Sabtu, 6 April 2019

Hidangan Minuman Herba Di Taman Herba Tasik Kenyir

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah terlibat di dalam program Ekspresi Media-Kenyir 2019 anjuran Tourism Malaysia yang berlangsung pada 17 hingga 21 Mac 2019 yang lepas. Jadi, sepanjang empat hari empat malam Hans berada di bumi Terengganu sememangnya terdapat pelbagai memori menarik yang ingin Hans kongsikan kepada semua pembaca.


Lokasi seterusnya yang menarik untuk dikunjungi jika anda ke Tasik Kenyir ialah Taman Herba Tasik Kenyir. Taman Herba ini terletak di Pulau Sah Kecil yang mengambil masa perjalanan selama 10 minit jika anda bertolak dari Jeti Pengkalan Gawi.


Di Taman Herba Tasik Kenyir ini, Hans dan rakan-rakan media yang lain berpeluang melihat lebih daripada 200 jenis pokok herba tradisional yang ditanam di kawasan ini. Antaranya seperti pokok Tongkat Ali Hitam, Tongkat Ali Putih, Kacik Fatimah, Misai Kucing, Mas Cotek, Cekur Hitam dan banyak lagi.


Tetapi, apa yang lebih menarik ialah kedatangan Hans kesini bukan sekadar melihat rupa pokok herba serta membaca info berkaitan fungsi setiap pokok herba semata-mata. Tetapi, Hans juga berpeluang untuk merasa sendiri hidangan minuman herba yang disediakan secara percuma disini kepada setiap pelancong yang berkunjung ke Taman Herba Tasik Kenyir.


Terdapa tiga jenis minuman herba yang mempunyai pelbagai zat dan khasiat disediakan untuk para pengunjung iaitu minuman campuran tongkat ali putih dan tongkat ali hitam, minuman kacip fatimah dan daun mas cotek serta minuman buah mahkota dewa. Sebenarnya ketiga-tiga jenis minuman herba ini boleh diminum oleh lelaki mahu pun wanita tetapi ada had dan peraturannya. Hans difahamkan minuman herba ini boleh diamalkan satu atau dua kali minum di dalam seminggu. Jadi, kepada para pembaca yang membaca kisah ini jangan pula nanti hari-hari anda minum pula minuman herba. Lain jadinya nanti! Haha!


Hans mencuba ketiga-tiga minuman herba. Rasa minuman buah mahkota dewa seakan-akan air masak sahaja cuma masih ada sedikit kelainan rasa. Manakala minuman herba campuran kacip fatimah dan daun mas cotek seakan-akan rasa teh bunga tawar yang seronok untuk diminum. Manakala minuman herba campuran tongkat ali putih dan tongkat ali hitam pada mulanya terasa agak pahit di lidah Hans namun lama kelamaan Hans agak menyukai rasanya yang sedikit pahit dan kelat. Satu pengalaman menarik buat Hans kerana merasa hidangan minuman herba yang segar dan asli. 


Di Taman Herba Tasik Kenyir juga terdapat kedai yang menjual beberapa herba yang boleh anda beli untuk dibawa pulang ke rumah untuk dimasak, direbus dan diminum. Hans pun beli juga sebungkus tongkat ali putih untuk diminum nanti bila berada di rumah.


Jadi, jika anda ke Tasik Kenyir sila pastikan anda singgah di Taman Herba ini untuk mencuba sendiri hidangan minuman herba yang mempunyai pelbagai jenis rasa dan khasiat yang sangat bagus untuk tubuh badan kita.

P/S : ANTARA LOKASI MENARIK LAIN YANG BOLEH DIBACA SEPANJANG EKSPRESI MEDIA-KENYIR 2019 ADALAH SEPERTI DI BAWAH:





















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com