The Klang Town Heritage Walk Tour

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog hanshanis.com sekalian. Jadi, kali ini Hans ingin berkongsi pengalaman Hans sewaktu mengikuti program Exploring The Treasures Of Selangor yang dianjurkan oleh Tourism Selangor dengan kerjasama Fire Fly.


Jadi, destinasi pertama yang Hans pergi ialah Bandar Diraja Klang. Secara jujurnya Hans memang tidak pernah berjalan-jalan di sekitar kawasan Klang ini. Jadi, Hans memang tidak sangka rupa-rupanya kawasan ini mempunyai tarikan sejarah yang cukup menarik dan perlu diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia amnya. 


Hans dan rakan media lain dibahagi kepada dua kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai seorang pemandu melancong untuk membawa kami semua melawat 11 kawasan bersejarah sekitar bandar Klang ini. Alhamdulillah Hans mendapat pemandu pelancong yang sangat bagus dan berdedikasi.


Jadi, tempat pertama yang dituju ialah Galeri Sultan Abdul Aziz Shah yang mula dibuka secara rasminya pada bulan Oktober 2007. Dibina oleh oleh seorang arkitek dari British, bangunan ini merupakan antara bangunan yang tercantik dapat dilihat di Klang. Pada bulan Disember 2009, bangunan ini telah diwartakan sebagai bangunan warisan kebangsaan dan menempatkan pelbagai jenis artifak dan koleksi diraja milik Sultan Selangor.


Menariknya jika anda datang kesini dan mengikuti pakej The Klang Town Heritage Walk Tour ini ialah anda akan mendapat pelbagai jenis info dan berpeluang untuk bertanya pelbagai soalan kepada pemandu pelancong tentang sesuatu perkara yang ingin anda tahu.


Kalau datang seorang diri memang masih boleh dapat pelbagai info menarik tetapi Hans cadangkan adalah lebih baik datang beramai-ramai bersama rakan-rakan dan ambil peluang ini dengan mengikuti pakej yang disediakan supaya perjalanan anda lebih terisi dengan pelbagai sejarah yang pastinya menarik untuk diketahui.


Selain itu, kepada sesiapa yang gemar bergambar tidak dinafikan kawasan-kawasan bersejarah yang terdapat di Bandar Diraja Klang ini sangat sesuai dijadikan kawasan untuk bergambar kerana konsepnya yang kelihatan sangat vintage dan menarik.


Seterusnya Hans dibawa ke lokasi kedua iaitu The Former Chartered Bank yang merupakan institusi kewangan yang pertama dan paling tertua di Klang. Reka bentuk Bank ini yang berkonsepkan gaya klasik Neo ini pada asalnya menghubungkan bangunan utama melalui jambatan pejalan kaki tertutup untuk ke tingkat pertama. Di kawasan luar pula, anda dapat melihat terdapat tempat dimana pada suatu ketika dahulu ia dijadikan tempat tempat parkir kereta kuda.


Namun, bangunan ini berubah fungsinya menjadi Chennai Silk iaitu sebuah butik pakaian India yang menjual pelbagai jenis jari, dhoti, makanan, pinggan mangkuk dan pelbagai lagi barangan orang India. 


Hans pertama kali memasuki sebuah bangunan yang menjual pelbagai jenis sari dan memang Hans agak terpukau melihat kecantikan sari-sari yang dijual disini. Untuk pengetahuan semua, setiap sari mempunyai pelbagai warna yang menarik perhatian tetapi berbeza dengan dhoti yang merupakan pakaian untuk lelaki India. Rupa-rupanya budaya masyarakat India sememangnya memberi kelebihan kepada perempuan untuk lebih menyerlah melalui pakaian sari yang pelbagai warna berbanding lelaki yang hanya memakai dhoti yang mempunyai warna yang terhad.


Menariknya juga kerana Hans berpeluang melihat sendiri mesin jahit yang menghasilkan sari. Satu info menarik yang Hans ingin kongsikan dengan semua ialah jika anda ingin membeli sari pastikan kedai atau butik pakaian tersebut mempunyai sebuah meja panjang. Meja panjang ini berfungsi untuk sari ini dihamparkan dan kita dapat melihat sendiri kualiti sari yang ingin dibeli. Jika, tidak ada meja panjang di dalam butik atau kedai menjual sari mungkin anda boleh lupakan niat anda untuk membeli sari di kedai tersebut.


Destinasi seterusnya ialah Royal Klang Club dimana Hans berpeluang mengimbau kembali zaman lampau melihat bagaimana suasana kelab sosial dan rekreasi bagi perjumpaan tidak rasmi golongan masyarakat British, penjawat awam serta pentadbir pada era tersebut. 


Reka bentuk dalamannya sebenar diinspirasikan berdasarkan reka bentul kapal marin. Lokasi ini juga turut pernah menjadi tempat hiburan dan tontonan drama seperti Othello, Midsummer Dream oleh Shakespeare. Untuk memasuki kelab ini sebenarnya memerlukan kebenaran khas.


Royal Klang Club ini asalnya dibina disebabkan Kelab Diraja yang berada di Kuala Lumpur hanya lebih memberi kelebihan kepada warga British berbanding golongan diraja dimana mereka dilayan seperti golongan kelas kedua. Jadi, tertubuhnya Royal Klang Club ini memberikan hak yang lebih ekslusif kepada golongan diraja dan penjawat tempatan. Seperti biasa kawasan ini dahulu terkenal dengan aktiviti permainan kriket dan lumba kuda. Lebih menarik perhatian Hans ialah pada zaman dahulu disebabkan pengangkutan utama lebih kepada kereta kuda, jadi perjalanan dari Dataran Merdeka untuk ke sini mengambil masa selama empat hari.


Jika anda ke Royal Klang Club, anda akan terjumpa satu gambar anjing Dalmatian. Gambar ini sebenarnya mempunyai sejarah yang sangat menarik dan agak melucukan. Sebenarnya, Kelab Diraja seperti ini hanya boleh dimasuki oleh golongan lelaki sahaja. Tetapi, sejarah membuktikan terdapat seorang wanita yang berjaya masuk ke kelab ini berkali-kali kerana dia merupakan isteri kepada seorang lelaki British yang berpangkat besar. Golongan lelaki tidak suka dengan kehadiran wanita ini kerana wanita ini boleh diibaratkan seperti makcik bawang lah pada zaman dahulu. Segala aktiviti lelaki-lelaki di dalam kelab ini akan diceritakan oleh wanita tersebut kepada isteri-isteri mereka. Jadi, kaum lelaki berpakat dengan menghadiahkan wanita ini seekor anjing Dalmation dimana fungsinya ialah untuk mengetahui adakah wanita ini akan ke kelab atau berada di rumah. Caranya ialah jika anjing tersebut berada di hadapan rumah maka ia bermaksud wanita tersebut berada di rumah dan golongan lelaki baru akan pergi ke kelab tersebut untuk bersuka ria.


Selepas itu Hans dibawa pula berjalan-jalan di sekitar kawasan kedai perniagaan di Klang dimana Hans dapat melihat hasil jualan masyarakat India yang terdiri daripada rempah-ratus dan pelbagai barang lain. 


Salah satu perkara yang menarik perhatian Hans disini ialah barangan jualan yang bernama Sambrani. Untuk pengetahuan semua, Sambrani ini ialah kemenyan asli yang diperbuat daripada susu kemenyan dan bahan-bahan sampingan yang diperolehi daripada pokok kemenyan. Ia digunakan untuk upacara sembahyang dan untuk membasmi kuman di rumah bagi masyarakat India. Ianya juga didatangkan di dalam beberapa jenis mengikut kualiti serta harga yang berbeza.


Selepas itu, Hans dan rakan-rakan media lain melalui kawasan jualan makanan orang India dimana terdapat pelbagai jenis kuih dan aneka manisan yang dijual disini. Hans berpeluang merasa sejenis kuih masyarakat India iaitu Pakora. Serius rasanya walaupun berempah tetapi sangat sedap. Tambah-tambah dimakan pada waktu panas pula. 


Kuih Pakora nih dibuat daripada kacang dal, jintan, daun kari, serbuk kari dan beberapa bahan lain lagi. Memang menyelerakan dan Hans boleh makan kuih Pakora ini berbanding kuih Vadai. Terima kasih kepada pemandu pelancong kerana belanja kami makan kuih Pakora. Asalnya risau nak makan sebab takut tak kena dengan selera. Apabila sudah makan memang terasa nak lagi. Hahaha!


Seterusnya, Hans dibawa melawat satu-satunya balai bomba yang mempunyai muzium di dalamnya iaitu Balai Bomba Klang. Seperti biasa, nama pun muzium bomba maka kita dapat lihat pelbagai alat kelengkapan serta alat bunyi siren yang kita boleh putarkan sendiri untuk dengar bunyinya.


Tetapi, ada satu perkara menarik yang terdapat disini ialah sebuah peti misteri bomba yang dijumpai dan menjadi bahan bacaan berita orang ramai sebelum ini. Peti ini tidak dapat dibuka kerana kehilangan kunci peti besinya.


Apa yang lebih menarik, tiada sesiapa yang tahukan apakah isi atau barang yang terdapat di dalam peti besi misteri tersebut. Tiba-tiba terasa seram pula memikirkan apa yang ada di dalam peti besi nih. Hahaha!


Hans juga turut berkesempatan melawat beberapa lagi tempat menarik sekitar Bandar Klang ini seperti Istana Alam Shah, Church of Our Lady of Lourdes, Klang Convent School, Tengku Kelana Street (Little India), Indian Muslim Mosque Tengku Klana, Sri Nagara Thendayuthapani Temple dan Gedung Raja Abdullah. Banyak lagi sejarah menarik yang ada di sini seperti kisah tokoh bernama Mohamad Kassim yang banyak berjasa kepada masyarakat disini. Kalau nak tahu lebih lanjut, anda perlu datang sendiri kesini untuk mempelajari dan menghayati kisah sejarah yang sangat ekslusif yang wujud di Bandar Diraja Klang. Rugi kalau tak datang sini sebab Hans sendiri secara peribadi merasakan The Klang Town Heritage Walk Tour ini sangat berbaloi kepada sesiapa yang mencintai dan menyayangi sejarah negara.

Post a Comment

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

أحدث أقدم