MALAYSIA UMUM PEMENANG ANUGERAH FLAGSHIP MEDICAL TOURISM HOSPITAL

Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) telah mengumumkan pemenang Program Flagship Medical Tourism Hospital (FMTH) 2025, sekali gus melakarkan pencapaian bersejarah bagi sektor pelancongan kesihatan negara. Inisiatif yang diterajui oleh Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) ini dilihat sebagai usaha memperkukuh status Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan perubatan bertaraf dunia.


Majlis Anugerah Flagship Medical Tourism Hospital 2025 telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad, serta turut dihadiri oleh Yang Berusaha En. Surighandi Suppiah, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) dan YBhg. Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Duta Jenama Malaysia Year of Medical Tourism (MYMT) 2026. 


Dalam ucapan perasmian beliau, Menteri Kesihatan telah menegaskan mengenai peranan penting MHTC dalam memperkasakan industri pelancongan kesihatan sebagai salah satu faktor utama dalam meningkatkan daya saing ekonomi negara. Sektor pelancongan perubatan negara kekal bertindak sebagai tonggak penting kepada ketahanan ekonomi jangka panjang Malaysia serta turut menjadi penyumbang utama kepada reputasi global negara dalam aspek kualiti penjagaan kesihatan. Melalui inisiatif FMTH, kedudukan negara sebagai destinasi pilihan bagi rawatan perubatan, kesihatan, dan pemulihan bertaraf dunia telah diperkukuhkan. Sektor ini bukan sahaja menarik pelabur antarabangsa malah mewujudkan peluang pekerjaan bertaraf tinggi, serta menyokong pembangunan sektor-sektor berkaitan seperti farmaseutikal, hospitaliti, dan teknologi.


Majlis turut dihadiri oleh Yang Berusaha En. Surighandi Suppiah, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) yang turut menekankan keupayaan negara dalam memperkasakan sektor pelancongan perubatan dimana inisiatif Flagship Medical Tourism Hospital merupakan langkah berani MHTC dalam memposisikan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan bertaraf dunia yang diyakini dan berdaya saing.


Anugerah Flagship Medical Tourism Hospital telah dinobatkan kepada Island Hospital, Pulau Pinang, atas kecemerlangan dalam servis perubatan, keunggulan perkhidmatan dan kunggulan jenama di peringkat antarabangsa. Tiga lagi finalis hospital adalah Institut Jantung Negara (IJN), Mahkota Medical Centre, Melaka dan Subang Jaya Medical Centre. Lima anugerah berprestij turut disampaikan bagi mengiktiraf finalis FMTH yang telah meletakkan penanda aras baharu di peringkat nasional. Kategori-kategori tersebut meliputi:


1) Kecemerlangan Pertumbuhan Hasil Pelancongan Kesihatan: Island Hospital, Pulau Pinang.

2) Kecemerlangan Perubatan dan Kecemerlangan Teknologi Perubatan: Institut Jantung Negara (IJN)

3) Peneraju Kerjasama Strategik Industri: Mahkota Medical Centre, Melaka

4)Inovasi Digital dalam Penyampaian Perkhidmatan Pesakit: Island Hospital, Pulau Pinang

5) Kecemerlangan Keunggulan Jenama: Subang Jaya Medical Centre


Program FMTH ini merupakan inisiatif transformasi nasional yang diselia secara berperingkat, sejak dari 2021 hingga 2025, bertujuan meningkatkan daya saing dalam ekonomi perubatan negara di peringkat global. Menjelang akhir 2022, keempat-empat hospital finalis telah menjalani semakan audit dari segi kemajuan teknologi dan keunggulan servis rawatan setiap enam bulan, bimbingan strategik, usaha pemasaran bersama rakan kongsi kerajaan, serta penilaian oleh pihak berkuasa antarabangsa seperti Joint Commission International (JCI) dan IQVIA Consulting Group APAC (IQVIA).


Program FMTH turut menjadi asas persediaan negara untuk pelaksanaan kempen Malaysia Year of Medical Tourism 2026 (MYMT 2026). Program ini berperanan penting dalam mengukuhkan reputasi Malaysia, lengkap dengan mekanisme pengiktirafannya sebagai penanda aras dari aspek kepercayaan yang membezakan hospital di Malaysia melalui kualiti, keunggulan perkhidmatan dan kekuatan jenama di peringkat antarabangsa. Hospital yang meraih pengiktirafan ini dijangka meningkatkan imej Malaysia di pasaran utama termasuk ASEAN, Oseania, Timur Tengah, Asia Selatan, Asia Timur, Eropah, Amerika Syarikatand Afrika yang terus menunjukkan permintaan tinggi terhadap rawatan berkualiti dan mampu milik.


Industri pelancongan kesihatan negara terus menunjukkan prestasi kukuh. Pada tahun 2024, Malaysia berjaya menerima 1.6 juta pelancong kesihatan dengan jumlah hasil mencecah RM2.72 bilion. Prestasi ini bukan sahaja menandakan pemulihan pascapandemik yang memberangsangkan tetapi turut menegaskan kedudukan Malaysia sebagai destinasi rawatan perubatan yang dipercayai dan bernilai tinggi di peringkat serantau dan global.


Ketika ini, negara-negara Asia Tenggara kekal sebagai penyumbang terbesar pelancong perubatan ke Malaysia, dipacu oleh jarak geografi yang dekat, keserasian budaya dan keyakinan berterusan terhadap sistem penjagaan kesihatan Malaysia. Keseluruhan usaha ini meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih kukuh menjelang 2026, mengukuhkan daya saing dan memacu perkembangan industri ketika negara bersedia menyambut gelombang baharu pesakit antarabangsa.

Post a Comment

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama