Sabtu, 4 Januari 2020

Apa Yang Menarik Tentang Fort Margherita Dan Brooke Gallery

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Pada 22 hingga 24 November 2019 yang lepas, Hans telah berkesempatan menyertai satu program menarik anjuran Tourism Malaysia Sentral dengan kerjasama Malaysia Airlines dan Sarawak Tourism Board dengan melawat daerah Kuching, Sarawak. Jadi, sepanjang tiga hari dua malam Hans berada di bumi Sarawak ini sememangnya menawarkan Hans pelbagai pengalaman menarik yang cukup menakjubkan. Tambahan pula ini adalah kunjungan kali pertama Hans ke negeri Sarawak. Jadi, sememangnya Hans betul-betul teruja untuk mengetahui apakah lokasi pelancongan menarik yang menanti Hans di sekitar Kuching ini.



Jadi, lokasi tarikan pelancongan pertama yang ditawarkan di Kuching ini ialah Brooke Gallery (Galeri Brooke) dan Fort Margherita (Kubu Margherita) dimana ia merupakan salah satu monumen bersejarah yang paling terkenal dan menjadi mercu tanda bandaraya Kuching. Untuk makluman anda, Fort Margherita terletak di atas tebing Sungai Sarawak dimana ia mengadap Pekan Kuching berhampiran kediaman Brooks. Fort Margherita (Kubu Margherita) dibuka semula kepada umum pada tahun 2014 selepas proses pemuliharaan secara meluas yang memakan masa selama 14 bulan di bawah kelolaan Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama daripada Jabatan Muzium Sarawak serta arkitek pemuliharaan tempatan merangkap Pengerusi Institut Arkitek Malaysia iaitu Encik Mike Boon.



Kubu yang telah dibina pada tahun 1879 ini diberikan nama ‘Margherita’ bersempena dengan nama isteri kepada rajah kedua Sarawak, Charles Brooke iaitu Margaret Alice Lili de Windt @ Renee Margaret yang dikahwininya di Highworth, Wiltshire pada 28 Oktober 1869. Dia dilantik kepada pangkat Maharani Sarawak dengan gelaran Tuanku Permaisuri ketika perkahwinan mereka.



Dibina dengan gaya reka bentuk kubu Inggeris di zaman Renaissance, bangunan yang berbentuk bangunan segi empat ini dibina dari batu-bata berplaster dan didirikan dengan tujuan untuk dijadikan sebagai tempat penempatan tentera, penyimpanan senjata, menara kawalan dan penjara.



Kubu ini dilengkapi dengan baik untuk melindungi ibu negeri ini dari pencerobohan melalui sungai. Dinding bermenara tiga blok menara tingkat termasuk titik pemerhati di atas, halaman yang dikelilingi oleh dinding yang tinggi dengan bertatah serpihan kaca tajam untuk perlindungan dan dibenamkan ke dalam dinding itu sendiri adalah tingkap kayu melalui mana meriam telah dibedil melepaskan tembakan. Tetapi, sejak tahun 1879 dimana Sarawak berada di dalam suasana yang aman damai, kubu ini telah beralih fungsinya dengan digunakan sebagai penjara sehinggalah penjara baru dibina berhampiran dengan padang tembak kira-kira 1.6 kilometer dari kawasan ini.



Sehinggalah pada masa perang dunia kedua, kubu ini dijaga oleh pengawal yang bertugas siang dan malam dimana mereka sentiasa akan memekitkan "Semuanya Baik" pada setiap satu jam mulai pukul 8 malam sehingga pukul 5 pagi. Laungan tersebut akan disahut pula oleh pengawal di Istana, pengawal di pejabat jam besar kerajaan di seberang sungai ada akalanya pengawal di pejabat perbendaharaan. Tujuan laungan ini adalah untuk memastikan pengawal tidak tertidur semasa bertugas. 

PEMANDANGAN YANG DAPAT DILIHAT DARI ATAS FORT MARGHERITA

Menariknya juga ialah kawasan kubu ini menjadi saksi hukuman bunuh telah dilaksanakan disini sehingga pendudukan Jepun semasa Perang Dunia II. Pada tahun 1971, bangunan ini dijadikan sebagai Muzium Polis sebelum ia diserahkan kepada kerajaan negeri Sarawak untuk dipulihara sebagai kubu. Kini ia merupakan satu tarikan pelancongan di Kuching.


DI DALAM BILIK TENGAH TERSEBUT TERSIMPAN 5 BUAH TENGKORAK LAMA

Apa yang membuatkan Hans rasa cukup gembira kerana berpeluang melihat 5 buah tengkorak lama yang berada di dalam sebuah bilik di kawasan kubu ini. Tengkorak-tengkorak lama ini merupakan hasil amalan memburu kepala yang dilakukan oleh masyarakat Dayak pada zaman dahulu.


ADA 5 BUAH TENGKORAK LAMA DI DALAM BAKUL INI

Selepas mangsa dibunuh di dalam peperangan atau pertelingkahan, kepala mangsa akan diambil. Kemudian, masyarakat Dayak pada zaman dahulu akan melakukan satu ritual pengasapan kepala musuh mereka dimana ia adalah salah satu daripada budaya atau amalan mereka. Lebih menarik, kepala-kepala ini diberi penghormatan yang sangat tinggi semasa upacara tertentu berlangsung.



Sebagai seorang peminat numismatik, Hans agak tertarik dengan mata wang Sarawak yang di dipamerkan di Galeri Brooke ini. Mata wang syiling pertama yang dikeluarkan oleh Rajah James Brooke dikenali sebagai duit ini diperbuat daripada tembaga dimana ilham penghasilan ini diperoleh daripada kepingan satu sen Syarikat Hindia Timur Belanda. Namun, keunikannya disini ialah tertera imej seekor haiwan badger yang diambil daripada lambang institusi keluarga Brooke. Wang kertas ini mula berada di dalam edaran menjelang tahun 1858. Manakala setem pos pertama Sarawak yang memaparkan potret James Brooke dicetak pada tahun kematiannya iaitu tahun 1868.

BADGER MERUPAKAN HAIWAN YANG MENJADI LAMBANG INSTITUSI KELUARGA BROOKE
REPLIKA KAPAL

Melawat Galeri Brooke juga menemukan Hans dengan sebuah kisah menarik tentang wanita bernama Angela Burdett-Coutts. Siapakah wanita ini dan apa kaitannya dengan James Brooke? Mengikut salah satu kisah yang dikongsikan disini, Angela merupakan waris kepada jutawan bank dan dia merupakan rakan yang setia yang sangat meminati Rajah James Brooke sehingga membiayai beberapa perusahaannya termasuk kapal stim bersenjatan yang dikenali sebagai Rainbow dan ladang yang dijadikan sebagai ujian di Matang. Mereka saling berutus surat dan lebih menarik apabila Angela sendiri pernah menyampaikan hasrat untuk berkahwin dengan Rajah James Brooke. Namun, sayangnya cinta Angela bertepuk sebelah tangan dimana Rajah James Brooke menolak secara baik.


SALAH SILAH DINASTI BROOKE
ANTARA SUKU KAUM YANG TERDAPAT DI SARAWAK
RANI MARGARET BERSAMA PEREMPUAN MELAYU

Menariknya tentang Rani Margaret ini ialah dia mematuhi nasihat suaminya agar belajar membaca dan menulis dalam bahasa Melayu. Suaminya juga menjadikan isteri-isteri dan anak-anak perempuan ketua-ketua Melayu sebagai teman rapat sehingga akhirnya Rani Margaret menganggap adat Melayu sebagai satu kebiasaan dan selesa menggayakan pakaian tradisional Melayu.


 INI ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA BENTUK KAPAL
 KERIS MELAYU SARAWAK
PETA LAMA YANG SANGAT MENARIK DAN BEGITU INFOMATIF

Banyak lagi kisah sejarah menarik serta artifak bernilai yang anda boleh lihat dan ketahui seandainya anda datang melawat kawasan Fort Margherita dan Brooke Gallery ini. Serius, Hans boleh habiskan masa seharian berada disini sebab memang banyak sejarah-sejarah menarik yang ada di kawasan ini yang harus kita sebagai rakyat Malaysia ketahui dan pelajari.

BROOKE GALLERY (GALERI BROOKE)

Lokasi:
Fort Margherita,
Petra Jaya,
93050 Kuching,
Sarawak.

Laman Sesawang:
www.brookegallery.org

Instagram:
brookemuseums

Waktu Melawat:
Setiap Hari : 9:00 pagi - 4:45 petang

Tiket Masuk:

Warganegara: 
RM10 (Dewasa) & RM5 (Kanak-Kanak 7 - 12 Tahun)

Warga Asing: 
RM20 (Dewasa) & RM10 (Kanak-Kanak 7 - 12 Tahun)

Kanak-Kanak Bawah 7 Tahun: 
Percuma


Jadi, kepada sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah negeri Sarawak, sudi-sudikan lah diri anda untuk berkunjung ke Brooke Gallery dan Fort Margherita ini. Jangan lepaskan peluang kerana memang banyak perkara menarik yang ditawarkan di sini. Jom ke Kuching,Sarawak!

P/S : Lokasi Menarik Lain Yang Boleh Anda Baca Sepanjang Program Lawatan Di Kuching, Sawarak Boleh Dilihat Pada Pautan Artikel Ini : 


4 ulasan:

  1. Lama sangat dah tak ke Sarawak. Banyak betul tempat menarik. Yang paling terkejut tengok Waterfront dia berubah cepat sekali. Huiisshhh... Cuti-cuti nak kena fly Sarawak la macam ni. Banyak sangat dah ketinggalan selepas semua cousin dah blk Semenanjung.

    BalasPadam
    Balasan
    1. jangan lupa melancong ke sarawak tahun 2020 nih

      Padam
  2. best plak nampak. sebab sejarah ni saya suka. bila la nak sampai sarawak ni, hewhhh

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups
      tambah-tambah memang kurang tahu sangat pasal sejarah Brooke nih
      jadi, memang seronok lah datang ke Brooke Gallery nih

      Padam

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com