Sabtu, 30 November 2019

Sungai Selama River Cruise Rafting Di Selama Perak

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah terlibat di dalam Program Familiarization Fam Trip yang berlangsung pada 29 hingga 31 Oktober 2019 di daerah Selama, Perak. Jadi, sepanjang tiga hari dua malam Hans berada di bumi Perak ini sememangnya menghadiahkan Hans pelbagai pengalaman menarik yang membuatkan Hans ingin berkongsikan segala perkara manis ini dengan anda semua yang merupakan pembaca setia blog ini.


Jadi, aktiviti hari pertama Hans selepas mendaftar masuk di Selama Inn @ Rumah Rehat Selama ialah melakukan aktiviti Water Rafting di Sungai Selama, Perak. Untuk pengetahuan semua, ini adalah pengalaman pertama Hans melakukan aktiviti air yang lasak sebegini dan sememangnya Hans sudah lama teringin untuk mencuba walaupun terasa gerun di hati. Ini kerana Hans merupakan manusia yang tidak pandai berenang tetapi memang pantang tengok air dan mesti nak cuba. Hahaha!


Satu lagi pengalaman menarik apabila dibawa kesana dengan menaiki lori yang ala-ala bawa banduan tu. Alhamdulillah Hans cepat masuk ke dalam jadi selamat daripada menjadi mangsa duduk di belakang. Hahaha!


Nak dijadikan cerita yang tragis sewaktu dalam perjalanan menuju ke Sungai Selama tu dan tiba-tiba hujan turun membasahi bumi. Maka tiga orang lelaki seperti yang tertera pada gambar di atas yang terpaksa menghadap onak dan duri sebelum tiba ke destinasi yang sebenar. Belum lagi buat water rafting tetapi mereka bertiga dah basah dulu dah. Tetapi, Hans tak rasa bersalah sangat lah sebab tengok masing-masing gembira jer kena hujan. Hahaha!


Jadi, lori yang Hans dan rakan-rakan naiki sebentar tadi berhenti di sebuah kebun getah sebelum kami ramai-ramai masuk ke dalam menuju ke tempat taklimat sebelum memulakan aktiviti water rafting ini. Memandangkan aktiviti air yang lasak ini semestinya akan membasahkan seluruh pakaian anda maka dinasihatkan untuk memakai pakaian dan kasut yang bersesuaian. Satu tips yang menarik yang anda boleh cuba iaitu dengan memakai kasut getah yang anda boleh beli di Selama Inn dengan harga yang cukup murah tetapi sangat berkualiti. Kalau anda perasan di dalam gambar, ramai yang memakai kasut getah berwarna hitam tu kan? Itulah kasut yang sangat sesuai untuk aktiviti seperti ini. 


Selain bersama dengan para pengajar yang terlatih, Hans dan rakan-rakan juga turut ditemani oleh pihak bomba yang sado-mado seperti gambar di atas. Maklum sahaja lah boleh dikatakan 90 peratus yang menyertai program kali ini tidak pernah melakukan aktiviti water rafting. Jadi, sememangnya keselamatan sangat dititikberatkan oleh pihak Nature Eco Adventure ini.

Bukan Senang Nak Bergambar Masa Hujan Macam Nih! Hahaha!
Sesi Taklimat Keselamatan Yang Sangat Informatif  Dan Membantu
Masing-Masing Bersemangat Memakai Aksesori Keselamatan Sebelum Aktiviti Dimulakan

Satu perkara yang Hans cukup suka dengan pihak Nature Eco Adventure yang menyediakan aktiviti Water Rafting ini ialah setiap peralatan yang digunakan daripada bot, jaket keselamatan, topi keledar serta pendayung semuanya masih dalam keadaan baru dan cukup berkualiti. Jadi, ini membuatkan Hans berasa lebih yakin untuk melakukan aktiviti water rafting ini bersama rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah bacaan doa dilakukan sebelum memulakan aktiviti yang sudah lama Hans nanti-nantikan untuk cuba sendiri.


Cabaran pertama bermula dimana Hans dan rakan-rakan perlu mengangkat bot ini menuju ke tebing Sungai Selama sendiri. Memang sedikit mencabar tetapi Hans berasa seronok kerana pada akhirnya dapat masuk ke dalam bot sendiri dan menjadi kumpulan pertama yang berlepas untuk menyelesaikan cabaran jeram-jeram yang menanti di Sungai Selama, Perak ini. Jadi, pastikan anda memakai pakaian keselamatan dengan betul sebelum memulakan aktiviti ini sebab Hans perasan ramai yang kurang mengambil berat tentang cara-cara memakai jaket keselamatan dengan cara yang betul. Ada segelintir yang tidak mengikat tali pakaian keselamatan di bahagian kelangkang sebelum akhirnya berbuat demikian selepas ditegur. Harus faham yer semua jika anda tidak mengikat tali jaket keselamatan di bahagian kelangkang, ia adalah sesuatu yang sangat berbahaya seandainya anda tercampak ke dalam air dimana anda berkemungkinan akan tenggelam timbul di dalam air disebabkan badan gagal terapung dengan baik. Jadi, pastikan anda mengikut arahan yang diberikan melainkan jika anda merupakan spesis Aquaman!


Alhamdulillah! Memang satu pengalaman yang sangat menarik walaupun adakalanya mencabar dan menakutkan! Permainan ini sememangnya memerlukan kerjasama kumpulan selain perlu pandai menyeimbangkan berat di bahagian kiri dan kanan. Hans yang duduk di belakang memang rasa seronok sewaktu bot melambung-lambung menyelesaikan cabaran jeram dengan melanggar batu di kiri dan kanan. Hans memang sangat berpuas hati dapat melakukan aktiviti Water Rafting di Sungai Selama, Perak ini yang sememangnya memberikan pelbagai jenis cabaran yang begitu mendebarkan. Kalau anda suka melakukan water rafting maka Hans yakin Sungai Selama pasti bakal menguji kekuatan dan ketahanan anda sepanjang satu jam menyusuri sungai ini.

SUNGAI SELAMA RIVER CRUISE RAFTING

Alamat:
Warzuqni Muafakat,
2, Kampung Tapah,
34140 Rantau Panjang,
Selama, Perak.

Whatsapps:
01163015026

Email:
warzuqnimfkt@gmail.com

Blog:
https://eco-natventure.blogspot.com

Facebook:
econatventure.blogspot

Instagram:
econatventure 


Kepada sesiapa yang meminati atau ingin mencuba aktiviti air yang lasak tetapi menarik iaitu River Cruise Rafting di Sungai Selama, Perak ini, anda boleh berhubung dengan Nature Eco Adventure untuk bertanyakan tentang pakej harga yang disediakan sama ada melalui telefon atau laman sosial seperti yang Hans kongsikan di atas. Pastikan anda melakukan aktiviti menarik ini apabila berkunjung ke Selama, Perak nanti. Rugi kalau tak cuba sebab anda akan memperoleh satu pengalaman yang tak mungkin anda peroleh di tempat lain. Selamat mencuba aktiviti water rafting!

P/S : Lokasi Menarik Lain Yang Boleh Anda Baca Sepanjang Program Familiarization Fam Trip Selama Perak Adalah Dengan Melihat Pada Pautan Artikel Ini : 10 LOKASI MENARIK DI SELAMA PERAK YANG BOLEH ANDA PERGI

2 ulasan:

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com