses penjemuran dan pengeringan buah pala untuk mendapatkan buah pala yang berkualiti dan terbaik sebelum ianya diproses menjadi produk. Apa yang lebih membuat Hans rasa teruja kerana rupa-rupanya buah pala ini mempunyai jantina iaitu jantan dan betina. Jika biji buah pala hanya sebiji tanpa sebarang garisan maka ia dikategorikan sebagai betina. Sebaliknya apabila biji buah pala itu berbentuk dua maka itu adalah jantan. Penerangan yang diberikan memang kedengaran sangat kelakar tetapi amat mudah difahami.


Chang Kun Min merupakan pemilik Kilang Buah Pala Ghee Hup ini yang sememangnya sangat terkenal di kalangan pelancong serta rakyat negeri utara Malaysia. Beroperasi lebih daripada 60 tahun menjadikan kilang buah pala miliknya ini sebagai kilang buah pala yang paling lama beroperasi di Malaysia. Hans sangat kagum dengan usaha yang dilakukan oleh Uncle Chang Kun Mim ini di dalam meneruskan industri buah pala ini sehingga sekarang kerana usaha ini bukan sekadar memperkenalkan Malaysia di mata dunia melalui industri buah pala tetapi juga mengekalkan keunikan khazanah negeri Pulau Pinang yang tiada tandingannya.

Rupa Buah Pala Yang Sebenar
 Minyak Angin Buah Pala
 Jus Buah Pala
 Teh Organik Buah Pala
 Teh Organik Buah Pala Saiz Besar
 Salap Buah Pala

Terdapat beberapa barangan berasaskan buah pala yang dijual di Kilang Buah Pala Ghee Hup ini untuk kegunaan atau dijadikan cenderahati sebelum pulang ke rumah. Memang terdapat pelbagai jenis produk yang memberikan pelbagai manfaat dari segi kesihatan buat anda semua. Jadi, jika anda datang atau bercuti ke Pulau Pinang maka Hans nasihatkan anda untuk peruntukkan sedikit masa dengan datang melawat sendiri kilang buah pala ini. Serius anda pasti gembira dengan apa yang anda akan peroleh sepanjang lawatan anda kesini.


KILANG BUAH PALA GHEE HUP

Alamat:
MK 3, 202A,
Sungai Pinang,
11010 Balik Pulau,
Pulau Pinang.

Waktu:
9.00 A.M - 6.00 P.M

Nombor Telefon (Tempahan):
0164336303

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com