Selasa, 23 Julai 2019

Keistimewaan Lembah Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Pada 12 hingga 14 Julai 2019 yang lepas, Hans berkesempatan untuk menyertai program FAM Trip Media Dan Agensi Pelancongan Bersempena Karnival Lenggong 2019. Ia adalah salah satu pengalaman yang cukup menarik untuk Hans mendapat info dan mengetahui kenapa Lembah Lenggong begitu istimewa sehingga tersenarai sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.


Hans dan rakan media yang lain telah berkumpul di Dataran Lenggong pada pagi 13 Julai 2019 untuk dibawa menyertai Kembara Warisan Arkeologi Lembah Lenggong dimana kami akan melawat Gua Kajang, Bukit Jawa, Bukit Sapi, Bukit Bunuh dan Galeri Arkeologi Lembah Lenggong.


Jadi, lokasi pertama Hans dibawa melawat sempena Kembara Warisan Arkeologi Lembah Lenggong kali ini ialah Gua Kajang. Untuk pengetahuan semua, gua ini terletak di dalam kompleks batu kapur Bukit Kepala Gajah. Apa yang Hans ketahui, gua ini merupakan gua pertama yang dijalankan proses ekskavasi di negara Malaysia iaitu pada sekitar tahun 1917.




Kajian ekskavasi tersebut telah berjaya menemui pecahan tembikar, alat batu, sisa makanan dan tinggalan rangka manusia. Kajian seterusnya yang dijalankan oleh USM pula mendapati Gua Kajang telah digunakan sejak 5,000 sehingga 11,000 tahun dahulu sebagai kawasan tempat tinggal serta kawasan pengebumian yang melibatkan dua zaman iaitu Paleolitik dan Neolitik.




Gua Kajang juga turut dilihat mempunyai formasi gua yang menarik dimana ia berbentuk terowong dan mempunyai banyak stalaktit dan stalagmit. Hans turut mendapat penerangan bahawa pada era penjajahan komunis, gua ni turut dijadikan tempat perlindungan oleh orang kampung untuk bersembunyi dan berlindung dimana gua ini dipagar secara ghaib. Menarik bukan?


Gambar di atas merupakan satu satu lokasi di Gua Kajang yang menjadi kawasan perkuburan pada zaman dahulu. Memandangkan keadaan tanahnya yang berasid jadi pasukan pencari tidak menjumpai keseluruhan rangka tulang mayat-mayat yang dikebumikan di kawasan ini semasa proses pemindahan dahulu. Lebih menarik di dalam banyak-banyak kawasan dalam gua, lokasi perkuburan ini sahaja yang ditumbuhi tumbuhan hijau yang subur.


Apa yang membanggakan juga, Gua Kajang turut mendapat perhatian masyarakat luar sehingga terpilih menjadi lokasi penggambaran di dalam rancangan National Geographic. Produksi filem tempatan juga turut tidak terkecuali memilih lokasi ini sebagai lokasi penggambaran dimana anda boleh melihatnya di dalam filem Sifu & Tongga.


Buat anda yang ingin datang kesini dan melihat keistimewaan dan keunikan yang terdapat di Gua Kajang ini, sila pastikan anda mendapatkan pemandu pelancong atau orang yang berkaitan supaya anda dapat mengetahui dan melihat sendiri lokasi-lokasi serta penemuan-penemuan yang Hans kongsikan untuk Gua Kajang ini.


Lokasi seterusnya yang Hans dibawa melawat sempena Kembara Warisan Arkeologi Lembah Lenggong ialah Bukit JawaHans dikhabarkan usia Bukit Jawa ini adalah sekitar 100 ribu hingga 200 ribu tahun dimana ia merupakan sebuah tapak terbuka yang mendedahkan tentang bukti kebudayaan Paleolitik pernah berlaku disini. Tapak ini telah ditemui oleh USM dan kajian telah dijalankan pada tahun 1996 lagi.


Menurut penerangan yang disampaikan, Bukit Jawa merupakan sebuah bandar pelabuhan disebabkan bukti-bukti kajian yang menyatakan kawasan ini termasuk di dalam Sungai Perak dan kapal-kapal telah datang berlabuh ke sini. Namun, disebabkan gunung berapi Toba meletus di Indonesia dan ia telah memberi impak serta kesan yang sungguh dasyat sehingga Tanah Lenggong turut menerima kesannya. 


Dikatakan seluruh asia tenggara pada ketika itu menjadi gelap dalam tempoh yang sangat lama disebabkan debu gunung berapi menutup permukaan atas sehingga ramai yang mati disebabkan tidak dapat lari daripada kejadian alam tersebut. Gambar di atas menunjukkan sebenarnya ketinggian air sungai pada satu ketika dahulu dan ia dibuktikan lagi dengan lapisan kelikir sungai enapan yang wujud pada Sungai Perak kuno dahulu.


Bukit Jawa turut dikesan merupakan kawasan bengkel alat batu pada sekitar 100,000 ribu sehingga 200,000 ribu tahun dahulu namun pembuatan alat batu disini dikenal pasti agak kuno sedikit berbanding Kota Tampan. Masyarakat pada ketika itu menggunakan batu pelandas, batu teras dan batu pemukul untuk membuat alat pebel dan alat repehan.


Kajian turut menyatakan kawasan Sungai Perak disini telah berubah sebanyak lima kali dimana setakat ini 5 dasar sungai telah pun dijumpai. Hans agak teruja apabila melihatnya sendiri di hadapan mata dimana banyak lagi sebenarnya sejarah tentang negara kita yang masih belum terjawab dan memerlukan banyak kajian untuk mencari jawapan yang tersembunyi.


Buat anda yang ingin datang kesini dan melihat keistimewaan dan keunikan yang terdapat di Bukit Jawa ini, sila pastikan anda mendapatkan pemandu pelancong atau orang yang berkaitan supaya anda dapat mengetahui dan melihat sendiri lokasi-lokasi serta penemuan-penemuan yang Hans kongsikan untuk Bukit Jawa ini.


Lokasi seterusnya yang Hans dibawa melawat sempena Kembara Warisan Arkeologi Lembah Lenggong ialah Bukit Sapi. Persinggahan sekejap ini juga agak menarik kerana Hans dimaklumkan dan ditunjukkan bahawa Bukit Sapi ini sebenarnya dipenuhi dengan debu volkanik hasil letusan gunung berapi Toba pada 75000 tahun dahulu.


Kehadiran debu Toba ini turut direkodkan di lembah Sungai Perak, Selangor dan Baling, Kedah dimana taburan debu di lembah Lenggong sahaja setebal 7 hingga 10 meter. Dan ini membuktikan bahawa bencana ini telah mengakibatkan kepupusan masyarakat prasejarah Kota Tampan yang tinggal di sekitar kawasan ini pada suatu masa dahulu.



Dalam perjalanan ke Bukit Bunuh, kami berhenti seketika di kawasan Sungai Perak untuk mengabadikan pengalaman di dalam gambar. Bukan selalu ambil gambar macam ini kan? Hahaha!


Lokasi seterusnya yang Hans dibawa melawat sempena Kembara Warisan Arkeologi Lembah Lenggong ialah Bukit Bunuh. Sekali pandang seperti tiada keistimewaan dan hanya dikelililingi oleh ladang kelapa sawit. Tetapi, untuk pengetahuan anda, kawasan ini merupakan lokasi batu meteorit terhempas dan menghentam kawasan Lenggong pada kira-kira 1.83 juta tahun yang lampau.


Hal ini dibuktikan melalui penemuan batu suevit di sekitar kawasan ini yang menjadikan Bukit Bunuh sebagai salah satu daripada 28 tapak impak meteorit duniaBatu meteroid yang jatuh ini juga dikatakan telah membakar kawasan ini dan menyebabkan seluruh kawasan mempunyai berpuluh-puluh ribu batu yang dipanggil batu suevit kerana meteorit jatuh dalam keadaan cecair.


Kawasan Bukit Bunuh mempunyai daya magnetik yang kuat dan diameter kawah hasil hentakan direkodkan sepanjang 1.8km. Lebih menarik kerana banyak alat batu ditemui seperti kapak genggam yang disahkan usianya berjuta tahun. Ini menunjukkan bahawa di kawasan ini telah ada kebudayaan Paleolitik sebelum ianya musnah hasil impak hentaman meteorit tersebut.


Buat anda yang ingin datang kesini dan melihat keistimewaan dan keunikan yang terdapat di Bukit Bunuh ini, sila pastikan anda mendapatkan pemandu pelancong atau orang yang berkaitan supaya anda dapat mengetahui dan melihat sendiri lokasi-lokasi serta penemuan-penemuan yang Hans kongsikan untuk Bukit Bunuh ini. Selamat melancong ke Lembah Lenggong Tapak Warisan Dunia Unesco yang cukup istimewa ini.

2 ulasan:

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com