Rabu, 28 Ogos 2019

Pakej MAEPS Food Hunt : Jom Makan Nasi Kandar Melayu Apollo

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Kali ini Hans ingin berkongsi dengan anda semua tentang pengalaman Hans mengikuti program lawatan MAEPS Agrotourism Park dimana pakej yang Hans ikuti ialah MAEPS Food Hunt yang menawarkan empat lokasi lawatan di dalam masa sehari. 


Jadi, destinasi ketiga Hans untuk pakej MAEPS Food Hunt kali ini ialah Nasi Kandar Melayu Apollo untuk menyelesaikan misi pemburuan makanan yang ketiga iaitu Makanan Utama (Main Course). Anda sebenarnya boleh memilih sama ada untuk makan tengahari di Goat2Go @Teknocafe atau Nasi Kandar Apollo tetapi memandangkan majoriti sebulat suara untuk makan nasi kandar maka mari bersama Hans untuk membongkar rasa kelazatan yang terdapat pada hidangan yang mempunyai nama yang unik ini.

MAEPS FOOD HUNT PACKAGES 

Pakej Harga:
RM65.00 (Dewasa)
RM50.00 (Kanak-Kanak Berumur 12 Tahun Dan Kebawah)

Waktu Program:
 Pilihan 1 :11.00 A.M - 2.00 P.M
Pilihan 2 : 4.00 P.M - 7.00 P.M

Aktiviti Yang Disediakan:

Pembuka Selera (Appetizer) :
Laman Herba

Sup & Makanan Ringan :
House Of Kambing (HOK)

Makanan Utama (Main Course) :
Anda Boleh Memilih Untuk Makan Di Goat2Go @Teknocafe atau Nasi Kandar Apollo

Pencuci Mulut (Dessert) :
Laman Nanas

*Pengangkutan Tram disediakan

Telefon (Pertanyaan & Tempahan):
0162073481 / 0162073452

Facebook:


Untuk makluman anda semua, nasi kandar yang terdapat di Restoran Nasi Kandar Apollo ini adalah berwarna kuning. Warna kuning kepada nasi kandar ini sebenarnya ibarat satu lambang buat mana-mana restoran nasi kandar yang berasal dari utara terutamanya Kedah dimana para peniaga pasti akan memastikan dan mengekalkan warna kuning terhadap nasi kandar yang dijual mereka. Restoran beroperasi setiap hari dimana anda sudah boleh menjamu selera disini bermula pada pukul 11.00 pagi sehingga pukul 10.00 malam.


Dari segi harga, Hans merasakan harganya sangat berpatutan dan menepati harga mana-mana restoran lain yang menjual nasi kandar. Selalunya para pelanggan yang hadir ke sini akan mencuba atau menyukai menu istimewa Restoran Nasi Kandar Apollo iaitu Set Full yang mengandungi ayam, bendi, cili hijau, sayur kobis, telur rebus dan ikan masing yang hanya berharga RM10 sahaja. Selain itu, Set Tuna yang mengandungi kari tuna, bendi, ikan masin dan sayur kobis serta Set Kambing yang mengandungi kambing masala serta serta sayur kobis dimana setiap menu ini berharga cuma RM15 sahaja turut menjadi menu pilihan para pelanggan setia mereka disini. 


Hans yakin pasti ramai yang tertanya-tanya kenapa nama nasi kandar ini Apollo? Adakah Apollo yang dimaksudkan ialah snek makanan ringan yang terkenal itu? Jika anda berfikiran sedemikian maka diminta buangnya terus jauh-jauh kerana Apollo ini sebenarnya adalah sejenis periuk berbentuk silinder, tinggi dan berbentuk muncung di hujungnya dimana ia merupakan peralatan memasak yang sangat popular di kalangan penduduk negeri Kedah terutama sewaktu tibanya musim kenduri kahwin. Periuk Apollo ini mempunyai 12 rak untuk meletak dulang beras dimana ianya boleh disajikan buat 300 orang untuk sekali masak.


Jadi, tiba waktu untuk Hans mencuba sendiri Nasi Kandar Apollo ini buat pertama kalinya. Menariknya disini ialah kari yang disediakan disini tidak menggunakan santan tetapi kepekatan dan rasa kuah kari yang disediakan disini seperti kari ayam dan kari ikan memberikan rasa yang menyelerakan. Ditambah pula dengan kuah hitam yang dicampurkan sekali dengan nasi telah memberikan satu aroma makanan yang begitu menggiurkan. Dimakan pula bersama ayam goreng masala yang rangup dan segar membuatkan Hans berpuas hati dengan hidangan nasi kandar yang disediakan di Restoran Nasi Kandar Apollo ini. Peminat nasi kandar perlu mencuba hidangan nasi kandar disini jika anda peminat nasi kandar sejati.


Di Restoran Nasi Kandar Apollo ini juga menawarkan sebuah minuman istimewa yang anda wajib cuba iaitu Teh Ais Puding dimana di dalam air ini terdapat puding yang sangat sedap. Rasanya yang pekat dan manis sememangnya akan melengkapkan makanan tengahari anda dengan memberikan satu pengalaman manis yang pasti tidak akan anda lupakan. 


Selain itu, Restoran Nasi Kandar Apollo ini juga menawarkan pemandangan indah dimana anda akan dapat melihat pelbagai jenis rumah dan bangunan tradisional mengikut setiap negeri yang berada bertentangan dengan hadapan restoran ini. Anda boleh melawat kawasan rumah-rumah ini dengan menyeberang jambatan yang disediakan dan bergambar di pelbagai sudut menarik yang disediakan di setiap kawasan rumah serta bangunan tradisional tersebut. Hans pada hari kejadian pula mengambil keputusan untuk memancing ikan menggunakan joran kayu biasa. Memang sudah lama tidak memancing dan sesekali memancing sememangnya menyeronokkan. Lebih menyeronokkan jika mata kail disambar ikan yang berada di dalam sungai di hadapan restoran ini. Memang seronok!


Bagi Hans, memilih pakej MAEPS Food Hunt ini pada Hans sangat berbaloi kerana dengan hanya bayaran sebanyak RM65 sahaja, Hans mampu melawat dan menikmati makanan di setiap lokasi yang berada di dalam pakej ini dimana setiap makanan yang disediakan bukannya makanan biasa-biasa tetapi makanan luar biasa yang jika dibeli diluar sangat mahal tetapi disini anda dapat menikmatinya dengan harga yang sangat murah dan semestinya rasanya sangat lazat dan menggiurkan anda nanti. Jom ramai-ramai ambil peluang ini untuk mencuba Pakej Food Hunt yang disediakan di dalam program MAEPS Agrotourism Park ini. Serius sangat menguntungkan! 

2 ulasan:

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com