Pengalaman Melawat Bukit Bendera @ Penang Hill Pada Waktu Malam

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah dibawa oleh pihak Tourism Malaysia untuk mengikuti program Durian Packages Penang yang berlangsung di negeri Pulau Pinang selama 3 hari 2 malam. Terima kasih kepada Rainbow Paradise Hotel dan Hotel Royal Penang kerana menyediakan tempat bermalam Hans sepanjang program berlangsung. Jadi, untuk kali ini Hans ingin berkongsi dengan anda semua lokasi pelancongan yang wajib anda pergi jika anda melancong ke Pulau Pinang iaitu Bukit Bendera @ Penang Hill.


BUKIT BENDERA @ PENANG HILL

Waktu Operasi:
6.15 A.M - 10.00 P.M

Email:
INQUIRIES@PENANGHILL.GOV.MY

Sebenarnya ini adalah pengalaman pertama Hans melawat Bukit Bendera @ Penang Hill walaupun hakikatnya Hans berasal dari negeri utara iaitu Kedah. Sebenarnya datang kesini tidak termasuk di dalam tentatif jadual tetapi disebabkan Hans teringin sangat nak pergi kesini ditambah pula dengan ajakan rakan media lain membuatkan akhirnya Hans menjejakkan kaki di kawasan pelancongan terkenal ini pada pukul 9.30 malam. Untuk pengetahuan semua, Bukit Bendera @ Penang Hill ini dibuka setiap hari dimana waktu operasi penjualan tiket bermula pada pukul 6.15 pagi sehingga pukul 10.00 malam. Manakala perkhidmatan keretapi funikular pula bermula pada pukul 6.30 pagi dan berakhir dari Stesen Atas pada pukul 11.00 malam. Manakala premis-premis perniagaan yang terletak di Stesen Atas pula selalunya mula dibuka pada pukul 9.00 pagi dan ditutup sekitar pukul 7.00 malam hingga 9.00 malam.


Apa yang membuatkan Hans melompat kegirangan apabila harga tiket keretapi pergi dan balik pada waktu malam cuma RM3 sahaja. Serius sangat murah dan berbaloi bagi Hans. Rupa-rupanya memang terdapat promosi harga tiket untuk waktu-waktu tertentu dimana Hans dimaklumkan harga tiket RM3 ini ditawarkan pada waktu pagi dan malam sahaja. Alhamdulillah memang rezeki Hans dapat naik ke puncak Bukit Bendera @ Penang Hill dengan penjimatan yang sangat banyak. 


Kepada para pembaca yang masih belum tahu tentang lokasi pelancongan Bukit Bendera @ Penang Hill ini, ia sebenarnya merupakan sebuah tempat peranginan yang merangkumi daripada beberapa puncak di Pulau Pinang, Malaysia. Ia terletak di Air Itam, 6 kilometer (3.7 batu) barat dari pusat bandar George Town. Bukit Bendera dinamakan sempena salah satu puncak yang paling maju iaitu Flagstaff Hill. Bukit Bendera meliputi beberapa bukit, dengan puncak tertinggi di Western Hill yang 833 meter (2,733 kaki) di atas paras laut. Bukit ini boleh dilihat dengan jelas dari dataran rendah sebagai kawasan berbukit dan berhutan. Ia telah digunakan sebagai tempat berlindung semasa zaman penjajahan British dan kini merupakan destinasi pelancongan yang popular di Pulau Pinang.


Sementara menanti keretapi funikular bergerak menuju Stesen Atas, Hans terjumpa salah satu jenis pengangkutan lama yang digunakan pada zaman dahulu iaitu Tandu @ Kerusi Kandar. Untuk info para pembaca, pengangkutan ini sangat terkenal pada era penjajahan British dahulu dimana ia digunakan untuk mengangkut pegawai British dari bawah ke atas Bukit Bendera. Tandu ini akan di angkat oleh empat orang dan perjalanan ke puncak mengambil masa beberapa jam. Inilah serba sedikit sejarah berkaitan dengan pengangkutan tandu ini.


Untuk pengetahuan semua, puncak Bukit Bendera @ Penang Hill boleh diakses dengan menggunakan kereta api dari stesen bawah yang terletak di Jalan Bukit Bendera, Air Itam. Setakat ini, sistem kereta api funikular Bukit Bendera adalah yang pertama di Malaysia dan telah membawa lebih daripada sejuta pelawat ke puncak bukit tersebut. Hans turut mendapat info bahawa kawasan ini juga popular di kalangan pendaki yang sentiasa bersemangat menawan puncak bukit ini.


Bukit Bendera @ Penang Hill ini sebenarnya diliputi oleh jisim granit berbukit. Sistem bukit adalah lebih tinggi ke arah utara dengan titik tertinggi di Western Hill pada ketinggian 833 meter (2,733 kaki) di atas paras laut. Selain daripada Western Hill, terdapat beberapa puncak di rantau ini seperti Bukit Laksamana (Melayu untuk Admiral Hill), Tiger Hill, Flagstaff Hill, Haliburton Hill dan Government Hill. 


