Ahad, 18 Ogos 2019

Hauntu Malaysia : Pengalaman Seram Yang Wajib Anda Cuba

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat para pembaca dan pengunjung blog www.hanshanis.com sekalian. Kali ini Hans ingin berkongsi dengan anda semua tentang sebuah pengalaman yang sangat unik dan menarik sewaktu mengikuti program anjuran Tourism Malaysia Sentral dimana Hans berpeluang merasai pengalaman seram dan mendebarkan sewaktu menyelesaikan misi kisah The Tourist 1957 di Hauntu Malaysia @ Linc.


HAUNTU MALAYSIA @ LINC

Alamat:
2-9, Level 2,
The LINC KL,
360 Jalan Tun Razak,
50450 Kuala Lumpur.

Waktu Operasi:
Isnin - Khamis : 10.00 A.M hingga 11.00 P.M
Jumaat - Sabtu : 10.00 A.M hingga 12.00 A.M
Ahad : 10.00 A.M hingga 11.00 P.M

Harga: RM58 (Seorang)

Jumlah Peserta:
Maksimum 10 Orang Pemain Untuk Setiap Sesi

Laman Web:

Facebook:

Instagram:



Buat anda yang mungkin kali pertama mendengar tentang Hauntu Malaysia ini, pasti anda tertanya-tanya apa sebenarnya aktiviti yang ditawarkan disini? Hauntu atau sebutannya 'Haunt You' merupakan sebuah gabungan antara persembahan teater dan rumah hantu di mana elemen drama dan seramnya bergabung dengan sempurna untuk meningkatkan tahap adrenalin di dalam badan anda sewaktu menyelesaikan misi misteri disini. Ianya boleh dimainkan secara perseorangan atau pun berkumpulan dan konsep permainan yang diaplikasikan disini merupakan konsep yang pertama dilakukan di Malaysia.


Apa yang menariknya tentang Hauntu Malaysia ialah permainan disini memberikan satu pengalaman seram yang sangat berbeza berbanding di tempat lain dimana anda sebagai pemain boleh berinteraksi dengan setiap watak-watak yang wujud di dalam kisah penceritaan yang anda pilih. Apa yang lebih menarik, setiap keputusan yang anda lakukan akan mengubah setiap jalan cerita kisah tersebut dimana misi anda akan tamat melalui pengakhiran yang berbeza-beza. Ini bererti anda bukan sekadar menonton atau menjawab pelbagai persoalan dan teka-teki tetapi anda sendiri telah menjadi sebahagian daripada kisah misteri tersebut.


Apa yang membuatkan Hans sangat teruja sewaktu berada disini kerana Hauntu Malaysia menawarkan tiga kisah yang penuh dengan elemen misteri dimana ianya berlaku di dalam Hotel Colle Eastern yang merupakan sebuah tempat bercirikan seni bina kolonial British dan menjadi latar lokasi permainan anda disini. Hans dimaklumkan bahawa setiap kisah ini saling berkaitan namun ia tiada masalah buat sesiapa yang pertama kali bermain dan melangkau episod kisahnya kerana ianya masih boleh difahami dengan mudah seperti biasa. Tiga kisah tersebut sebenarnya berbeza kerana ia berada di dalam tiga era yang berlainan iaitu pada tahun 1950-an, 1980-an dan 1990-an.


Untuk info tambahan anda, keluasan Hauntu Malaysia adalah sebanyak 650.3 meter persegi atau bersamaan dengan 7,000 kaki persegi. Setiap sudutnya dilengkapi dengan perabot gaya 1950-an. Apa yang lebih menarik, Hans dan rakan-rakan media yang lain bukan sahaja terlibat di dalam menyelesaikan misi kisah yang diberikan dengan memainkan peranan rakan kepada Aidil sahaja. Tetapi, Hans juga turut berpelung merasai suasana zaman sebelum merdeka yang pada Hans sangat menarik dan begitu mengagumkan.



Hans berpeluang bermain kisah Episod 2: The Tourist 1957 dimana ia mengisahkan tentang Aidil dan rakan-rakannya yang bermalam di Hotel Colle Eastern. Abang Aidil bekerja di hotel tersebut. Namun, pelbagai kejadian misteri mula berlaku selepas Aidil dan rakan-rakannya ditukarkan ke bilik hotel yang lain. Apa yang lebih mencabar ialah Aidil dan rakan-rakannya perlu mencari dan menyelamatkan abangnya yang kini masih berada di hotel tersebut.


Jadi, Hans dan rakan-rakan media yang lain masing-masing akan diberi watak serta misi yang adakalanya berbeza antara satu sama lain. Satu perkara yang penting sewaktu ingin bermain permainan ini ialah anda dan rakan-rakan perlu bekerjasama terutama dari segi menghayati penceritaan dan masuk ke dalam kisah serta watak yang anda pegang. Jangan malu atau menganggap ini sekadar sebuah misi biasa kerana ianya akan menjadi tidak menarik jika anda tidak cuba untuk merasai dan berada di dalam situasi tersebut.


Sebelum memulakan misi, Hans dan rakan-rakan yang lain telah diberikan taklimat yang ringkas berkaitan keselamatan serta perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan. Jadi, pastikan anda mematuhi peraturan yang telah ditetapkan apabila anda bermain di Hauntu Malaysia nanti.


Hans juga turut bertanyakan soalan berkaitan dengan jumlah pelakon atau pekerja Hauntu Malaysia yang terlibat sebagai pelakon di dalam kisah yang kami bakal lalui ini. Hans dimaklumkan terdapat lebih kurang 5 hingga 6 pelakon yang akan memainkan pelbagai watak serta memakai kostum serba lengkap seperti pelayan, ahli sihir, pengemas bilik hotel dan sebagainya.


Pada mulanya, Hans akui tiada apa-apa yang mencemaskan atau mendebarkan kerana memikirkan ini cuma sebuah permainan. Namun, percayalah saat anda menjejakkan kaki di dalam Hotel Colle Eastern sahaja maka segala-galanya akan berubah. Segala teka-teki sama ada melalui soalan, pencarian barang atau tindakan yang anda ambil bukan sahaja akan membuatkan anda berasa teruja tetapi juga pada masa yang sama berasa seram dan takut dengan apa yang anda bakal hadapi. Ditambah pula dengan lakonan yang cukup mantap oleh para watak yang betul-betul berada di dalam karakter yang dipegang mereka, anda pasti akan sentiasa merasa cemas sehingga anda lupa bahawa anda sebenarnya berada di dalam permainan. Serius permainan yang diwujudkan di Hauntu Malaysia ini sangat bijak dan kreatif.


Apa yang menariknya tentang Hauntu Malaysia ini ialah ianya adalah hasil kerja berkumpulan di antara anda dan rakan-rakan sepermainan yang lain. Anda boleh bertanya soalan dan berinteraksi dengan setiap pelakon yang terlibat di dalam cerita ini. Lebih menarik ianya bukan sebuah permainan yang biasa dimana anda perlu bijak mencari barang-barang tersembunyi dimana barang tersebut akan membantu anda untuk menyelesaikan misteri seterusnya tanpa anda sedari. Seperti Hans sendiri, terdapat dua objek yang Hans jumpa dan ianya merupakan salah satu objek yang sangat penting terhadap sesetengah watak. 

Pengalaman Menarik Sewaktu Sedang Berada Di Dalam Misi Pencarian Dalam The Tourist 1957

Pasti ramai yang tertanya-tanya adakah kesudahan misi ini ialah sama ada anda berjaya atau gagal menyelesaikannya. Disini sebenarnya yang menarik untuk Hans kongsikan kerana untuk misi yang Hans dan rakan-rakan mainkan iaitu kisah Episod 2: The Tourist 1957 ini sebenarnya mempunyai 6 pengakhiran yang berbeza dimana ia bergantung kepada keputusan yang anda buat sepanjang anda bermain permainan ini. Menarik bukan?


Jadi, Hans memang menyarankan untuk anda semua datang ke Hauntu Malaysia bersama rakan-rakan dan rasai sendiri pengalaman sewaktu bermain episod pilihan anda disini. Anda pasti akan berasa kagum, teruja dan terhibur sewaktu menyelesaikan misi yang diberikan tambah-tambah jika anda atau rakan-rakan anda seorang yang penakut atau kaki latah. Hans sendiri pun berhajat untuk datang bermain lagi di Hauntu Malaysia kerana misi permainan yang ditawarkan disini sangat kreatif dan menguji kita melalui pilihan tindakan yang perlu diambil dalam waktu yang singkat. Jadi, selamat berkunjung ke Hauntu Malaysia dan pastikan anda menyertai misi yang disediakan disini. Anda pasti akan puas hati! Semoga berjaya membantu Aidil jika anda bermain Episod Ke-2 nanti. Hahaha!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com