Keindahan Air Terjun Lasir Di Tasik Kenyir

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah terlibat di dalam program Ekspresi Media-Kenyir 2019 anjuran Tourism Malaysia yang berlangsung pada 17 hingga 21 Mac 2019 yang lepas. Jadi, sepanjang empat hari empat malam Hans berada di bumi Terengganu sememangnya terdapat pelbagai memori menarik yang ingin Hans kongsikan kepada semua pembaca.


Setelah badan mulai terasa bergetah akibat sakan berpeluh selepas melakukan dua aktiviti menarik iaitu menjejak Pokok Melunak dan Gua Bewah maka inilah saat yang Hans nanti-nantikan sejak kali pertama tiba di Tasik Kenyir iaitu bermandi-manda di kawasan Air Terjun Lasir.


Untuk pengetahuan semua, Tasik Kenyir sebenarnya menawarkan banyak pilihan air terjun yang begitu cantik pemandangannya serta bersih kualiti airnya. Antara lokasi air terjun yang boleh anda lawati ialah Air Terjun Lasir, Air Terjun Saok dan Air Terjun Pertuang. Jadi, dengan masa yang singkat Hans memang bergegas menuju kawasan Air Terjun Lasir ini dengan niat utama untuk bermandi-manda selama yang boleh.


Setiap kawasan air terjun di Tasir Kenyir dilengkapi dengan papan tanda, kawasan persalinan pakaian serta kawasan rehat bagi memudahkan para pengunjung sepanjang melakukan aktiviti disini. Begitu juga dengan kawasan Air Terjun Lasir yang mempunyai beberapa papan tanda yang memaklumkan pelbagai info serta panduan kepada pengunjung yang datang ke kawasan ini.


Pelbagai aktiviti air yang menarik boleh dilakukan di Air Terjun Lasir yang terletak sejauh 16 kilometer dari Jeti Pengkalan Gawi. Cuma mengambil masa 30 minit dengan menaiki bot laju, kedatangan anda akan disambut dengan deruan air terjun setinggi 500 kali yang membuatkan suasana sekitar air terjun terasa begitu dingin.


Terdapat jambatan gantung disediakan buat pengunjung yang ingin menyeberang ke sebelah. Hans mengambil peluang untuk mengambil gambar serta merakam video air terjun Lasir di atas jambatan tersebut dan hasilnya seperti video di bawah.


Kawasan mandi di Air Terjun Lasir ini sebenarnya berpasir dan terdapat beberapa tempat yang kedalaman airnya adalah sangat dalam. Lebih menarik ialah anda dapat menemui ikan-ikan kecil di kawasan air terjun Lasir ini yang menggigit manja kaki anda. Memang rasa seronok sangat apabila mandi dekat sini,


Hans amat sarankan buat sesiapa yang tidak pandai berenang agar memakai jaket keselamatan supaya anda tidak lemas kerana kawasan mandi disini memang sangat dalam tahap ketinggian airnya. Lebih mendebarkan ialah kawasan bawah air iaitu tempat anda berpijak ialah pasir lembut yang membuatkan anda akan lebih tenggelam sewaktu bergerak di atasnya jika tidak memakai jaket keselamatan. Jadi, sangat wajib buat sesiapa yang tidak pandai berenang untuk memastikan keselamatan diri anda dititik beratkan. Jika pandai berenang pun Hans sarankan untuk anda ambil langkah berhati-hati dengan memakai juga jaket keselamatan ini.


Hans merupakan seorang manusia yang tidak tahu berenang. Pada mulanya Hans memang tidak terfikir untuk memakai jaket keselamatan kerana merasakan kawasan air tempat untuk mandi-manda di Air Terjun Lasir ini tidak dalam. Tetapi, atas nasihat rakan-rakan maka Hans pun pakai juga dan tindakan Hans tersebut sangat tepat kerana memang ada kawasan-kawasan tertentu di Air Terjun Lasir ini yang sangat dalam.


Bayangkan Hans sendiri pun boleh tenggelam ke bawah kalau tidak memakai jaket keselamatan. Ada satu situasi yang agak lucu buat Hans dimana Hans pergi mandi di kawasan yang memang kedalaman airnya sangat dalam tetapi dengan memakai jaket keselamatan. Sampai di tengah-tengah tiba-tiba kaki Hans tidak dapat jejak permukaan pasir menyebabkan Hans terapung-apung sahaja di kawasan tengah. Ada rakan-rakan media yang ajak Hans bergambar tetapi Hans tidak dapat menuju ke arah mereka kerana air menolak Hans. Akhirnya, rakan-rakan media datang berenang membantu menarik Hans ke tempat cetek dengan bersusah payahnya. Hahaha!


Apa-apapun, Hans berjaya melepaskan gian apabila dapat bermandi sepuas hati di kawasan Air Terjun Lasir ini. Tetapi, seperti biasa aktiviti mandi di kawasan alam semula jadi ini tidak kiralah air terjun, sungai mahu pun laut pasti membuatkan kita tidak sedar masa terlalu cepat berlalu. Hans rasa macam baru sepuluh minit sahaja mandi tetapi apabila tengok jam rupa-rupanya dah satu jam berendam dalam air. Rasa tak puas betul mandi sebab seronok sangat mandi dekat sini. Air bersih! Ada anak ikan di tepi-tepi kaki! Ambil gambar pun cantik! Memang wajib datang ke Air Terjun Lasir ini kalau anda bercuti di Tasik Kenyir.


Sememangnya kawasan Air Terjun Lasir menawarkan satu memori indah buat sesiapa yang menggemari aktiviti mandi-manda di kawasan air terjun. Cuma sekali lagi Hans ingatkan bahawa anda perlu menitik berat perihal keselataman disebabkan kedalaman air di beberapa kawasan Air Terjun Lasir ini yang agak merbahaya buat anda yang tidak pandai berenang. Selamat bermandi-manda di Air Terjun Lasir kepada bakal pengunjung Tasir Kenyir selepas ini.

P/S : ANTARA LOKASI MENARIK LAIN YANG BOLEH DIBACA SEPANJANG EKSPRESI MEDIA-KENYIR 2019 ADALAH SEPERTI DI BAWAH:





















2 Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

  1. Bestnyaa. Lawa air terjun tu. Wahh

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe
      memang lawa
      tak puas mandi hari tu padahal dekat sejam lebih..haha

      Padam

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama