Virtual Reality Tour Di Masjid Kapitan Keling

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah dibawa oleh pihak Tourism Malaysia untuk mengikuti program Durian Packages Penang yang berlangsung di negeri Pulau Pinang selama 3 hari 2 malam. Terima kasih kepada Rainbow Paradise Hotel dan Hotel Royal Penang kerana menyediakan tempat bermalam Hans sepanjang program berlangsung. Jadi, untuk kali ini Hans ingin kongsikan dengan anda semua berkenaan salah satu lokasi pelancongan yang menawarkan aktiviti menarik untuk anda cuba apabila ke Pulau Pinang iaitu Masjid Kapitan Keling.


Untuk pengetahuan semua, Masjid Kapitan Keling ini merupakan masjid yang tertua di Pulau Pinang dimana usia bangunan ibadah umat Islam ini kini sudah menjangkau 216 tahun. Disebabkan pada zaman dahulu, Pulau Pinang merupakan salah sebuah pusat perdagangan yang sanga terkenal di laluan Selat Melaka maka banyak pedagang yang datang berdagang disini terutamanya masyarakat Chulia dari selatan India yang beragama Islam.


Masjid ini masih mengekalkan ciri-ciri senibina Islam dengan elemen kesenian India. Hans ingin memuji ahli jawatan kuasa masjid ini di dalam hal ehwal menitik beratkan keadaan masjid kerana Hans melihat Masjid Kapitan Keling masih kelihatan cantik dan terpelihara daripada sebarang bentuk kerosakan yang mencacatkan pandangan.


Namun, apa yang menjadikan Masjid Kapitan Keling ini unik ialah ia bukan sekadar kawasan beribadah untuk umat Islam tetapi kini menjadi satu daya tarikan terbaru kepada pelancong tempatan serta luar terutamanya buat mereka yang bukan beragama Islam kerana pihak Masjid Kapitan Keling menawarkan aktiviti Virtual Reality (VR) Tour untuk membantu pelancong untuk memahami sendiri bagaimana ibadah yang dilakukan oleh umat Islam di dalam masjid serta melihat sendiri keadaan di dalam masjid terutamanya ketika solat Jumaat.


Apa yang menariknya tentang aktiviti Virtual Reality (VR) Tour ini ialah anda akan dapat menonton satu-satunya dokumentari berkaitan Masjid Kapitan Keling yang menggunakan teknologi VR di Malaysia buat masa ini ialah para pelancong boleh melihat dan merasai sendiri suasana masjid ini tanpa perlu memasuki masjid. Bakal membuatkan mereka teruja kerana terdapat beberapa kawasan yang sememangnya sebelum ini pelancong tidak dibenarkan untuk masuk tetapi dengan VR ini mereka boleh melihat dengan sangat jelas seolah-olah mereka berada di dalam kawasan tersebut.


Hans turut dibawa bertemu dengan pihak jawatan kuasa Masjid Kapitan Keling serta pihak  Canopi (boleh klik www.canopi.asia untuk maklumat lanjut) yang terlibat di dalam kerjasama membangunkan program realiti maya yang dipertingkatkan dengan penggunaan teknologi VR dan AR ini. Dokumentari berkenaan Masjid Kapitan Keling ini berdurasi selama 7 minit. Walaupun 7 minit tetapi tempoh masa yang diperlukan untuk menyiapkan dokumentari ini adalah selama 2 bulan. Namun, hasilnya sangat menarik kerana Hans sendiri berpeluang merasai penggunaan alat Virtual Reality ini.


Hans sendiri ingin berkongsi pengalaman Hans menggunakan alat VR tersebut untuk menonton dokumentari berkaitan Masjid Kapitan Keling ini dimana anda akan dibawa melihat ibadah Solat Jumaat umat Islam bermula daripada panggilan azan, mengambil wuduk, mendengar khutbah, solat, membaca Al-Quran dan pelbagai lagi yang dibawakan di dalam kualiti resolusi 8K dengan gabungan teknologi 3D yang sangat memukau.


Apa yang menariknya ialah Hans dapat melihat keseluruhan kawasan masjid di dalam sudut 360 darjah. Jadi, apa yang Hans lihat sebenarnya ialah sudut pandang rakaman daripada jurukamera sendiri yang membuatkan Hans terasa seolah-olah Hans betul-betul berada di setiap sudut kawasan masjid. Adakalanya Hans tergelak-gelak kerana ada beberapa babak dokumentari yang membuatkan Hans mengelak daripada bertembung dengan jemaah masjid yang ramai. Ada pula beberapa jemaah masjid di dalam dokumentari tersebut yang menegur dan senyum kepada Hans menjadikan aktiviti ini kelihatan sangat realistik dan wajib untuk anda cuba nanti.


Jadi, jika anda ke Pulau Pinang pastikan anda melawat daerah Georgetown dan ambil masa anda untuk melawat Masjid Kapitan Keling bagi merasai sendiri aktiviti Virtual Reality (VR) Tour yang ditawarkan disini. Hans pasti ia akan menjadi satu lagi kenangan terindah buat anda usai selesai menonton dokumentari Masjid Kapitan Keling menggunakan teknologi hebat ini. Selamat mencuba!

MASJID KAPITAN KELING

Alamat:
14,
Jalan Buckingham,
10200 Georgetown,
Pulau Pinang.

Nombor Telefon:
042614215

Laman Facebook:

Post a Comment

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama