10 Perkara Menarik Yang Terdapat Di Tadom Hill Resorts

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Alhamdulillah baru-baru ini Hans berkesempatan ke Tadom Hill Resorts buat kali kedua bersama dengan rakan-rakan Hans yang lain. Sebelum ini Hans memang mempunyai pengalaman datang ke sini atas urusan kerja pada awal tahun 2019 yang lepas. Datang atas urusan kerja dengan datang bercuti merupakan dua perkara yang sangat berbeza. Jadi, semestinya Hans sangat gembira dan terhibur dengan percutian disini pada kali ini kerana Hans dapat menjalankan setiap aktiviti yang disediakan tanpa ada sebarang gangguan atau halangan.


TADOM HILL RESORTS

Alamat:
Kg Labohan Dagang,
Kg Orang Asli Bukit Tadom,
Daerah Kuala Langat,
42700 Banting,
Selangor.

Waktu Operasi:
Setiap Hari (9.00 Pagi - 6.45 Petang)

Telefon:
0125225908 / 0125225728

Facebook:

Laman Web:


Hans yakin masih ramai sebenarnya yang tidak tahu bahawa Tadom Hill Resorts ini menawarkan bukan sahaja pelbagai jenis rumah penginapan yang unik dengan pelbagai tahap harga tetapi juga aktiviti-aktiviti menarik dengan kos bayaran yang sangat berpatutan untuk anda cuba disini bersama ahli keluarga, rakan-rakan mahu pun teman sekerja. Untuk kali ini, Hans akan kongsikan dengan anda semua berkaitan 10 Perkara Menarik Yang Terdapat Di Tadom Hill Resorts yang anda wajib cuba apabila datang kesini nanti. 

1) FLYING FOX 

Salah satu aktiviti menarik yang anda boleh cuba disini ialah dengan mencabar diri anda melakukan flying fox dimana anda akan merentas tasik daripada kawasan atas bukit Tadom menuju ke kawasan jetipendaratan Tadom Hill Resorts. Jangan risau kerana keselamatan anda sangat dititik beratkan oleh para pekerja Tadom Hill Resorts yang terlibat di dalam menyelenggara, memberi penerangan dan membantu anda sepanjang aktiviti ini berlangsung.


Hans dan rakan-rakan yang lain terlebih dahulu diberi penerangan tentang permainan flying fox di Tadom Hill Resorts ini. Lebih menarik para pekerja turut membantu kami memakai pakaian keselamatan dengan cara yang betul agar keselamatan kami terjaga sewaktu melakukan aktiviti ini. Cuma Hans tak berkenan betul apabila kena pakai topi keselamatan ini sebab nampak bentuk muka Hans macam siri animasi Yokies dah. Hahahaha!


Selepas selesai berjalan dan mendaki beberapa anak tangga untuk tiba di kawasan pelepasan, Hans perlu mendengar taklimat seterusnya serta ditunjukkan cara-cara untuk melakukan flying fox. Maklum sahaja lah setiap lokasi yang menawarkan aktiviti flying fox mempunyai cara pelepasan yang berbeza kerana tempat merentas dan mendaratnya juga berlainan.


Aktiviti Flying Fox ini menjadi lebih gembira apabila ada seorang dua rakan-rakan Hans yang takutkan ketinggian. Sebenarnya tak tinggi mana pun tetapi depa nih memang suka drama lebih. Tetapi, seronok juga lah sebab baru rasa meriah sikit apabila ada yang terlebih berani atau terlebih takut nih. Hahaha!


Video rakaman di atas menunjukkan Hans sedang melakukan aktiviti flying fox di Tadom Hill ResortsAda orang kata Hans tak ada perasaan masa buat aktiviti flying fox ini. Sebenarnya, Hans tak ada masalah takutkan ketinggian jadi ketinggian flying fox disini bukan lah terlalu tinggi sehingga membuatkan Hans rasa takut atau sebagainya. Cuma, apa yang menarik apabila melakukan flying fox di Tadom Hill Resorts ini apabila Hans dapat menikmati pemandangan tasik yang sangat indah seperti melihat orang berkayak, berenang dan sebagainya sewaktu Hans merentas tali menuju ke jeti pendaratan. Serius memang cantik sangat pemandangan di bawah apabila melihat dari atas.


Gambar di atas merupakan jeti pendaratan yang menghadap Bukit Tadom dan semestinya anda tidak perlu risau kerana pendaratan anda pasti selamat hasil bantuan pekerja yang sudah bersiap sedia untuk menyambut ketibaan anda di bawah nanti. Wajib cuba aktiviti menarik ini!


2) COMBAT ARCHERY & PAINTBALL

Hans yakin ramai yang sudah mengetahui tentang permainan Paintball tetapi adakah anda pernah tahu atau bermain permainan Combat Archery? Permainan ini bagi Hans sangat menarik dan menguji stamina kerana ia perlu dimainkan secara berkumpulan dan memerlukan anda merancang strategi yang baik untuk memperoleh kemenangan.

Ucapan Khas Daripada Ketua Kumpulan Sebelum Berjuang!

Permainan ini menggunakan busur dan anak panah getah yang lembut dan dilengkapi dengan alat penutup muka yang sangat selamat untuk memastikan anda tidak perlu risau tentang nyawa anda melayang atau tidak. Hahaha! Sebelum bermain, anda akan diberi penerangan terlebih dahulu tentang cara permainan dan bagaimana markah-markah diambil untuk menentukan kumpulan mana yang menang.

Gaya Tersendiri Daripada Ahli Kumpulan Sebelum Ke Medan Perang!

Permainan Combat Archery ini sememangnya sangat bagus untuk menguruskan badan kerana anda pasti akan berpeluh kerana perlu berlari ke sana-sini untuk bersembunyi atau mengelakkan daripada terkena anak panah. Jika terkena anak panah dimana-mana bahagian anggota badan atau pun busur panah, itu bermakna anda telah tersingkir akibat dibunuh musuh. Kemenangan mutlak apabila anda dapat mengambil bendera di bahagian tengah dan membawanya pulang ke kawasan anda. 


Aktiviti ini memang sangat menghiburkan tambah-tambah apabila Hans dapat bermain permainan ini dengan rakan-rakan yang riuh dan becok. Jadi, pastikan anda bermain Combat Archery apabila anda datang kesini nanti. Sila lihat video dibawah untuk melihat pengalaman Hans dan rakan-rakan bermain Combat Archery ini. 


3) ATV

Perkara menarik seterusnya yang terdapat di Tadom Hill Resorts yang anda wajib cuba ialah bermain All-Terrain Vehicle (ATV) yang sungguh menghiburkan. Hans sebenarnya memang mempunyai masalah membawa ATV ini kerana kecenderungan untuk berhadapan dengan kemalangan sememangnya ada. Hahaha! Tetapi, disebabkan penerangan yang jelas daripada pekerja Tadom Hill Resorts ini telah berjaya membuatkan Hans berjaya membawa ATV kali ini dengan cukup jayanya.


Satu info menarik yang Hans peroleh kali ini ialah jangan sesekali menahan kaki di bawah sewaktu membawa ATV kerana ia membahayakan diri anda. Ini disebabkan kenderaan ATV ini stabil walaupun melalui kawasan curam atau berlopak. Untuk kali ini, Hans membawa ATV melalui kawasan sekitar Bukit Tadom yang menawarkan beberapa pemandangan indah yang menarik untuk anda bergambar.


Antara kawasan yang menarik disini ialah apabila melalui denai-denai kecil, melihat pemandangan kolam yang dipenuhi bunga teratai serta melalui kawasan kolam memancing yang luas dan bersih.


Aktiviti ATV merupakan antara perkara menarik yang terdapat di Tadom Hill Resorts yang anda wajib cuba. Video dibawah merupakan sedikit perkongsian Hans buat anda semua jika anda merupakan seorang yang gemar bermain ATV.


4) WATER SKIPPER

Hans berasa sangat bertuah kerana Hans dan rakan-rakan merupakan kumpulan pertama yang dapat merasmikan dahulu permainan air terbaru yang ditawarkan di Tadom Hill Resorts. Terdapat 4 jenis permainan air kali ini tetapi yang paling unik dan mencabar ialah permainan Water Skipper.

Cara-Cara Bermain Permainan Air Iaitu Water Skipper 

Tengok pekerja yang merupakan salah seorang pengajar permainan ini tunjuk cara bermain nampak macam senang sahaja. Tetapi, rupa-rupanya susah juga kalau tak tahu teknik sebenar. Memang alamatnya tenggelam depan tempat berlepas tu sahaja lah. Hahaha! Sebenarnya kalau ikutkan teknik bermain Water Skipper ini hanya memerlukan pergerakan kaki sahaja dan ada beberapa rakan Hans yang berjaya melakukannya dengan bergaya sekali. Ini antara permainan menarik yang anda wajib cuba apabila datang ke Tadom Hill Resorts.

Kelakar Kan Tengok Video Bermain Water Skipper Nih?
Layan Juga Naik Kayak Lutsinar Ini! Nampak Bawah Weh!
Permainan Comel Nih Pun Best! Seronok Mengayuh Secara Berjemaah!

5) BAMBOO RAFTING

Antara perkara paling menarik yang terdapat di Tadom Hill Resorts ini ialah apabila Hans berpeluang bermain Bamboo Rafting. Ia sebenarnya merupakan satu permainan lumba dimana anda perlu menolak rakit ke satu check point dan membawanya semula ke check point pertama anda berlepas sebelum ini. Jadi, setiap kumpulan terdapat lebih kurang 8 hingga 10 orang dimana terdapat 3 atau 4 orang akan berada di atas rakit untuk mendayung manakala yang lain berada di bawah untuk menolak rakit.


Aktiviti Bamboo Rafting ini juga memerlukan kerjasama daripada setiap ahli kumpulan dengan baik. Paling kelakar tu sebab kebanyakannya tak pandai berenang jadi memang waktu nak tolak rakit tu rasa macam tak tertolak pun. Jangan risau jika anda tidak tahu berenang kerana pihak Tadom Hill Resorts telah mewajibkan semua pengunjung untuk memakai jaket keselamatan bagi setiap aktiviti air yang dilakukan disini. Jadi, kalau anda juara renang Olimpik sekali pun, anda wajib memakai jaket keselamatan untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Video Di Atas Merupakan Suasana Sewaktu Aktiviti Bamboo Rafting Berlangsung! 

Hans memang rasa teruja betul kerana pertama kali dapat bermain Bamboo Rafting ini. Lebih menggembirakan sebab menang pula tu. Hahahaha! Jadi, aktiviti Bamboo Rafting ini merupakan antara 10 perkara menarik yang terdapat di Tadom Hill Resorts yang wajib cuba apabila datang ke sini. Rugi beb kalau tak main! 


6) TADOM SPLASH

Aktiviti menarik seterusnya yang ditawarkan di Tadom Hill Resorts ini ialah Tadom Splash dimana anda boleh melakukan pelbagai aksi terjunan di atas pelantar buluh setinggi 5 meter. Hans cukup suka dengan aktiviti ini kerana dapat merakam video dalam gaya slow mo untuk melihat reaksi sendiri saat melakukan terjunan. Aktiviti ini juga merupakan antara perkara menarik yang terdapat di Tadom Hill Resorts yang anda wajib cuba. Menyesal kalau tak cuba sebab pengalaman melakukan aktiviti Tadom Splash ini memang susah nak jumpa dekat tempat lain.

7) HAKKA VILLAGE

Kalau anda datang bercuti ke Tadom Hill Resorts, salah satu perkara menarik yang terdapat disini yang anda wajib cuba ialah bermalam di Hakka Village yang tersergam indah ini. Untuk pengetahuan anda, Hakka Village merupakan salah satu kediaman istimewa dan terunik yang terdapat di Tadom Hill Resorts ini. Hakka Village ini dihasilkan daripada lebih 6000 batang buluh dan mengambil masa sekitar 6 bulan untuk disiapkan.


Masyarakat di negara China memanggil bangunan ini sebagai TulouTulou bermaksud bangunan tanah yang menjadi kediaman tradisional kaum komuniti Hakka yang terletak di bahagian selatan negeri China. Bangunan Tulou ini kebiasaannya berbentuk bulat dan mengelilingi satu pusat yang dibina daripada tanah, pasir dan batu kapur. Tulou ini diduduki oleh kaum Hakka dan kebiasaannya dibina antara 4 hingga 6 tingkat bertujuan untuk menyimpan bahan makanan di tingkat atas.


Terdapat 10 buah bilik yang disediakan di Hakka Village ini dimana setiap bilik mampu menempatkan sekitar 4 orang sehingga 6 orang dalam satu masa. Bilik di bahagian atas tidak menggunakan penghawa dingin manakala bilik di bahagian bawah pula menggunakan penghawa dingin. Uniknya kawasan penempatan ini ialah bilik air dan tandasnya disediakan di bahagian luar bilik.


Bangunan Tulou di China telah diisytiharkan oleh UNESCO pada tahun 2008 sebagai bangunan bersejarah dan berbentuk unik. Jadi, apabila anda datang kesini maka dapat lah anda merasa sendiri bagaimana tinggal di dalam bangunan Tulou yang cantik ini tanpa perlu bersusah payah pergi ke negara China.

8) BARBEQUE SESSION

Jangan ingat Tadom Hill Resorts hanya meriah pada waktu siang sahaja. Sebenarnya aktiviti malam di sini juga tidak kurang hebatnya. Hans sangat seronok melihat kemeriahan malam yang terdapat di sini sewaktu Hans dan rakan-rakan melakukan aktiviti barbeque beramai-ramai.


Selain daripada aktiviti barbeque, Tadom Hill Resorts turut menyediakan aktiviti karaoke, camp fire, sukan pingpong, bola tampar pasir dan banyak lagi yang anda boleh cuba disini. Serius memang hidup suasana malam disini.


Berbalik kepada aktiviti bbq, istimewanya aktiviti ini apabila Hans dan rakan-rakan menggunakan arang yang diperbuat daripada buluh untuk dijadikan sebagai bahan bakar untuk kami memasak dan memanggang makanan-makanan seperti otak-otak, ikan, ayam dan sebagainya. Serius memang seronok betul dapat makan di bawah pondok buluh yang cantik bercahayakan lampu ini.


9) FOTOGRAFI & MAKANAN

Antara perkara menarik lain yang terdapat di Tadom Hill Resorts ini pula bagi Hans sangat sesuai kepada sesiapa yang menyukai makanan dan fotografi. Ini disebabkan Hans sendiri dapat mengambil beberapa gambar alam semula jadi yang sangat cantik disini serta berpeluang menikmati nasi yang dimasak di dalam daun buluh yang bagi Hans sangat unik dan menarik. Kalau anda datang ke sini, pastikan anda cuba nasi daun buluh ini serta aneka lauk pauk yang enak-enak dimana ianya disediakan oleh Kafe Tadom Hill Resort.


10)  BAMBOO SHARING

Salah satu perkara yang tidak disangka oleh Hans sewaktu datang bercuti di Tadom Hill Resorts ini apabila berpeluang bertemu dengan pemilik Tadom Hill Resorts iaitu Dato' Lai Yeng Fock yang sudi berkongsi ilmu tentang tanaman buluh. Memandangkan Hans cukup sukakan ilmu tentang flora dan fauna ini maka ini merupakan satu peluang yang Hans tidak boleh lepaskan.


Untuk pengetahuan anda, terdapat lebih daripada 1000 jenis spesis buluh di seluruh dunia yang telah ditemui. Tadom Hill Resort pula telah berjaya menanam dan membiakkan lebih kurang 22 jenis buluh di kawasan ini.


Hans secara peribadi agak bangga dengan usaha yang dilakukan oleh pemilik Tadom Hill Resorts ini yang bercita-cita untuk menjadikan tanaman buluh sebagai salah satu industri yang memberi pulangan kewangan kepada masyarakat orang asli yang tinggal di kawasan sekitar ini.


Hans juga turut ingin berkongsi dengan anda semua berkaitan dengan kegunaan buluh ini. Sebelum ini, Hans ingatkan buluh hanya digunakan untuk membuat lemang atau rakit sahaja. Tetapi, rupa-rupanya kegunaan buluh ini sangat banyak dan setaraf dengan pokok kelapa dimana setiap bahagiannya mempunyai fungsi dan kegunaan tersendiri. Sebagai contoh, buluh betung dan buluh semantan digunakan untuk membuat bangunan. Buluh hidup pula digunakan untuk membuat cuka buluh. Selain itu, buluh juga boleh digunakan untuk menghasilkan bahan pengusir serangga seperti repellent untuk menghalau lalat, semut dan sebagainya.


Lebih menarik perhatian Hans iaitu buluh turut digunakan untuk menghasilkan arang seperti yang Hans gunakan pada aktiviti barbeque disini. Arang yang dihasilkan daripada buluh ini bukan sahaja berfungsi sebagai bahan bakar tetapi juga sebagai bahan untuk menyerap dan menghilangkan bau yang tidak enak seperti bauan di tandas, kereta atau bilik tidur.

Buluh Turut Dijadikan Sebagai Bahan Baja Organik Untuk Industri Pertanian.

Satu perkara menarik tentang buluh yang Hans baru tahu ialah terdapat buluh yang boleh dimakan turut dimanfaatkan di dalam industri bio charcoal dimana serbuk daripada buluh tadi digunakan untuk menghasilkan roti charcoal, ubat sakit perut dan juga bahan penapis air. Memang sangat menarik info-info tentang kegunaan buluh ini.


Jadi, inilah 10 perkara menarik yang terdapat di Tadom Hill Resorts yang anda wajib cuba apabila datang bercuti atau melakukan aktiviti disini. Hans secara peribadi sangat terhibur berada di Tadom Hill Resorts kerana setiap aktiviti yang Hans lakukan memang terasa berbaloi dan cukup memuaskan hati. Hans mengharapkan anda semua datang bercuti ke sini pada musim cuti nanti dan Hans yakin percutian anda pastinya berakhir dengan 1001 kegembiraan yang anda tidak akan dapat lupakan sepanjang hidup anda. Selamat bercuti di Tadom Hill Resorts!

22 Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

  1. banyaknya aktiviti menarik bole cuba

    BalasPadam
    Balasan
    1. yes
      ada lagi aktiviti yang lain
      cuma Hans kongsi apa yang Hans buat dan suka
      hehehe

      Padam
  2. just saying, it's better kalau tunjuk sekali harga fee setiap aktiviti, biasanya student suka pergi tempat - tempat camni. lagi menarik minat kalau harga dipamerkan. jadi boleh budget duit untuk pergi tempat2 seperti ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. boleh check dekat laman web Tadom Hill Resorts seperti yang saya kongsikan di artikel ini

      Padam
  3. Menarik sungguh sebab ada banyak aktiviti. Esok-esok ofis ksarie nak buat team building, ksarie suruh depa dapatkan quotation kat sini la

    BalasPadam
    Balasan
    1. yes
      ramai juga yang buat team building dekat sini masa Hans datang
      daripada budak sekolah sampai yang bekerja
      aktiviti banyak yang sesuai kalau nak buat team building

      Padam
  4. Macam-macam aktiviti yekat sini. Boleh bawa anak-anak ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. yes
      macam-macam ada
      permainan untuk kanak-kanak pun banyak juga
      ada papan gelongsor istimewa untuk diorang

      Padam
  5. pernah juga teringin nak ke sini, sebab dekat sangat dengan rumahh kawan dekat banting tu...

    BalasPadam
  6. Bnyk aktiviti menarik yg boleh buat kat sini. Klu buat program team building pun ok ni.. persekitaran pun nampak cantik.

    BalasPadam
    Balasan
    1. memang sesuai sangat kalau nak buat team building

      Padam
  7. Balasan
    1. Kami staf tadom hill resort n water sport mengalu alukan kedtgan anda semua utk menikmati aktiviti yg kami sediakan ditadom hill resort..

      Padam
    2. water skipper memang best. hehe

      Padam
    3. terima kasih semua staff Tadom Hill Resort dan Water Sport atas layan mesra dan ramah

      Padam
  8. Yang warna Pink Biru pelampung banyak2 tu apa?? nampak mcm menarik..tak ada pulak dlm review..kalau boleh info nak tahu jgak apa tu..mcm best je..

    BalasPadam
    Balasan
    1. yang belakang gambar ramai-ramai tu ker?
      kalau yang iatu Float
      sesuai untuk kanak-kanak

      Padam
  9. Yang warna pink biru mcm pelampung banyak2 tu apa?? cari dekat review xde plak..nampak mcm best je..tolong info ye kalau tahu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. yang belakang gambar ramai-ramai tu ker?
      kalau yang iatu Float
      sesuai untuk kanak-kanak

      Padam
  10. yang warna pink biru mcm pelampung bnyak2 tu apa..background gmbar 2 org lelaki tu..nmpak mcm best jer..kalau tahu tolong info yer..tw

    BalasPadam
    Balasan
    1. yang belakang gambar ramai-ramai tu ker?
      kalau yang iatu Float
      sesuai untuk kanak-kanak

      Padam

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama