Rabu, 28 November 2018

Sambutan 135 Tahun Muzium Perak

Assalammualaikum semua. Kali ini Hans nak berkongsi tentang hari kedua program Jelajah Media bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC) dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) yang berlangsung pada 23 hingga 24 November 2018 yang lepas dimana Hans dan rakan media yang lain berpeluang meraikan sambutan 135 Tahun Muzium Perak.


Lebih bermakna kerana Hans berpeluang bertentang mata dan mendengar ucapan perasmian yang telah disempurnakan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah Al-Maghfur Lah bersama-sama Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuangku Zara Salim.


Apa yang menarik tentang Muzium Perak ini ialah muzium merupakan muzium pertama  dan tertua yang ditubuhkan di Semenanjung Malaysia. Ia dibina pada tahun 1883 dan kini sudah berusia 135 tahun. Idea pembinaan muzium ini dicetuskan oleh Residen Inggeris, Sir Hugh Low dan akhirnya disiapkan pada tahun 1910. Taiping dipilih sebagai tapak muzium, kerana pada ketika itu Taiping merupakan ibu negeri Perak.


Sir Hugh Low merasakan perlunya dibangunkan sebuah pusat, mengkaji budaya dan adat resam setempat untuk membolehkan pihak Inggeris dapat memahami dengan lebih berkenaaan cara hidup masyarakat tempatan supaya dapat membantu dan memudahkan pihak Inggeris mentadbir negara pada ketika itu.  


Hans turut tertarik dengan ucapan Sultan Perak yang inginkan muzium-muzium di seluruh Malaysia mempamerkan urutan cerita dan mempersembahkannya kepada pengunjung muzium untuk mencapai tujuan spesifik iaitu menyuntik semangat kenegaraan, semangat patriotisme, meniupkan roh keberanian, roh kepahlawanan, menyemaikan semangat perpaduan,semangat penyatuan dan melukiskan imej negatif pihak lawan seperti mana yang telah berjaya dilakukan oleh muzium-muzium di luar negara seperti Jepun, China, Israel dan New York. 


Jadi, Hans kongsikan serba sedikit tentang apakah keistimewaan Muzium Perak ini. Untuk pengetahuan semua pembaca, Muzium Perak ini sangat kaya dengan bahan koleksi etnologi, sejarah, alam semulajadi, arkeologi dan etamobologi yang sebahagiannya diklasifikasikan sebagai koleksi nadir berusia lebih 100 tahun. Muzium ini mempunyai empat galeri yang menarik dan dibahagikan mengikut bahagian iaitu:

Galeri A : Khas

Galeri B : Alam Semulajadi

Galeri C : Kebudayaan

Galeri D : Orang Asli Dan Koleksi Tembikar

Ada pelbagai lagi bahan pameran menarik yang terdapat di dalam Muzium Perak ini. Kalau nak tahu kena lah datang ke sini apabila anda berkunjung ke Taiping, Perak. Kepada sesiapa yang minat sangat bergambar, Muzium Perak sememangnya tempat yang sangat sesuai untuk anda berswafoto kerana terdapat pelbagai sudut-sudut menarik dan cantik di Muzium Perak ini.


Walaupun hanya 2 hari 1 malam namun pelbagai pengalaman, info serta maklumat terbaru tentang sejarah negara yang Hans peroleh pada Jelajah Media kali ini. Mudah-mudahan Hans akan dijemput lagi pada masa hadapan untuk menyertai sebarang aktiviti-aktiviti sebegini kerana Hans sememangnya sangat menyukai sejarah. Sekali lagi  Hans ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC) dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) kerana menjemput Hans untuk menyertai program Jelajah Media ini yang sangat bermakna ini. 


MUZIUM PERAK

Lokasi:
Muzium Perak,
Jalan Taming Sari,
34000 Taiping,
Perak.

Waktu Lawatan:
9.00 A.M - 6.00 P.M : Setiap Hari
Tutup :Hari Raya Pertama Aidilfitri & Aidiladha

Harga Tiket:
RM2 (Dewasa)
RM0 (Kanak-Kanak 12 Tahun Dan Ke Bawah)

Telefon:
05-807 2057

Fax:
05-806 3643

Laman Web:
Muzium Perak

Facebook:
Jabatan Muzium Malaysia

Instagram:
JabatanMuziumMalaysiaOfficial

P/S : Jika Berkunjung Ke Taiping Jangan Lupa Pastikan Muzium Perak Sebagai Satu Destinasi Pelancongan Wajib Untuk Anda!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com