Amin Aznizan Anak Muda Kebanggaan Malaysia

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans berkesempatan untuk bertemu dengan seorang anak muda yang cukup hebat dan sangat berjaya iaitu Amin Aznizan. Untuk pengetahuan semua, anak jati Sarawak yang berasal dari Miri ini merupakan pemilik restoran Kedey Kamek yang menyedia dan menjual makanan-makanan dari Sarawak yang sedap-sedap belaka


Walaupun baru berusia 34 tahun namun Amin Aznizan telah mempunyai empat syarikat utama yang cukup berpengaruh serta berasaskan perkhidmatan makanan dan minuman iaitu:

1) SOCC Holdings Berhad
2) SOCC Offshore Sdn. Bhd. 
3) SOCC Catering Sdn. Bhd.
4) AnakMiri Kitchen Sdn. Bhd.

Hans agak tertarik apabila melihat penglibatan anak muda ini yang minatnya lebih terarah kepada industri perniagaan berasaskan makanan. Jadi, apabila ditanya bagaimana tercetusnya minat beliau untuk menerokai perniagaan berasaskan makanan dan minuman ini, Amin menerangkan minatnya mula timbul sewaktu belajar di luar negara dan bertemu dengan ramai rakan dari serata dunia. Menurut Amin yang merupakan graduan dari Grenoble Graduate School of Business, Perancis ini, kebanyakan daripada mereka tidak mengetahui tentang Malaysia atau dimana terletaknya Malaysia sehingga memaksa beliau untuk memberi beberapa klu seperti nama Tun Dr Mahathir, Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Litar Lumba Sepang untuk mengingatkan mereka tentang kewujudan Malaysia. Kerinduan terhadap makanan-makanan dari Sarawak juga membuatkan Amin belajar sendiri memasak hidangan tersebut di luar negara dan secara tidak langsung menjemput rakan-rakannya tersebut untuk menikmati makanan Sarawak. 


Pujian serta kegembiraan yang dirasai oleh rakan-rakannya tersebut membuatkan Amin tidak lagi menoleh ke belakang dan membuatkan beliau serius untuk terjun ke dunia perniagaan makanan dan minuman ini. Tekad beliau untuk membuka kedai makanan Sarawak yang mana setiap makanannya diinspirasi daripada resepi turun-temurun ahli keluarganya sendiri adalah satu iaitu untuk memperkenalkan Sarawak kepada seluruh dunia.

Selain Kedey Kamek yang mempunyai tiga cawangan di sekitar Kuala Lumpur, beliau juga turut mengusahakan jenama Nang Haus, GoGoreng dan Seahorse Seafood yang berada di bawah anak syarikat AnakMiri Kitchen Sdn. Bhd. Untuk makluman semua, Seahorse Seafood dikenali ramai dengan hidupan laut yang cukup segar. Nang Haus pula merupakan minuman tin '3 layer tea' dari Sarawak yang laris dijual di kedai serbaneka seperti 7-Eleven.


Walaupun masih muda, namun Amin Aznizan membuktikan usia bukan penghalang untuk beliau bergelar Pengarah Urusan Kumpulan di dalam perniagaan konglomerat iaitu SOCC Holdings Berhad sejak bulan Ogos 2022 lagi. Ini membuktikan dimana ada kemahuan maka disitu ada jalan untuk mencapai kejayaan. Hans melihat ini adalah satu kejayaan luar biasa yang boleh menjadi pemangkin kepada inspirasi anak muda masa kini untuk mencontohi kejayaan Amin ini. Sebagai info, SOCC Holdings Berhad merupakan syarikat generasi keluarga Amin yang telah mula ditubuhkan sejak tahun 1983 lagi dan merupakan salah satu syarikat korporat bumiputera terbesar di Sarawak. 

SOCC Holdings Berhad di bawah SOCC Offshore Sdn. Bhd. yang telah beroperasi sejak 30 tahun lalu ini merupakan syarikat pembekal servis makanan dan minuman kepada pelantar di laut yang dimiliki oleh syarikat minyak dan gas. Kini SOCC Offshore turut membekalkan perkhidmatan kepada syarikat minyak dan gas di luar negara seperti Singapura dan Arab Saudi serta perkhidmatan katering di 13 buah pelantar dan kapal di perairan Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah dan Labuan.


Penerima Anugerah Usahawan Muda (Youth Entrepreneur Award) oleh Sarawak Bumiputera Chamber of Enterpreneurs (DUBS) pada tahun 2015 ini mula menceburkan diri dalam perniagaan makanan dan minuman melalui pembukaan restoran pertama beliau iaitu Kedey Kamek pada tahun 2016 di Metrocity Square, Kuching, Sarawak. Namun, disebabkan misi Amin yang lebih besar untuk memperkenalkan Sarawak kepada rakyat Malaysia khususnya di Semenanjung telah menyebabkan kini beliau mempunyai tiga cawangan Restoran Kedey Kamek yang terletak di:

1) Taman Tun Dr Ismail (TTDI) 
2) Lalaport
3) Sunway Putra Mall


Hans sendiri berkesempatan untuk merasai sendiri pelbagai makanan dari Kedey Kamek ini seperti:

1) Laksa Sarawak Udang Galah
2) Mee Kolok
3) Mee Jawa Kambing
4) Linut Ikan Terubuk
5) Nasi Ayam Pansuh
6) Satay Sarawak
7) Udang Masak Lemak
8) Sarawak Teh C Peng Special 

Rasa hidangan disini bukan sahaja sedap tetapi bahan mentah yang digunakan sangat segar dan kuantiti makanan untuk semangkuk sangat banyak. Memang sangat berbaloi untuk berkunjung ke sini sambil menikmati rasa asli hidangan Sarawak yang cukup mempesonakan. 


Usai menikmati makanan, Amin sempat menitipkan pesan agar belajar dahulu selok belok perniagaan sebelum mula berniaga kerana perniagaan dan cara berniaga ini bukannya mudah. Berjaya menghadapi cabaran PKP akibat virus Covid-19 sebelum ini berjaya mematangkan beliau bahawa sebagai pemilik, beliau bukannya sekadar perlu menjadi bos tetapi perlu mengetahui setiap perkara daripada sekecil-kecilnya dan perlu mahir terhadap hal tersebut. Amin sendiri membuktikan beliau sentiasa turun padang, memasak dan menunjukkan cara penyediaan kepada para pekerja agar kualiti makanan di setiap cawangan menepati piawaian yang ditetapkannya.

Hans memang sangat kagum dengan anak muda ini yang telah membuktikan kejayaan bukan datang bergolek tetapi kesungguhan dan kesabaran telah berjaya membawa beliau ke tahap sekarang. Buat para pembaca sekalian, jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai SOCC Holdings Berhad dan Kedey Kamek, Hans kongsikan pautan di bawah sebagai rujukan untuk anda.

Kedey Kamek:

SOCC Holdings Berhad:

Post a Comment

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama