Ahad, 1 Disember 2019

Galeri Keris Pak Din Komando

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah terlibat di dalam Program Familiarization Fam Trip yang berlangsung pada 29 hingga 31 Oktober 2019 di daerah Selama, Perak. Jadi, sepanjang tiga hari dua malam Hans berada di bumi Perak ini sememangnya menghadiahkan Hans pelbagai pengalaman menarik yang membuatkan Hans ingin berkongsikan segala perkara manis ini dengan anda semua yang merupakan pembaca setia blog ini.


Jadi, aktiviti pada hari ketiga Hans sempena Program Familiarization Fam Trip ini ialah melawat Galeri Keris Pak Din Komando. Apa yang menariknya tentang lawatan ke galeri keris ini ialah Hans bukan sahaja berpeluang melihat pelbagai koleksi keris antik tetapi juga turut mendapat pelbagai info menarik seperti kisah-kisah sejarah lampau yang sememangnya seronok untuk didengar, dihayati dan diteladani.



Untuk maklumat para pembaca sekalian, seni pembuatan keris dan sarung ini telah diusahakan oleh En. Abdul Wahab Bin Hassan atau dikenali sebagai Pak Din Komando. Galeri yang terletak di Kampung Bagan Baru, Selama, Perak ini menyimpan pelbagai koleksi barangan antik yang cukup menarik buat sesiapa yang sukakan barang antik yang mempunyai sejarah tersendiri. Antara koleksi yang dimiliki oleh beliau adalah kayu serian batu, keris-keris lama, gobek api lama, kereta dan motor antik, gramophone piring hitam, pedang, senjata dan pelbagai barangan antik lain.



Seni pembuatan keris dan sarung juga merupakan warisan turun temurun daripada keluarga En. Abdul Wahab sendiri. Beliau yang merupakan seorang bekas komando ini melakukan kerja-kerja kampung seperti bercucuk tanam dan menternak binatang selepas menamatkan perkhidmatan sebagai tentera. Memang seronok apabila mendengar Pak Din berkongsi pelbagai perkara tentang keris. Paling menarik apabila dia bercerita tentang keris taming sari. Kalau nak tahu lebih lanjut, anda kena datang sendiri kesini dan minta Pak Din bercerita kepada anda. Serius memang menarik sangat kisah tentang keris taming sari ini.



Selain itu, Pak Din juga memperkenalkan Hans tentang kayu surian seperti yang anda dapat lihat pada gambar di atas. Pak Din sendiri telah membuat kajian berkenaan kayu surian yang mengambil masa selama 5 tahun dimana hasil daripada kajian tersebut telah membolehkan Pak Din untuk mengkomersialkan kayu surian ini secara ekslusif. Menariknya tentang kayu surian ini ialah semakin lama anda menyimpan dan memegangnya maka ianya akan menjadi semakin licin dan berkilat.



Menurut Pak Din lagi, antara tempat yang sesuai untuk menanam pokok Surian Batu ini ialah di kawasan Larut Taiping kerana suhu di kawasan tersebut sesuai dengan tanaman ini. Pokok Surian Batu ini juga tumbuh di kawasan-kawasan seperti tepi sungai dan kawasan yang bergunung-ganang. Jadi, kayu daripada pokok surian yang digunakan untuk menghasilkan sarung keris serta hulu keris ini sememangnya merupakan kayu yang sangat berkualiti, kuat dan tahan lama. Pembuatan keris dan sarung dihasilkan di bengkel yang diberi nama Bengkel Surian. Pak Din juga menerima tempahan bagi ukiran sarung senjata Melayu tradisional seperti golok, keris, pedang dan lain-lain.



Istimewanya tentang Galeri Keris Pak Din Komando ini semestinya terletak kepada lebih 100 koleksi keris yang dipamerkan di galerinya. Daripada zaman sebelum merdeka hingga kepada merdeka, anda akan dapat melihat pelbagai senjata yang masing-masing mempunyai kisah sejarahnya tersendiri. Pak Din juga turut memberi amaran kepada kami agar tidak menyentuh keris-keris yang dipamerkan disini. Hanya melihat sahaja! Kenapa tidak boleh sentuh? Kalau nak tahu kenapa, anda kena datang sini dan bertanya sendiri hal ini kepada Pak Din. Hahaha!



Jika ada sebarang pertanyaan berkaitan Galeri Keris Pak Din Komando atau aktiviti pelancongan di Selama, anda boleh hubungi Urusetia Unit Pelancongan Majlis Daerah Selama seperti dibawah:

Telefon:
010 3714548 (En. Razif)
0195217385 (En. Rofizlan)

Pejabat: 
05-8394201/2021 ext 119/120/121

Faks: 
05-8394377



Jadi, kepada sesiapa yang berminat untuk merasai pengalaman melihat serta mendengar sendiri info serta sejarah lama berkaitan keris, silalah berkunjung ke Galeri Keris Pak Din Komando yang terletak di Selama, Perak. Hans pasti anda bakal teruja dan seronok mendengar kisah-kisah yang diceritakan oleh Pak Din terutama kepada mereka yang meminati sejarah seperti Hans.

P/S : Lokasi Menarik Lain Yang Boleh Anda Baca Sepanjang Program Familiarization Fam Trip Selama Perak Adalah Dengan Melihat Pada Pautan Artikel Ini : 10 LOKASI MENARIK DI SELAMA PERAK YANG BOLEH ANDA PERGI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com