Jumaat, 17 Mei 2019

Sunway Velocity Mall Bantu Keluarga PPR Cochrane Perkasa

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans berkesempatan hadir ke majlis pelancaran kempen "Feeding Families" berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh pihak Sunway Velocity Mall sempena bulan Ramadan kali ini .


Kempen "Feeding Families" ini diilhamkan berdasarkan makna bulan Ramadan itu sendiri yang menyedarkan kita untuk menghargai, menyedari serta memahami tentang orang-orang yang berada di persekitaran kita terutama golongan yang memerlukan. Ianya bermula apabila pihak pengurusan Sunway Velocity Mall dimaklumkan mengenai masalah kemiskinan kanak-kanak bandar serta masalah kekurangan rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur melalui laporan UNICEF yang telah diterbitkan pada tahun 2018.


Oleh itu pihak Sunway Velocity Mall mengambil keputusan untuk mendekatkan diri dengan membantu komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) berdekatan mereka iaitu PPR Cochrane Perkasa yang hanya dibezakan dengan jarak cuma 1 kilometer sahaja dari pusat membeli-belah Sunway Velocity.


Antara langkah murni yang dilakukan ialah dengan menyediakan "Satu hidangan sehari" buat 100 orang kanak-kanak yang memerlukan makanan berkhasiat untuk tumbesaran dan pembelajaran mereka. Secara tidak langsung, bantuan ini meredakan serba sedikit kebimbangan ibu bapa kanak-kanak ini yang risau tidak dapat menyediakan makanan berkhasiat yang sepatutnya untuk anak-anak mereka.


Walaupun pihak Sunway Velocity Mall memberi bantuan ini untuk sepanjang tahun namun pihak mereka ingin berkongsi tentang amalan mulia ini bersama para pelanggan mereka yang membeli-belah disini untuk membantu keluarga-keluarga yang memerlukan terutamanya ketika bulan Ramadan dan Syawal ini. Jadi, antara bentuk bantuan yang disediakan ialah dengan setiap pembelian yang yang anda lakukan maka pihak Sunway Velocity Mall akan menyumbangkan RM5 untuk kempen CSR ini.


Selain itu, pihak Sunway Velocity Mall turut menjemput 50 wakil keluarga dari PPR Cochrane Perkasa pada 14 Mei yang lepas untuk meraikan Ramadan bersama-sama mereka dengan mengagihkan barang-barang keperluan seperti beras, minyak masak, mi dan pelbagai lagi buat setiap keluarga yang hadir pada majlis tersebut. Semua sumbangan ini juga dibeli melalui sumbangan yang diperuntukkan menerusi pembelian oleh pelanggan-pelanggan mereka sebelum ini. 


Hans melihat ini adalah salah satu usaha yang sangat baik di dalam meringankan kesusahan keluarga yang tinggal di PPR Cochrane Perkasa ini dan diharapkan dengan kempen sebegini dapat membantu meringankan beban mereka sewaktu menyambut bulan Ramadan dan bulan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi. Tahniah buat pihak Sunway Velocity Mall atas penganjuran kempen amal yang menarik ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com