Rabu, 29 Januari 2020

Melihat Orang Utan Di Pusat Hidupan Liar Semenggoh

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Pada 22 hingga 24 November 2019 yang lepas, Hans telah berkesempatan menyertai satu program menarik anjuran Tourism Malaysia Sentral dengan kerjasama Malaysia Airlines dan Sarawak Tourism Board dengan melawat daerah Kuching, Sarawak. Jadi, sepanjang tiga hari dua malam Hans berada di bumi Sarawak ini sememangnya menawarkan Hans pelbagai pengalaman menarik yang cukup menakjubkan. Tambahan pula ini adalah kunjungan kali pertama Hans ke negeri Sarawak. Jadi, sememangnya Hans betul-betul teruja untuk mengetahui apakah lokasi pelancongan menarik yang menanti Hans di sekitar Kuching ini.


Jadi, lokasi tarikan pelancongan seterusnya yang ditawarkan di Kuching yang Hans telah lawati pada hari kedua pula ialah Pusat Hidupan Liar Semenggoh atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Semenggoh Wildlife Centre dimana jangka masa perjalanan daripada bandaraya Kuching ke sini mengambil masa lebih kurang 30 minit. 


Untuk pengetahuan semua, Pusat Hidupan Liar Semenggoh ini sebenarnya telah pun dibina sejak tahun 1920 lagi tetapi tujuan asal pembinaannya bukan lah untuk melindungi spesis orang utan seperti fungsinya pada masa kini. Sebaliknya, kawasan ini merupakan tempat untuk merawat lebih daripada 1000 ekor spesis haiwan liar. Tetapi, apabila usaha melindungi dan pembiakan orang utan dilihat berjaya dilakukan di sini maka ianya mula dijadikan kawasan perlindungan khas buat Orang Utan yang tinggal di Semenggoh ini.


Selain itu, Hans juga mendapat maklumat bahawa kawasan hutan ini merupakan simbolik terhadap usaha kerajaan menerusi Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk memelihara flora dan fauna yang terdapat di dalam hutan Sarawak. Sehingga kini terdapat 28 ekor orang utan yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia yang hidup bebas disini. Lebih menarik terdapat juga haiwan-haiwan liar lain serta tumbuh-tumbuhan hutan yang anda boleh lihat di kawasan ini juga.


Apa yang lebih menarik tentang orang utan yang tinggal di kawasan Pusat Hidupan Liar Semenggoh ini ialah mereka mempunyai nama masing-masing seperti Ritchie, Edwin, Annuar, Minah, Ruby, Selina dan macam-macam lagi. Setiap orang utan ini juga mengetahui apa nama panggilan mereka. Jadi, tidak hairan apabila ada pekerja disini yang memanggil nama orang utan untuk sesi memberi makan dimana muncul lah orang utan dengan nama yang disebut tersebut. 


Dalam perjalanan menuju ke kawasan berkumpul, Hans berpeluang melihat pokok Keruing Utap yang cukup tinggi di sepanjang laluan hutan ini. Istimewanya tentang pokok ini ialah daun-daunnya yang berwarna merah yang menjadikan pemandangan hutan yang menghijau ini kelihatan lebih menarik dan mengagumkan. 


Selain daripada Hans dapat belajar lebih banyak tentang orang utan melalui pelbagai info menarik yang dikongsikan disini, Hans juga sangat gembira dengan harga bayaran untuk tiket masuk kerana harganya yang cukup murah iaitu:

Dewasa:
RM5

Warga Emas / OKU:
RM3

Kanak-Kanak:
RM2

Kanak-Kanak 6 Tahun Ke Bawah:
Percuma


Jadi, antara aktiviti utama yang dinanti-nantikan oleh pengunjung ialah sesi memberi makan kepada orang utan. Tetapi, bukan pengunjung yang memberi makanan sebaliknya pekerja-pekerja yang bertugas disini dimana orang utan sudah mengenali dan selesa dengan mereka. Antara makanan yang diberi kepada orang utan ialah buah-buahan seperti pisang, betik, oren, nenas dan kelapa. Selain itu, orang utan juga sangat menggemari tebu dan ubi keledek. Orang utan juga turut diberi susu serta telur ayam untuk menggantikan diet orang utan yang menyukai telur burung liar. Terdapat dua sesi di dalam sehari untuk melihat orang utan makan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh ini iaitu pada:

Sesi Pertama:
9.00 A.M - 10.00 A.M

Sesi Kedua:
3.00 P.M - 4.00 P.M


Seperti biasa sebelum sesi memasuki denai dan melihat orang utan makan dimulakan, terdapat taklimat keselamatan diberikan kepada semua pengunjung yang terlibat. Antara yang perlu dititikberatkan oleh para pengunjung ialah mengelakkan daripada membuat bising sepanjang perjalanan menuju ke tempat orang utan makan dan sewaktu orang utan sedang menikmati sajian mereka. Elakkan daripada bercakap kuat, ketawa, menjerit serta berjalan dalam keadaan yang perlahan untuk mengelakkan bunyi kasut anda. Ini disebabkan orang utan sangat peka kepada bunyi-bunyian dan jika terlampau bising maka orang utan akan berasa terancam dan tidak akan datang untuk makan.


Selain itu, kepada para jurugambar atau mereka yang membawa kamera sememangnya dilarang sama sekali menggunakan Flash sewaktu mengambil gambar. Ini adalah untuk mengelakkan orang utan daripada ketakutan atau berubah sikap. Selain itu, para pengunjung juga dilarang sama sekali membawa makanan sendiri untuk diberikan kepada orang utan kerana orang utan ini sejenis haiwan yang sukar dijangka. Lebih penting orang utan ini tersangat besar saiznya wahai pembaca sekalian. Jangan main-main dengan orang utan. Sekali dia lempang maka ke dalam kubur lah jawabnya nasib manusia yang dilempang tersebut. Hahaha!


Selepas selesai taklimat keselamatan, maka bermulalah perjalanan Hans dan para pengunjung yang lain melalui kawasan denai menuju ke tempat orang utan diberi makan. Kawasan laluan hutan ini sangat mudah dilalui dimana anda tidak perlu risau untuk melaluinya kerana laluannya rata. Waktu perjalanan pun sangat pendek iaitu sekitar 10 minit sahaja. Untuk maklumat semua, para pengunjung perlu keluar daripada kawasan denai ini sebelum pukul 4.00 petang.
Memang ramai betul pelancong yang datang ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh ini semata-mata untuk menyaksikan sendiri kelibat orang utan menjamah makanan yang diberi. Tetapi, harus diingat bahawa ada ketikanya jika anda tidak bernasib baik maka anda tidak dapat melihat orang utan makan. Hal ini selalu terjadi apabila pengunjung yang datang tidak mematuhi peraturan seperti membuat bising misalnya. Alhamdulillah! Hans bertuah kerana berpeluang menyaksikan sendiri kelibat orang utan di hadapan mata.


Berpeluang melihat orang utan jantan ketiga terbesar yang terdapat di Pusat Hidupan Liar Semenggoh ini serta orang utan betina bersama anaknya menikmati buah-buahan serta memecahkan kelapa adalah satu pengalaman menarik yang tidak akan Hans lupakan. Serius memang kita tahu orang utan ini sejenis mamalia yang bersaiz besar. Tetapi, apabila tengok sendiri depan mata memang besar betul orang utan ini. Untuk lawatan Hans kali ini, memang Hans dapat lihat orang utan di tempat yang sepatutnya. Namun, jika anda lebih bernasib baik maka berkemungkinan besar anda dapat melihat orang utan ini dengan lebih dekat di kawasan pengunjung berdiri seperti gambar Hans di bawah.


Jadi, ini adalah pengalaman Hans sepanjang melihat Orang Utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh yang terletak di Kuching, Sarawak. Kepada sesiapa yang berkunjung ke Kuching maka sudi-sudikan lah diri anda untuk datang menjejakkan kaki di Pusat Hidupan Liar Semenggoh atau terkenal di kalangan pengunjung luar negara dengan nama Semenggoh Wildlife Centre ini. Jangan lepaskan peluang kerana memang banyak perkara menarik yang ditawarkan di sini. Jom ke Kuching, Sarawak!

P/S : Lokasi Menarik Lain Yang Boleh Anda Baca Sepanjang Program Lawatan Di Kuching, Sawarak Boleh Dilihat Pada Pautan Artikel Ini : 

2 ulasan:

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com