Dengan jumlah keseluruhan 6 puncak dan yang tertinggi di 833 meter (2733 kaki) di atas paras laut, Bukit Bendera @ Penang Hill menampilkan pemandangan terbaik di Pulau Pinang dengan menawarkan pemandangan panorama pulau dan tanah besar. Tidak kira pada waktu siang mahu pun malam, anda pasti akan terpesona dengan pemandangan dari puncak bukit yang sangat memukau mata anda.


Hans memang cukup teruja dapat menyaksikan pemandangan malam bandar Georgetown yang dilimpahi dengan kerlipan lampu-lampu yang sangat cantik dan menarik. Sesiapa sahaja yang berkunjung ke Bukit Bendera @ Penang Hill ini pasti akan memperoleh pengalaman yang tidak akan mereka lupakan serta menikmati udara yang segar dan nyaman. Jika anda ingin menikmati suasana pada waktu malam seperti Hans, anda perlu bijak merancang masa perjalanan kerana keretapi terakhir untuk turun ke stesen bawah ialah pada jam 11 malam. Jadi, manfaatkan masa anda sepanjang berada di atas puncak dengan bergambar sebanyak mungkin dan menikmati udara malam yang sangat mendamaikan.


Hans turut dimaklumkan oleh rakan-rakan terdapat sebuah restoran di Stesen Atas Bukit Bendera @ Penang Hill ini yang menawarkan hidangan yang menarik dan sedap. Namun, waktu operasinya hanya sehingga pukul 9.00 malam sahaja. Jadi, tidak sempat lah Hans mencuba menu-menu yang terdapat disini. Cuma dapat mengambil gambar seperti di atas. Memang cantik kan suasana luar dan dekorasi dalaman restoran ini.


Di sekitar kawasan Bukit Bendera @ Penang Hill ini juga sebenarnya terdapat pelbagai tempat pelancongan yang menarik untuk anda terokai. Antaranya ialah kawasan Love Lock Bukit Bendera yang kerap menjadi lokasi buat pasangan kekasih melafazkan dan memeterai kasih sayang mereka dengan mangga kunci yang dihias secara kreatif seperti yang anda lihat di luar negara. Namun, Hans dan rakan-rakan media lain tidak dapat bergambar di kawasan tersebut disebabkan terdapat sekawan anjing liar yang berada disitu. Apa yang melucukan ada seorang rakan media yang dikejar dan terjatuh di hadapan Hans sehingga kasutnya tercabut. Jadi, mungkin pihak pengurusan Bukit Bendera @ Penang Hill boleh menitik beratkan keselamatan pelancong dengan memastikan tiada lagi anjing-anjing liar memasuki kawasan ini.


Selain pemandangan malam di Bukit Bendera @ Penang Hill yang amat mengasikkan ini, Hans juga turut berpeluang menikmati keindahan flora dan fauna yang tumbuh subur dan mekar di seluruh kawasan bukit. Tumbuh-tumbuhan eksotik seperti pokok Periuk Kera dan Slipper Orchid yang mendapat permintaan paling tinggi di seluruh dunia juga boleh ditemui dengan mudah disini jika anda berkunjung pada waktu siang.


Selain itu juga, Hans berkesempatan bergambar di hadapan Love Arch yang terletak di kawasan The Little Village. Kawasan ini juga turut mempunyai Kampung Orang Kerdil, Taman Arnab dan persekitaran alam yang hijau. Jika anda datang pada waktu siang, anda mungkin berpeluang mencuba pelbagai jenis madu asli disini yang pasti membuatkan anda berpuas hati. Jika datang pada waktu malam seperti Hans maka sila nikmati pemandangan malam disini sepuas-puasnya sebelum turun ke bawah.


Alhamdulillah Hans terasa misi melancong Hans ke Pulau Pinang telah lengkap apabila berjaya menjejakkan kaki di atas puncak Bukit Bendera @ Penang Hill kerana kata orang tidak lengkap lawatan anda ke Pulau Pinang jika tidak datang ke sini. Kepada para pembaca yang merancang untuk melawat atau bercuti ke Pulau Pinang, sila pastikan Bukit Bendera @ Penang Hill termasuk di dalam tentatif jadual percutian anda. Selamat melancong ke Bukit Bendera @ Penang Hill.

4 Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

  1. Balasan
    1. betul tu
      Hans pun 1st time pergi waktu malam
      lawa

      Padam
  2. boleh naik malam rupanya. tak ketahuan pula. tengok view ni mcm cantik giler n memang kena try naik time malam lepas ni..hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. yes
      seronok juga naik waktu malam
      layan limpahan lampu-lampu dekat Penang

      Padam

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama