Ahad, 10 November 2019

Pengalaman Menarik Mencari Lokan Dan Kepah Di Terengganu

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah terlibat di dalam Program Terengganu Homestay Food & Culture Festival dan Setiu Wetlands Festival yang berlangsung pada 24 hingga 28 Oktober 2019 di daerah Besut dan Setiu, Terengganu. Jadi, sepanjang empat hari empat malam Hans berada di bumi Terengganu sememangnya terdapat pelbagai memori menarik yang ingin Hans kongsikan kepada semua pembaca.


Jadi, lokasi pada hari ketiga yang dilawati oleh Hans dan semestinya memberikan satu pengalaman baru yang pasti tidak akan dilupakan ialah melawat kawasan Setiu Wetlands yang berkeluasan sekitar 430 hektar ini.  Lokasi ini bukan sekadar lokasi biasa tetapi sebenarnya dipenuhi dengan pelbagai daya tarikan semulajadi yang istimewa dan unik.


Apa yang menariknya tentang Setiu Wetlands ini ialah kawasan ini mempunyai sembilan ekosistem yang tersendiri meliputi pulau, pantai, sungai, tasik, paya, paya gambut, bukit, paya gelam dan pelbagai lagi. Hasil perikanan yang popular disini ialah siakap, kerapu, ketam dan juga aneka kerang yang mudah diperoleh dikawasan paya bakau disini.


Melalui penceritaan oleh pihak yang membawa kami daripada jeti Setiu Wetlands ke lokasi laguna, kawasan ini dahulu menjadi tempat penduduk kampung dari kedua-dua kawasan untuk melakukan pertukaran barang melalui sistem barter dengan menggunakan tasik yang berombak sebagai cara untuk bertukar-tukar barang. Selain itu, pokok bakau disini juga pada zaman dahulu digunakan oleh penduduk untuk dijadikan sebagai arang. Hebat betul orang-orang zaman dahulu kan?


Perjalanan Hans bermula dari Boardwalk Setiu Wetland dimana setiap bahagian kiri dan kanan kawasan ini dilengkapi dengan pelbagai info menarik dan berguna berkenaan haiwan serta tumbuhan yang hidup di kawasan paya bakau ini. Antara khazanah alam yang terdapat disini ialah Bakau Minyak, Burung Pekaka Sungai, Bebaru, Siput, Memerang dan banyak lagi. 


Sewaktu perjalanan, Hans dan rakan-rakan media singgah sebentar di Sangkar Gong Batu di Kuala Setiu terlebih dahulu. Apa yang menariknya tentang lokasi ini ialah selain dapat melihat pelbagai jenis ikan seperti kerapu yang diternak di dalam sangkar, Hans juga turut berpeluang untuk memancing ikan menggunakan cara tradisional di tepi sangkar ikan yang diternak. Jadi, ikan yang ditangkap menggunakan cara ini bukan lah berasal dari kolam ternakan tetapi datangnya daripada kawasan luar sangkar. 


Memang mencabar dimana cubaan Hans untuk mendapatkan sebarang ikan melalui cara ini menemui jalan buntu. Hahaha! Tetapi, pemilik serta pekerja disini sememangnya mudah sahaja memperoleh ikan menggunakan cara tersebut dan hasil tangkapan mereka seperti gambar dibawah. 


Memandangkan masa terlalu mencemburui Hans, maka Hans terpaksa bergegas menuju ke kawasan laguna untuk aktiviti yang dinanti-nanti ramai dimana ianya adalah satu aktiviti yang sangat unik dan bukan semua berpeluang untuk melakukannya.


Akhirnya, Hans tiba di Laguna Setiu dimana aktiviti inilah yang Hans nanti-nantikan sejak hari pertama lagi program ini iaitu mencari lokan serta aneka siput seperti kepah, lala dan sebagainya. Selalu Hans hanya makan dengan lahapnya pelbagai jenis siput ini. Jadi, kali ini teringin juga nak merasa sendiri susah atau mudah mendapatkan siput-siput ini.


Hans dan rakan-rakan media lain mendengar dahulu taklimat ringkas serta cara menggunakan peralatan-peralatan untuk mencari lokan. Buat pertama kalinya Hans berpeluang mencari sendiri lokan di kawasan paya bakau dengan menggunakan alat pisau khas untuk mengesan kedudukan lokan. Jangan lupa untuk memakai stokin bagi melindungi tapak kaki anda daripada kulit lokan atau siput yang keras. 


Pada mulanya, Hans agak tertekan juga apabila seorang demi seorang rakan menjumpai lokan. Masing-masing menjerit kegembiraan sambil mengangkat lokan yang ditemui dengan senyuman bangga dan angkuh. Hahaha! Hans tidak putus asa dan meneruskan pencarian sehingga pada akhirnya Hans berjaya menemui lokan pertama setelah lima minit berusaha mencari dengan rakusnya. 


Beginilah suasana mencari lokan pada ketika itu dimana masing-masing gigih mencari lokan disebalik akar pokok kayu bakau serta di dalam lumpur dan tanah yang membasah tersebut. Ini memang satu pengalaman yang sangat menakjubkan buat Hans sebab sangat sukar sebenarnya untuk mendapatkan lokan dalam kuantiti yang banyak. Mencari punya lah azab tetapi makannya hanya sekejap sahaja dah selesai.


Keseluruhannya, Hans berjaya menemui 4 ekor lokan dimana ada beberapa lokan yang Hans dapat bersaiz agak besar. Alhamdulillah, gembira sangat sebab ada juga rakan media yang langsung tidak menjumpai sebarang lokan. Puas hati sebab tak pulang dengan tangan kosong. Hahaha!


Seterusnya, Hans dibawa untuk memasuki kawasan sungai bagi mencari siput seperti kepah, lala dan sebagainya. Pada mulanya Hans agak was-was juga nak masuk sebab ingatkan paras airnya dalam. Tetapi, rupa-rupanya paras pinggang sahaja. Jadi, memang seronok sangat lah Hans mencari kepah yang bersaiz besar tanpa risaukan apa-apa. 


Korek sana! Gali sini! Memang lenguh juga lah tangan Hans nih menggali-gali pasir dalam air sungai tetapi semua itu hilang sama sekali apabila Hans dapat mengutip banyak siput-siput yang besar. Siput-siput yang kecil itu Hans lepaskan semula supaya mereka membesar menjadi juara. Hahaha! 


Serius walaupun hampir sejam berada dalam sungai itu tetapi memang rasa tak puas betul. Kalau ada rezeki memang Hans nak datang lagi untuk cari kepah di dalam sungai ini. Nak cari kepah yang besar-besar ini memang kena rajinkan diri menggali pasir-pasir sungai. Kalau cari dekat dasar pasir sahaja memang dapat yang kecil-kecil sahaja. Ia satu perkara yang menarik dan membuatkan Hans sangat teruja apabila tangan tengah seronok menggali pasir dan tiba-tiba Hans tersentuh kulit kepah yang besar. Bila diangkat memang betul besar. Rasa seronok sangat-sangat sebab puas dapat tangkap sendiri kepah-kepah yang ada dalam sungai nih.


Alhamdulillah! Memang puas hati dapat mengumpul kepah beramai-ramai dengan rakan-rakan sampai penuh bakul. Lagi seronok tu apabila Hans dapat makan sendiri kepah dan lokan ini pada waktu malam dimana sepatutnya kami makan di tempat tersebut tetapi disebabkan ingin mengejar waktu gara-gara takut jika air laut surut maka kami terpaksa bergegas pulang awal ke jeti. Alhamdulillah, sedap betul restoran yang kami makan tu masakkan. Hehehe!


Jadi, Hans sangat mengesyorkan anda semua untuk datang sendiri ke kawasan Setiu Wetlands ini untuk mencuba sendiri pengalaman mencari lokan, kepah, kerang, siput dan pelbagai lagi serta menikmati keindahan alamnya yang tersendiri yang sukar diperoleh di tempat lain. 



Hans juga yakin jika anda melakukan aktiviti ini maka anda pasti akan menghargai titik peluh nelayan-nelayan kita yang bersusah payah mencari segala jenis kerang-kerangan ini semata-mata untuk memenuhi kehendak perut kita. Jadi, kepada sesiapa yang berminat boleh menghubungi pihak Peladang Setiu Agro Resort atau Ping Anchorage Travel & Tours untuk bertanyakan tentang pakej menarik ini. Selamat mencuba!

P/S : Antara Lokasi Menarik Lain Yang Boleh Dibaca Sepanjang Program Terengganu Homestay Food & Culture Festival dan Setiu Wetlands Festival Adalah Seperti Dibawah:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com