Rabu, 1 Disember 2021

5 Perkara Menarik Yang Boleh Anda Lakukan Di Melaka

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Salah satu negeri di Malaysia yang sangat terkenal di kalangan pelancong tempatan mahu pun asing ialah Melaka. Apabila sebut sahaja tentang negeri Melaka semestinya kita akan mengingati tentang kisah sejarah kesultanan Melaka serta keagungan empayar tersebut pada suatu ketika dahulu. Kini negeri Melaka juga semakin berkembang pesat dengan tarikan pelancongannya yang memang cukup istimewa. Untuk kali ini, Hans ingin berkongsi dengan anda semua 5 Perkara Menarik Yang Boleh Anda Lakukan Di Melaka.


1. JONKER STREET

Kredit Gambar: Disini

Tidak lengkap percutian anda di Melaka jika tidak melawat satu destinasi yang cukup terkenal di kalangan penduduk Melaka sendiri serta pelancong iaitu Jonker Street. Berkunjung ke sini pastinya akan memberikan anda satu suasana baru memandangkan majoriti peniaga disini adalah berbangsa Cina atau berketurunan baba nyonya. Masih menawarkan makanan halal walaupun terhad namun apa yang membuatkan Hans cukup gemar datang ke sini terutama pada waktu malam adalah kerana dapat mencuci mata serta membeli-belah barang-barang yang ikonik atau menarik seperti cenderahati, aksesori, pakaian dan pelbagai lagi di Pasar Malam Jonker Street. Anda akan lebih beruntung jika kedatangan anda ke Jonker dipenuhi dengan pertunjukan-pertunjukan yang menarik seperti menyaksikan acara karaoke, silap mata atau aksi manusia dan monyet seperti yang pernah Hans saksikan sebelum ini. Selain itu, kawasan Jonker juga boleh Hans ibaratkan sebagai syurga buat mereka yang meminati fotografi dimana disini merupakan lokasi yang sesuai untuk mendapatkan gambar yang cantik atau merakam vlog pengalaman anda disini yang pastinya sangat memuaskan hati.


2. THE SHORE SKY TOWER


Merupakan salah satu mercu tanda baru Melaka iaitu The Shore Sky Tower yang merupakan bangunan tertinggi di Bandar Melaka buat masa ini. Jika anda sukakan pengalaman berada di tempat yang tinggi untuk mencari dan menikmati pemandangan terbaik keseluruhan Bandar Melaka maka pastikan anda berada di tingkat 42 bangunan ini. Menariknya kerana lantai di tingkat 42 bangunan ini merupakan lantai kaca lutsinar yang membuatkan anda seolah-olah berjalan-jalan tanpa memijak apa-apa. Selain itu, terdapat juga satu akuarium di tingkat 42 ini yang dipenuhi dengan ikan koi yang cukup cantik. Memang satu lokasi yang cukup menarik untuk anda mengabadikan kenangan percutian anda sama ada melalui gambar atau rakaman video.


3. ENCORE MELAKA


Salah satu lokasi menarik yang anda tidak boleh lepaskan jika berkunjung ke Melaka ialah dengan menyaksikan persembahan yang padat dengan info berkaitan sejarah Melaka di Encore Melaka ini. Hans memang cukup kagum dengan senibina serta lanskap bangunan Encore Melaka ini yang cukup cantik sama ada di luar mahu pun di dalam. Untuk makluman semua, salah satu keistimewaan Encore Melaka yang ramai tidak sedar ialah tempat duduk penonton sebenarnya berputar 360 darjah sewaktu anda menyaksikan persembahan yang menampilkan 6 abad berbeza yang berdurasi sekitar 70 minit serta dipersembahkan lebih 200 orang penghibur ini. Memang cukup mengasyikkan dan pasti membuatkan anda kagum menyaksikan persembahan lakonan, nyanyian dan tarian para penghibur yang cukup profesional.


4. MELAKA RIVER CRUISE


Hans pernah belajar di Melaka sekitar tahun 2007 dan pada masa itu kawasan sungai di Melaka River Cruise tidak seindah sekarang. Apabila Hans berkunjung semula ke kawasan ini memang tidak dapat dinafikan segala-galanya kelihatan serba baru dan cukup indah. Tiada lagi bau air yang busuk sebaliknya air sungai di sini sudah bersih dan kelihatan ikan-ikan pun mulai wujud kembali di sini. Menariknya apabila menaiki bot Melaka River Cruise ini ialah anda boleh melihat pelbagai tempat-tempat pelancongan menarik yang berada di sekitarnya seperti Dutch Fort, Muzium Samudera dan pelbagai lagi. Jangan risau kerana terdapat audio yang dimainkan di dalam bot dimana anda akan menerima informasi setiap kali melalui sesuatu tempat menarik di sepanjang Sungai Melaka tersebut. Selain itu, terdapat pelbagai jenis mural-mural menarik yang dilukis pada dinding bangunan di sekitar laluan bot Melaka River Cruise yang membuatkan anda cukup teruja untuk merakam video mahu pun bergambar kenangan. Lebih menarik kerana selepas selesai menikmati perjalanan bot yang hebat ini, anda boleh juga mencuba pelbagai makanan menarik dan sedap seperti cendol yang terdapat di restoran dan kedai makan yang berada berdekatan dengan kawasan ini. 


5. MENARA TAMING SARI MELAKA


Kalau anda datang bercuti di Melaka memang tidak sah jika anda tidak melawat dan menaiki sebuah menara boleh berpusing 360 darjah secara berterusan di sini. Mana lagi kalau bukan Menara Taming Sari Melaka yang terletak di kawasan tumpuan pelancong iaitu di Bandar Hilir Melaka. Lokasi pelancongan ini memang sangat mudah dicari dan anda boleh naik ke atas menara setinggi 80 meter ini sambil menikmati pemandangan indah sekitar Bandar Melaka serta tempat-tempat menarik yang berada di sekitarnya seperti muzium-muzium menarik, Dataran Pahlawan, Masjid dan pelbagai lagi pada waktu siang. Jika pada waktu malam pula, semestinya anda boleh menikmati keindahan limpahan cahaya yang menghiasi keseluruhan Bandar Melaka yang Hans boleh katakan sebagai sangat indah. Jadi, inilah 5 perkara menarik yang anda boleh lakukan di Melaka dimana Hans yakin setiap perkara yang Hans kongsikan ini sangat berbaloi buat anda semua untuk dicuba. Selamat Melawat Melaka!


6 ulasan:

  1. Hati2 dengan segerombolan remaja c*na yg selalu berkeliaran di tourist spots di Melaka, disuruhnya kita isi satu form kosong konon nak survey harga products, tetiba on the spots kena bayar berapa yg kita tulis tu.. RM20 ke RM50 ke.. baki pun tak dipulangkan :)

    BalasPadam
  2. banyak tempat menarikdi melaka utk dilawati

    BalasPadam
    Balasan
    1. betul tu
      sehari tak cukup
      kena banyak hari nak cover semua tempat dia :)

      Padam
  3. Selamat datang ke Melaka, cuma kena banyak bersabar lah ya, trafik light banyak..ikhlas dari saya orang Melaka.

    BalasPadam

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com