Tourism Malaysia Media Challenge 2.0 - Part 1

Assalammualaikum semua pembaca blog hanshanis.com dan kali ini Hans nak berkongsi tentang pengalaman Hans menyertai program Media Challenge 2.0 anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia yang berjaya menjelajah dua buah negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka selama tiga hari dua malam untuk melawat serta mengunjungi enam buah muzium pilihan pada tahun ini iaitu Muzium Adat, Teratak Perpatih @ Muzium Negeri Sembilan, Muzium Lukut, Muzium Kesultanan Melayu Melaka, Muzium Seni Bina Malaysia dan Encore Melaka.
Untuk program kali ini seramai 24 peserta terpilih yang terdiri daripada pelbagai kategori media seperti majalah, surat khabar, blogger dan portal online.Tujuan aktiviti yang diadakan setiap tahun ini adalah untuk memberi peluang kepada setiap peserta untuk lebih mengenali muzium serta budaya, maklumat dan ilmu yang terdapat di dalamnya melalui pelbagai aktiviti yang telah disediakan oleh penganjur.
Jadi, memandangkan ini adalah pertama kali Hans menyertai program ini dan Hans sendiri pun tidak pasti bagaimana perjalanan program ini sebenarnya. Hans merupakan antara kumpulan peserta terawal sampai kerana ingin mengelakkan kesesakan jalan raya. Alhamdulillah, dapat berkenalan dengan peserta-peserta lain seperti Nina dan Otto sebelum bertemu pula dengan blogger Dboy, Mieda, Encik Pink dan ramai lagi. Memang semuanya hebat-hebat belaka. 
Sesi pendaftaran dibuka pada pukul 8.30 pagi dan kesemua peserta diberikan sebuah beg kertas yang mengandungi sehelai baju untuk dipakai pada hari pertama, dua batang pen, kad nama peserta, barang cenderahati serta risalah maklumat berkenaan muzium dan aktiviti sepanjang tiga hari dua malam program ini berlangsung.
Lama Hans tak dapat benda nih! Hahaha! Jadi, masa untuk menaiki bas dan beramah mesra bersama rakan-rakan baru yang bakal bersama merempuh onak dan duri sepanjang program berlangsung.
Cadangan Hans kepada pihak Tourism Malaysia supaya pada program akan datang sebaik-baiknya diadakan sedikit sesi pengenalan antara peserta supaya masing-masing lebih pantas mengenali dan mesra antara satu sama lain sebab bukannya semua orang jenis ramah-tamah atau pun terlalu mesra kerana ada sesetengah juga yang pemalu.
Jadi, setelah satu jam setengah berada di dalam bas dan akhirnya kami semua tiba di lokasi pertama iaitu Muzium Adat yang terletak di Jelebu, Negeri Sembilan. Untuk pengetahuan semua, muzium ini secara rasminya telah dibuka pada tanggal 2 Februari 2008 oleh Undang Luak Jelebu iaitu Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Dato' Musa bin Wahab. Jarak Muzium Adat yang terletak di Kuala Klawang, Jelebu ini dari Seremban pula ialah lebih kurang 30 kilometer. 
Muzium Adat ini mempunyai empat buah aras galeri pameran yang memberi fokus kepada beberapa jenis adat kehidupan masyarakat Malaysia terutamanya Adat Perpatih.

  • Galeri Aras Bawah : berkaitan tentang pengenalan, definisi dan konsep adat, kategori adat serta masyarakat beradat pelbagai kaum yang diamalkan di Malaysia.

  • Galeri Aras Satu : berkaitan adat-adat yang dikaitkan dengan kitaran hidup manusia termasuk kelahiran, perkahwinan, kematian dan kegiatan ekonomi serta amalan ritual masyarakat di Malaysia termasuk muzik sebagai manifestasi adat.

  • Galeri Aras Dua : berkaitan tentang kegiatan intelektual di di istana dan rakyat serta institusi Kesultanan Raja-Raja Melayu di mana kita dapat belajar tentang perbezaan antara golongan bangsawan dan bawahan, proses pertabalan serta banyak lagi perkara yang boleh diteroka di aras ini.

  • Galeri Aras Tiga : memberi fokus yang khusus tentang adat merantau masyarakat Minang dari Tanah Minangkabau sehingga bertapak di Negeri Sembilan dan keutuhan Adat Perpatih dari struktur sosial. Yang menarik ialah terdapat perbezaan dari segi cara amalannya di Sumatera dan di Negeri Sembilan sendiri.

Istimewa untuk anda yang berminat untuk melawat Muzium Adat, masuk adalah percuma dan Muzium Adat ini dibuka setiap hari (kecuali pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha) daripada pukul 9 pagi sehingga pukul 5 petang.
Jadi, Hans dan rakan-rakan lain tiba disini dan dibawa ke atas untuk sarapan pagi terlebih dahulu. Selepas itu, kami semua berpeluang mendengar secara ringkas penerangan dan ucapan yang disampaikan oleh Pengarah Muzium Adat berkenaan adat perpatih dan memang banyak sebenarnya yang Hans belajar disini.
Jadi, debaran kembali terasa apabila buat pertama kalinya kesemua 24 orang peserta akan dibahagikan kepada 6 buah kumpulan. Memandangkan Hans datang ke program ini tanpa mengenali langsung mana-mana peserta pun dengan rapat jadi memang ini antara salah satu perkara yang menarik untuk mengenali dengan lebih dekat setiap orang yang terlibat.
Nama Hans disebut sebagai salah sebuah nama yang tersenarai di dalam kumpulan kedua bersama Akak Mieda Rajab (blogger), Arra (Lumino TV) dan Innese Mokhtari (Wartawan Perancis). Gerun sebentar sebab dalam kumpulan ada orang Perancis. Tambah-tambah kemahiran berbahasa English Hans memang di tahap hauk jadi memang redha dan bertabah sahaja lah. Hahaha!  
Jadi, cabaran pertama yang ditempuhi oleh kumpulan kedua yang masih belum diberi nama pada ketika itu ialah menjawab 12 soalan berkaitan Adat Perpatih serta beberapa soalan berkaitan yang boleh ditemui jawapannya di dalam setiap aras di Muzium Adat tersebut. Disini juga Hans dengan sukacitanya ingin memberi pandangan kepada pihak Tourism Malaysia serta Jabatan Muzium Malaysia supaya pada penganjuran seterusnya di tahun akan datang supaya menyertakan setiap soalan di dalam dwi bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Memandangkan kami mempunyai seorang ahli kumpulan yang memang tidak fasih berbahasa Melayu jadi memang Hans agak bersimpati kerana kami bertiga tidak sempat membantu atau bercerita kepadanya tentang sejarah di muzium ini secara terperinci kerana perlu mengejar masa untuk menjawab soalan-soalan dan ingin mengelakkan daripada menjadi kumpulan yang berada zon tercorot. Hans secara peribadi memang agak kasihan dengan Innese sebab jika soalan yang diberi turut disertakan di dalam bahasa Inggeris pasti mampu membuatkan dia lebih terhibur dengan aktiviti yang telah disediakan sepanjang program berlangsung.
Hans tak tahu kenapa tetapi Hans tak boleh tengok video nih. Mungkin geli tengok diri Hans sendiri kut melakukan aksi-aksi Cool ini. Hahahaha! Jadi, nama kumpulan Hans ialah Cool! Masalahnya cool ker tidak? Kalau tengok Hans memang cool sahaja. Hahaha!
Jadi, berakhir sudah cabaran pertama dimana banyak perkara yang Hans dapat belajar melalui ujian kuiz subjektif sebentar tadi seperti perkataan Ibu Soko, gelaran Undang, jumlah suku yang terdapat di dalam sistem adat di Negeri Sembilan serta pelbagai lagi yang sebelum ini Hans sendiri pun tidak arif. Terima kasih kepada pihak Tourism Malaysia serta Jabatan Muzium Malaysia kerana membawa kami ke Muzium Adat ini. Secara peribadi bagi Hans sendiri, Muzium Adat ini sebenarnya merupakan sebuah muzium yang menarik dan perlu ditambah baik dengan pelbagai nilai komersial lagi untuk memastikan muzium ini sentiasa berjaya menarik perhatian ramai pengunjung untuk sentiasa memanfaatkan kebaikan yang ditawarkan disini.
Destinasi kami seterusnya ialah melawat Muzium Negeri Sembilan @ Teratak Perpatih dan apa yang menarik perhatian Hans disini ialah replika Batu Megalitik. Pasti ramai yang tidak tahu tentang kewujudan batu ini kan? Jadi, Hans nak kongsikan sedikit info tentang batu megalitik ini. Zaman Batu Megalitik ini dikatakan bermula sejak abad ke-18 dan kebanyakan batu-batu yang terdapat dan dijumpai di sekitar kawasan Negeri Sembilan ialah daripada jenis Menhir. Penemuan batu di sekitar negeri ini sebenarnya merupakan tanda perkembangan penempatan masyarakat awal yang menjadikannya sebagai tempat pemujaan, selain pelbagai lagi kepercayaan yang diyakini oleh masyarakat pada ketika itu mampu untuk mempengaruhi ekonomi pertanian serta kebudayaan masyarakat.
Jadi, aktiviti seterusnya disini ialah makan tengahari di dalam Istana Ampang Tinggi Muzium Negeri Sembilan. Makan tengahari dengan talam siap bersila tahu. Hehehe! Ada satu info menarik telah dikongsikan oleh seorang pegawai kurator muzium berkenaan bagaimana pembesar-pembesar makan di majlis keramaian pada zaman dahulu. Katanya, setiap tetamu perlu mengikut pembesar itu makan dimana selagi pembesar itu tak berhenti menjamu selera maka selagi itulah tetamu perlu menjamah makanan yang. Begitu juga sebaliknya jika pembesar berhenti makan walaupun makan sedikit maka tetamu yang lain yang mungkin masih belum kenyang harus mengikuti perbuatan pembesar dengan berhenti makan. Alhamdulillah Hans tidak hidup di zaman tersebut. Hahaha! 
Jadi, inilah antara menu-menu menarik yang dihidangkan kepada peserta-peserta kali ini. Hans hanya memberi fokus kepada ayam masak lemak cili api sahaja. Hehehe! Alhamdulillah kenyang perut suka hati!
Ini pegawai muzium yang terlibat cakap ialah adat Makan Bersilo untuk orang Negeri Sembilan. Ini tidak ada kelainan sangat bagi Hans sebab memang ikutkan orang Melayu makan bersila pun. Hehehe! 
Sebenarnya ada banyak lagi penerangan daripada pegawai terlibat tetapi sebabkan Hans tak tahu ada jadi Hans keluar lah bergambar di sekitar kawasan Istana Ampang Tinggi dan Rumah Negeri Sembilan. Terima kasih kepada saudara Otto yang merupakan salah seorang rakan baik semasa aktiviti ini berlangsung. Cantik betul gambar yang dia ambil. Bila Hans pula yang ambil gambar dia mesti dia rasa macam nak baling sahaja kamera tu dekat muka Hans. Hahaha! 
Seperti biasa sesi bergambar beramai-ramai sebelum bergerak ke Muzium Negeri Sembilan yang berada di sebelah sahaja. Pastikan posisi anda di dalam gambar berada di kawasan tengah supaya wajah anda terselamat daripada suntingan jurugambar yang berkenaan.
Sedikit maklumat berkaitan Muzium Negeri Sembilan ini ialah muzium ini telah ditubuhkan pada tahun 1953 iaitu apabila Yam Tuan Ke-8, Tuanku Abdul Rahman memberikan kebenaran supaya Istana Ampang Tinggi Kuala Pilah dipindahkan ke Taman Bunga di Jalan Dato' Hamzah, Seremban dan dijadikan sebagai Muzium Negeri. Pada mulanya ia terletak di Taman Bunga Seremban tetapi disebabkan lokasi taman bunga tersebut tidak sesuai maka Muzium Negeri telah dipindahkan ke Kompleks Taman Seni Budaya di Jalan Sungai Ujong pada tahun 1984.
Jadi, Hans pun mengambil kesempatan untuk masuk ke dalam dan melihat apa yang ditawarkan di dalam Muzium Negeri ini. Dibawah adalah beberapa keping gambar yang dapat dikongsikan untuk tontonan semua pembaca.
KHUSYUK BETUL MASING-MASING MENDENGAR PENERANGAN

SIAPA BILANG GADIS MELAYU TAK MENAWAN

INI ADALAH BASIKAL TENTERA JEPUN
INI PULA SALAH SEORANG JENERAL JEPUN.
Jadi, destinasi seterusnya ialah Muzium Lukut yang telah dirasmikan pada tanggal 9 April 1999. Tujuan pembinaannya adalah untuk menyebarkan maklumat sejarah dan budaya di Negeri Sembilan untuk masyarakat tempatan, para pelancong, para pelajar serta penyelidik sejarah. Muzium ini memaparkan sejarah Lukut bermula daripada awal kurun ke-19 Masihi sehinggalah Lukut dimasukkan ke dalam daerah Sungai Ujung pada tahun 1880. Muzium Lukut ini mempunyai empat galeri utama iaitu:
  • Galeri Sejarah Lukut
  • Galeri Nassau
  • Galeri Negeri Sembilan Negeri Beradat
  • Galeri Teknologi Pembuatan Masyarakat Tradisional
Jadi, sebelum bermula cabaran berkumpulan seterusnya, kami mendengar dulu penerangan daripada Encik Peterson Augustine berkenaan sejarah Lukut dan hubung kaitnya dengan negeri Selangor sebelum ini. Memang banyak maklumat yang cukup menarik dan memandangkan Hans memang sukakan kisah sejarah jadi kisah yang disampaikan ini memang betul-betul menarik perhatian Hans.
Disini Hans dapat tahu aktiviti perlombongan bijih timah merupakan antara aktiviti ekonomi terkenal di kawasan Lukut. Sebelum bijih timah diperkenalkan, masyarakat melayu disini rata-ratanya bekerja sebagai nelayan. Jadi, pada mulanya kaedah tradisional mendulang diperkenalkan kepada orang melayu yang terlibat di dalam aktiviti biji timah ini. Kemasukan pekerja-pekerja yang berasal daripada tanah besar China yang dibawa dari Melaka untuk aktiviti melombong bijih timah telah berjaya membawa teknologi terbaru melombong pada ketika itu. Namun, tragedi malang berlaku apabila Raja Busu mula memperkenalkan cukai 10 peratus yang perlu dibayar dahulu sebelum bijih timah di eksport. Ini menyebabkan banyak hasil bijih timah tersadai dan mula menimbulkan bibit-bibit kemarahan para pelombong sehingga menyebabkan mereka menyerang Raja Busu dan keluarganya pada tahun 1834 sehingga menyebabkan Raja Busu dan keluarga terkorban di dalam peristiwa tersebut.
Banyak lagi kisah menarik yang terdapat di Muzium Lukut jadi kepada sesiapa yang nak tahu silalah berkunjung kesini kerana anda pasti tidak akan menyesal. Jadi, berbalik kepada cabaran berkumpulan seterusnya dimana kami diberi tiga bentuk ujian yang agak mencabar di peringkat usia yang menuju ke arah kertu ini. Hahaha!

  • Cabaran Pertama : Teka Tiga Jenis Rempah & Berat Kacang Hijau
  • Cabaran Kedua : Teka Silang Kata
  • Cabaran Ketiga : Bergambar Dengan Objek Yang Sesuai Dengan Pembayang Ayat 

Jadi, bab teka rempah dengan kacang hijau ini kami bersepakat menyerahkan tanggungjawab besar tersebut kepada otai yang berpengalaman iaitu Akak Mieda Rajab. Setahu Hans, tekaan rempah daripada kumpulan Cool salah satu dan berat kacang yang diteka pula terlebih hanya 50 gram. Jawapan berat kacang ialah 450 gram.

Kemudian cabaran kedua iaitu teka silang kata diuruskan oleh Hans sambil dibantu juga oleh ahli-ahli kumpulan. Memandangkan Hans menyalin penerangan berkaitan Lukut sebentar tadi jadi memang banyak membantu Hans mencari jawapan untuk teka silang kata ini dengan pantas dan mudah.

Kemudian ke cabaran seterusnya dan dibawah merupakan gambar-gambar yang kami ambil untuk menjawab pembayang soalan yang diberi.
GAMBAR INI BERKAITAN KEROPOK LEKOR APA SEGALA ENTAH KE TERENGGANU
GAMBAR INI PULA MELAMBANGKAN KOTA LUKUT
GAMBAR INI MELAMBANGKAN ARSENAL
GAMBAR INI TENTANG COP MOHOR
Wahai penduduk-penduduk jelata sekalian, ini adalah gambar jawapan bagi soalan berkaitan Dang Anum yang sangat diyakini oleh para pembesar yang terlibat di dalam Kerajaan Cool. Apakah yang Dang Anum idam-idamkan? Ada seorang cakap Dang Anum ini gundik jadi mesti dia idam nak jadi isteri. Ada seorang ini pula terbaca kisah apa entah yang cakap Dang Anum nak jadi batu. Hans pun dengan keyakinan yang tinggi berlari bersama ahli kumpulan lain bergambar dengan batu ini untuk menjawab pembayang Dang Anum itu. Rupa-rupanya Dang Anum mengidam nangka. Hahahaha! Kalau batu ini kisah si Tanggang. Aduhai! Sampai sekarang berdekah kalau teringat balik kisah Dang Anum dan batu versi kumpulan Cool nih.
Daripada Lukut, kami semua bertolak ke Melaka untuk menuju ke hotel penginapan sepanjang tiga hari dua malam ini iaitu di Treasures Hotel & Suites yang memang cantik sangat dengan gabungan konsep butik serta baba dan nyonya ini. Memandangkan kami tiba di hotel agak lewat daripada jadual yang dirancang jadi memang agak terkejar-kejar masa untuk makan, mandi dan solat untuk ke program seterusnya iaitu Majlis Perasmian Hari Muzium Antarabangsa yang bertempat di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, Melaka. 
Usai kami tiba di majlis tersebut, selang beberapa minit sahaja majlis telah pun dirasmikan oleh YB Tuan Mohamaddin Bin Ketapi yang merupakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
Jadi, Hans dan rakan-rakan berpeluang untuk melihat puluhan gerai pameran yang disediakan sepanjang majlis berlangsung. Antara yang paling menarik perhatian Hans sudah semestinya ialah pameran awal di pintu masuk yang merupakan milik Muzium Dan Galeri Bank Negara Malaysia. Maklum sahajalah sebab Hans memang minat mengumpul syiling dan wang peringatan keluaran BNM ini.
Paling buat Hans teruja tu sebab boleh cetak duit sendiri. RM250 tu wehhhh! Hahaha! Sebelum itu tengok rakan-rakan blogger lain cetak duit sendiri memang nampak kemas dan cantik. Hans pun cuba lah cetak duit sendiri. Hasil pertama wang kertas cetakan Hans tidak memberangsangkan. Jadi, Hans mengharapkan cetakan kali kedua Hans berjaya membuahkan hasil. Namun, cetakan kedua memberikan hasil yang lebih menakutkan daripada cetakan pertama. Hahaha! Hans redha sahaja lah sebab memang tidak berbakat di dalam mencetak duit sendiri ini.
Memandangkan sudah lebih sepuluh tahun tidak memakai baju batik jadi rasanya Hans harus memanfaatkan baju batik slim fit daripada Kapten Batik ini untuk sesi bergambar. Gigih weh membeli baju batik dan pakai tidak sampai beberapa jam saja pun. Jadi, tak tahu bila pula akan pakai baju batik ini jadi Hans dan beberapa rakan blogger lain mengambil kesempatan untuk bergambar di sekitar sudut hotel yang menarik untuk diabadikan sebagai kenangan hidup. Hahaha! Jadi, berakhir sudah aktiviti di hari pertama yang cukup padat. Nantikan pengalaman Hans untuk hari kedua program Tourism Malaysia Media Challenge 2.0

P/S : Panjang Pula Hans Menaip Nih! Hangpa Kalau Tak Baca Memang Nak Kena Karate Lah Jawabnya! Hahaha!

16 Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

  1. pehhh bestnyaaaa...rugi ain tak join sama...huhuhuhu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      tahun depan kalau dapat join lah
      best gila weh

      Padam
  2. Wah hans
    Tourism malaysia wat challenge utk media ekh? Seronok baca dan tengok...

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups
      memang tiap-tiap tahun dia buat bermula tahun lepas
      ini kali kedua
      rezeki dapat sertai
      memang best :)

      Padam
  3. Balasan
    1. alhamdulillah rezeki
      Hans pun kali pertama dapat sertai program macam nih

      Padam
  4. bestnya.. seronok2 sambil tambah ilmu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. alhamdulillah memang seronok
      selalu orang cakap muzium nih tempat membosankan tetapi bila dibuat aktiviti dan bila diceritakan kisah-kisah yang sebenarnya sangat menarik...terus buat program ini sangat seronok dan menghiburkan

      Padam
  5. Banyak nya aktiviti tu hans. Mesti seronok sangat kan.

    BalasPadam
  6. Seronok hans dapat peluang macam ni, btw besar jugak Muzium Adat tu.. Banyak aras yer

    BalasPadam
  7. Zumal tak pernah sampai lagi muzium negeri sembilan tu...

    BalasPadam

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama