Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sekali lagi meneguhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi industri minyak sawit melalui penganjuran Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB (PIPOC 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Bertemakan “Transforming Today, Empowering Tomorrow Through Innovation” edisi kali ini menampilkan komitmen Malaysia dalam memacu kemampanan industri sawit global melalui inovasi teknologi, pendigitalan penapisan bio serta pembangunan produk hiliran bernilai tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran dunia yang semakin kompleks.
Sebagai perhimpunan teknikal dan perdagangan minyak sawit terbesar dunia, PIPOC 2025 menghimpunkan lebih 2,000 pembuat dasar, penyelidik, pemimpin industri dan pihak berkepentingan antarabangsa untuk berkongsi pengetahuan, membincangkan cabaran semasa dan meneroka inovasi yang bakal membentuk masa depan minyak sawit mampan.
PIPOC 2025 merangkumi empat persidangan serentak iaitu Pertanian, Bioteknologi dan Kemampanan (ABS); Pengilangan, Pemprosesan dan Penapisan Bio (MPB); Sektor Hiliran dan Penambahan Nilai (DVA); serta Ekonomi dan Pemasaran Global (GEM) yang akan berlangsung dari 18 hingga 20 November 2025.
Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, dengan 24 peratus daripada 79 juta tan daripada pengeluaran global pada 2024, dan memegang 35 peratus daripada eksport minyak sawit global.
Majlis perasmian PIPOC 2025 menyaksikan pelancaran enam produk inovasi hasil penyelidikan MPOB termasuk lima produk bukan makanan bagi menggantikan produk berasaskan sumber kimia petroleum (petrokimia) iaitu poliol, glikol, gris, minyak hidaulik dan minyak transformer berasaskan sawit, manakala satu produk makanan iaitu Nano Tokotrienol berasaskan sawit dengan ciri penyerapan vitamin E lebih tinggi berbanding produk tokotrienol biasa.
Sejak penubuhan MPOB pada 25 tahun yang lalu, ianya telah berkembang menjadi salah satu institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) terkemuka dunia dalam sektor minyak dan lemak. Melalui dedikasi dalam inovasi, penyelidik MPOB serta penggiat industri telah memperluas ilmu daripada agronomi huluan dan bioteknologi, hingga pemprosesan hiliran, pembangunan bioproduk, dan penambahan nilai. MPOB telah mengkomersialkan lebih daripada 200 teknologi R&D dan mendaftarkan lebih 394 paten.
Pavilion utama MPOB menjadi tumpuan utama pelawat, mempamerkan produk inovasi R&D, aplikasi makanan dan bukan makanan berasaskan sawit, serta teknologi digital yang meningkatkan ketelusan rantaian nilai industri. Aktiviti interaktif termasuk Sawit Talk turut menarik minat ramai, memberi peluang kepada masyarakat memahami secara dekat potensi dan kepelbagaian industri sawit moden.
Tahun ini, PIPOC 2025 mencatat sambutan luar biasa berjaya menarik lebih 2,000 peserta konferens, 100 pakar antarabangsa, 200 poster penyelidikan, serta lebih 400 organisasi pameran dari 13 negara, menjadikannya perhimpunan minyak sawit terbesar di dunia. PIPOC 2025 bukan sekadar platform akademik dan teknikal, tetapi arena strategik global untuk memacu daya saing, memperkukuh jaringan pasaran, mempromosi inovasi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri minyak sawit mampan dunia.








Catat Ulasan
Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com