Rabu, 3 April 2019

Uptown Kontena Dapo Pata

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah terlibat di dalam program Ekspresi Media-Kenyir 2019 anjuran Tourism Malaysia yang berlangsung pada 17 hingga 21 Mac 2019 yang lepas. Jadi, sepanjang empat hari empat malam Hans berada di bumi Terengganu sememangnya terdapat pelbagai memori menarik yang ingin Hans kongsikan kepada semua pembaca.



Lokasi menarik seterusnya yang terdapat di Terengganu ialah Uptown Kontena Dapo Pata yang terletak di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus. Apa yang menariknya disini setiap kedai yang terdapat disini menjadikan kontena sebagai premis perniagaan mereka.


Alamat:
PT 31964,
Kg.Tok Jembal,
21000 Kuala Nerus,
Terengganu,
Malaysia.

Nombor Telefon:
+6010 800 1383

Waktu Operasi:
5:00 p.m – 2:00 a.m 

Facebook:


Hans tertarik untuk mengetahui apa maksud sebenar Dapo Pata. Rupa-rupanya Dapo Pata ini ialah sebutan orang Terengganu yang merujuk kepada Dapur Pantai. Disini terdapat pelbagai premis makanan dan minuman yang menyediakan pelbagai jenis masakan untuk para pengunjung yang ingin makan sambil bersantai menghirup udara pantai yang nyaman.


Hans sangat tertarik dengan Uptown Kontena Dapo Pata ini kerana ia didirikan di kawasan berdekatan dengan tepi pantai. Disebabkan itu ramai orang tempatan khususnya golongan muda memilih untuk datang ke sini bukan sahaja untuk menikmati hidangan makanan yang lazat tetapi juga untuk merasai angin pantai serta keindahan pasir pantai yang memutih. Hans sendiri sangat gembira dengan pemandangan di sekitar kawasan ini yang sangat cantik dan begitu menarik untuk sesiapa yang suka merakam atau mengambil gambar pantai di waktu malam.


Hans juga dimaklumkan bahawa Uptown Kontena Dapo Pata ini sangat meriah terutamanya pada hujung minggu kerana pihak pengurusan disini memberi peluang kepada pelbagai golongan artis seni seperti ahli muzik, pelukis, pemain api atau ular, ahli silap mata dan ramai lagi untuk membuat persembahan di kawasan ini. Sayangnya Hans tiba disini pada hari biasa dan pada waktu yang sudah agak lewat. Jadi, Hans terlepas untuk merasai suasana kemeriahan seperti yang diceritakan kepada Hans oleh orang tempatan yang ditemui disini.


Hans melihat Uptown Kontena Dapo Pata mempunyai potensi besar di dalam menarik pengunjung luar dari negeri Terengganu untuk datang ke sini. Bukan sahaja disebabkan konsep premis kedai yang menggunakan kontena dan kelihatan hipster semata-mata tetapi juga kerana keindahan pantainya di waktu malam yang pasti akan memberikan satu pengalaman menarik buat anda yang berkunjung ke sini.


Jadi, jika anda berkunjung ke negeri Terengganu maka Hans sarankan untuk anda mengambil kesempatan untuk melawat Kuala Nerus dan singgah di Uptown Kontena Dapo Pata untuk menikmati hidangan-hidangan yang menyelerakan dengan harga yang berpatutan sambil ditemani angin serta suasana pantai yang cukup mengasyikkan. Anda pasti tidak akan menyesal datang kesini.

P/S : ANTARA LOKASI MENARIK LAIN YANG BOLEH DIBACA SEPANJANG EKSPRESI MEDIA-KENYIR 2019 ADALAH SEPERTI DI BAWAH:





















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com