Menjejak Mural Di Pulau Pinang

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah dibawa oleh pihak Tourism Malaysia untuk mengikuti program Durian Packages Penang yang berlangsung di negeri Pulau Pinang selama 3 hari 2 malam. Terima kasih kepada Rainbow Paradise Hotel dan Hotel Royal Penang kerana menyediakan tempat bermalam Hans sepanjang program berlangsung. Jadi, untuk kali ini Hans ingin kongsikan satu aktiviti menarik yang boleh dilakukan jika anda ke Pulau Pinang. Aktiviti yang Hans maksudkan ialah mencari dan menjejak lukisan mural di sekitar negeri Pulau Pinang terutama di kawasan Balik Pulau dan Georgetown.


Lokasi mural pertama yang Hans jejaki ialah di kawasan Balik Pulau. Disini terdapat tiga lukisan mural yang sangat terkenal di kalangan pelancong dan masyarakat setempat iaitu mural Fisherman Mending His Net, Silat Master dan Hakka Girl. Hans cuma berkesempatan mencari dan bergambar dengan dua mural sahaja iaitu Fisherman Mending His Net dan Silat Master. Untuk pengetahuan semua, lukisan mural yang mengagumkan dan dihasilkan di dinding-dinding bangunan kedai lama ini merupakan hasil karya seorang wanita yang berasal dari Siberia, Rusia iaitu Julia Volchkova.


Julia Volchkova merupakan artis jalanan yang telah banyak menghasilkan lukisan-lukisan mural yang cukup mengagumkan. Wanita ini dikenali suka mengabadikan sesuatu terutamanya orang-orang biasa yang dilihatnya ke dalam lukisan mural dengan ketinggian 7 meter tersebut bagi memaparkan tentang kehidupan masyarakat sekitar kawasan yang dilihatnya ini. Secara tidak langsung ia menarik perhatian ramai masyarakat serta pelancong luar untuk datang melihat, bergambar dan membantu ekonomi penduduk setempat di kawasan terbabit.


Seperti lukisan mural di atas sebenarnya adalah wajah seorang nelayan yang telah berusia dimana Julia Volchkova terpandang lelaki ini sewaktu kali pertama dia datang ke Balik Pulau. Ketika itu lelaki tua seperti di dalam lukisan mural tersebut sedang membetulkan jaring. Jadi, Julia mengambil kesempatan ini untuk melukis kembali apa yang dilihatnya untuk menggambarkan kehidupan kumpulan nelayan yang hidup di Pulau Pinang. 


Lukisan mural kedua hasil kehebatan seni Julia Volchkova ialah Silat Master yang menggambarkan Johari Omar yang merupakan guru silat yang telah mengajar seni mempertahankan diri ini selama lebih daripada 40 tahun. Ini secara tidak langsung memberi satu penghormatan kepada Encik Johari Omar apabila wajahnya diabadikan di dalam lukisan mural yang gah terserlah andai anda melalui kawasan kedai perniagaan di Balik Pulau ini.


Seperti biasa memandangkan bukan selalu dapat melancong ke Pulau Pinang jadi pastikan anda mengabadikan diri anda di dalam potret sebanyak yang mungkin. Serius bergambar di sini pasti akan menghasilkan kualiti gambar yang anda inginkan kerana keunikan serta kecantikan lukisan mural yang dihasilkan oleh Julia Volchkova ini.


Lokasi seterusnya untuk menjejak lukisan-lukisan mural yang cantik dan unik adalah di daerah Georgetown. Kawasan Lebuh Armenian atau lebih dikenali sebagai Art Street Penang merupakan lokasi yang cukup menarik untuk anda mencari sebanyak mungkin lukisan mural dan bergambar dengan pelbagai gaya kreativiti yang anda ingin lakukan. Kita harus mengucapkan terima kasih kepada pelukis jalanan dari Lithuania iaitu Ernest Zacharevic yang berperanan besar di dalam mengubah dinding-dinding bangunan lama di sekitar Georgetown ini kepada kawasan yang memaparkan hasil-hasil seni yang menarik. Tidak lupa juga buat pelukis yang pekak dan bisu bernama Loius Gan dan kumpulan pelukis 101LostKittens yang turut sama membantu di dalam menjadikan kawasan ini sebagai satu lokasi pelancongan yang menarik buat rakyat Malaysia serta pelancong asing.


Hasil kajian ringkas Hans mendapati kawasan ini berubah secara drastik sewaktu berlangsungnya Festival George Town pada tahun 2012 yang lepas dimana sebuah projek yang dikenali sebagai Mirrors George Town telah menyebabkan banyak lukisan-lukisan mural dapat dihasilkan di sekitar kawasan ini. Namun, ada beberapa mural yang telah mula pudar lukisannya dan ada sesetengah yang telah pun hilang disebabkan pelbagai faktor seperti cuaca serta keadaan dinding yang sudah lama. Jadi, anda harus ambil peluang ini untuk datang ke Pulau Pinang dan bergambar sebanyak mungkin sebelum ianya hilang ditelan arus masa.


Buat sesiapa yang tidak pernah mendengar atau mengenali Ernest Zacharevic, mari Hans kongsikan sedikit info berkenaan diri artis jalanan ini. Zacharevic dilahirkan di Lithuania pada tahun 1986 dan tiba di George Town sebagai pengembara bajet sekitar tahun 2011. Pada masa itu, dia menyara hidup sebagai pelukis dan sejarah mula tercipta apabila salah satu daripada lukisannya telah dibeli oleh pemilik kedai basikal di Lebuh Armenian ini. Lukisan tersebut kemudian mendapat perhatian daripada Tan Chor Whye yang merupakan seorang pengemar seni dan akhirnya mengambil keputusan untuk terus membeli lukisan tersebut dari kedai basikal itu.


Tan Chor Whye menyedari bahawa Zacharevic bukan sekadar pelukis biasa. Dia akhirnya bertemu dengan Zacharevic dan memberikannya peluang untuk melukis mural pada sebuah dinding di kawasan Lebuh Armenian. Bermula daripada peristiwa maka kini terdapat pelbagai mural yang cukup dikenali di seluruh dunia seperti Kanak-kanak di atas Basikal (Little Children on a Bicycle), Budak dengan Dinosaur Peliharaan (Boy with Pet Dinosaur), Orang Tua Ni (This Old Man), Mencapai ke Atas (Reaching Up), Gadis Berbaju Biru (Girl in Blue), Penarik Beca Menunggu (The Awaiting Trishaw Man) dan Budak Atas Motorsikal (Boy On A Bike).


Untuk pengetahuan semua, ini adalah kali kedua Hans sampai di kawasan Art Street Penang ini. Jika dahulu Hans menyewa basikal untuk menjejak mural-mural yang berada berselerakan di sekitar kawasan ini. Namun untuk kali ini Hans memilih untuk berjalan dan mencari seberapa banyak mural yang boleh untuk bergambar dan berkongsi di laman sosial. Namun, cabaran kali ini agak menarik kerana Hans perlu menunggu giliran agak lama untuk bergambar disebabkan begitu ramai pelancong yang beratur untuk mengabadikan kenangan terindah mereka di sini. 


Jadi, Hans bagi peluang lah sebab mereka sebab bukan senang mereka nak datang sini lagi kan. Serius memang cukup seronok dapat kembali semula ke Art Street Penang yang terletak di Lebuh Armenian, Georgetown ini. Hans memang sarankan anda untuk datang kesini kerana ia bukan sekadar satu lokasi bergambar biasa tetapi juga menjamu mata anda dengan hasil seni luar biasa serta bangunan peninggalan sejarah yang sangat cantik. Pelbagai barangan cenderahati yang unik dan menarik juga turut boleh dibeli di beberapa kedai cenderamata di sekitar kawasan ini.


Jadi, jika anda ke Pulau Pinang pastikan anda melawat daerah Balik Pulau dan Georgetown untuk menjejak sebanyak mungkin lukisan mural yang terdapat di sekitar kawasan tersebut. Hans pasti memori indah yang anda peroleh disini pasti tidak dapat dirasai di lokasi pelancongan yang lain. Akhir kata, selamat menjejak mural di Pulau Pinang!

Post a Comment

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama