Selasa, 3 Mac 2020

Sumbangan 76,920 Topeng Perlindungan Pernafasan Dan Bekalan Perubatan Untuk Mangsa COVID-19 Di China

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans berkesempatan hadir ke majlis penyerahan sumbangan 76,920 topeng perlindungan pernafasan dan bekalan perubatan untuk mangsa COVID-19 di China yang dianjurkan oleh Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia dan Yayasan Winner Emperor Sedunia. 


Dato' Sri Liow Soon Hee melalui Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia dan Yayasan Winner Emperor Sedunia bersama sama dengan sokongan salah seorang selebriti, penulis lagu dan penyanyi, Excella Chong telah berjaya merealisasikan bantuan tersebut dengan jayanya bersama beberapa pihak NGO yang lain. 


Tujuan sumbangan ini diadakan adalah untuk membantu mengawal penularan wabak berkenaan di China. Topeng perlindungan pernafasan dan sejumlah bekalan perubatan telah dihantar melalui helikopter dari Jepun dan Malaysia ke kawasan yang dijangkiti virus COVID-19 di China, dan telah diserahkan kepada Hospital Universiti Wuhan Renmin, Hospital Besar Henan Oil Field Nanyang, Hospital Besar Nanyang, Hospital Rakyat Bose City, dan beberapa hospital lain yang telah tersenarai. 


Sejajar dengan penularan wabak itu, Dato' Sri Liow Soon Hee dan pasukannya telah bekerja keras dan cekap dalam proses penyediaan serta menghantar topeng perubatan, termometer, air pembasmian kuman, ubat-ubatan dan lain-lain bekalan perubatan untuk dihantar kepada kawasan yang berkaitan. Dato' Sri Liow Soon Hee turut mengajak setiap badan organisasi lain untuk turut sama dalam menghulurkan bantuan bagi menentang wabak dan pada masa yang sama dapat menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan.


Menurut Dato' Sri Liow Soon Hee, pihak mereka sangat menitik beratkan soal isu wabak yang melanda kini dan sering mengikuti perkembangan terbaru berkaitan wabak COVID-19 di China. Sejurus itu, pihak mereka akan terus menerus membuat sumbangan dan pembelian bekalan perubatan seperti yang diperlukan oleh pihak berkuasa untuk mengatasi dan mencegah wabak berkenaan. Mereka begitu berharap agar bantuan derma serta sokongan perubatan dan emosi yang disumbangkan ini mampu memberikan inspirasi serta menaikkan semangat mereka yang terkesan di kawasan yang terjejas dengan wabak untuk terus bersemangat dalam menempuh kehidupan terutama di masa-masa sukar ini. 


Dato' Sri Liow Soon Hee mengakui bahawa beliau yang sering mengadakan hubungan rapat niaga bersama China terutamanya bandar Xingyi dan Wuhan dalam tempoh sedekad yang lalu. Pihaknya turut menegaskan bahawa perubahan ekonomi negara China akan memberikan impak terhadap ekonomi di seluruh dunia terutama Malaysia. Beliau yang telah menjadi usahawan pada usia 27 tahun di dalam pelbagai industri, termasuk platform e-Commerce, platform Internet mudah alih, reka bentuk rangkaian, pelancongan pembangunan perisian, multimedia dan banyak lagi di seluruh Asia Tenggara telah menyelaraskan perniagaan dan prinsip beliau untuk menyumbang kembali kepada masyarakat terutama kepada pelbagai komuniti di seluruh dunia.


Sejak penubuhan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia dan Yayasan Winner Emperor Sedunia, Dato' Sri Liow Soon Hee telah berjaya melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) seperti sumbangan sebuah kenderaan Ambulans baru kepada Pertubuhan Kepolisan Komuniti Malaysia, sumbangan bulanan sebanyak RM10,000 kepada Pusat Kanak-Kanak Orang Kurang Upaya & Mental, Melaka (setakat ini telah terkumpul sejumlah RM460,000), sumbangan RM900,000 untuk menyokong pembangunan Sekolah Antarabangsa berprestij di Malaysia, sumbangan RM300,000 kepada Ti-Ratana Charity Home dan banyak lagi. Semoga usaha murni ini diteruskan pada masa-masa akan datang dan dapat membantu lebih ramai yang memerlukan di luar sana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com