Masjid Tengku Tengah Zaharah

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah terlibat di dalam program Ekspresi Media-Kenyir 2019 anjuran Tourism Malaysia yang berlangsung pada 17 hingga 21 Mac 2019 yang lepas. Jadi, sepanjang empat hari empat malam Hans berada di bumi Terengganu sememangnya terdapat pelbagai memori menarik yang ingin Hans kongsikan kepada semua pembaca.


Jadi, lokasi pertama yang ingin Hans kongsikan dengan para pembaca sekalian ialah Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung yang terletak di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu. Masjid ini dikenali sebagai masjid terapung oleh penduduk setempat disebabkan ia kelihatan seperti terapung di atas air yang berada di sekeliling kawasan perkarangan masjid.


Masjid Tengku Tengah Zaharah atau digelar Masjid Terapung ini mempunyai keluasan 1,372 meter persegi dengan menara setinggi 38 meter dan dikelilingi air sedalam 1.5 meter. Masjid yang dibina di atas pelantar terapung air di muara Sungai Ibai ini mempunyai keunikan tersendiri dengan menampilkan ciri-ciri Tamadun Islam dan gabungan senibina tempatan.


Masjid ini dinamakan sempena bonda Al-Marhum Sultan Terengganu Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah iaitu Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja. Hans dimaklumkan bahawa keluasan ruang solat masjid terapung ini mampu menampung jemaah sekitar 1000 orang dimana ia terbahagi kepada dua buah dewan solat iaitu dewan solat lelaki yang terletak di bahagian bawah manakala dewan solat wanita pula berada di bahagian atas.


Masjid yang terletak lebih kurang lima kilometer dari bandar Kuala Terengganu ini mula dibina pada bulan September 1991 dengas kos sekitar RM6.997 juta dan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 1994. Reka bentuk masjid ini dihasilkan oleh seorang arkitek yang merupakan anak jati negeri Terengganu sendiri iaitu Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.


Dapat dilihat masjid ini menampilkan ciri-ciri tamadun Islam serta gabungan seni bina tempatan dan menjadikannya sebagai salah sebuah masjid yang tercantik di Malaysia dan popular di kalangan masyarakat Islam tempatan.


Alhamdulillah Hans bersyukur kerana berpeluang untuk bersolat subuh di Masjid Tengku Tengah Zaharah ini kerana selain berpeluang mendengar alunan azan subuh yang sangat merdu, Hans juga turut berkesempatan merasai dan melihat sendiri bagaimana matahari mula muncul menerangi kawasan Kuala Ibai di Kuala Terengganu ini.


Selain dimeriahkan dengan pelbagai kedai makan serta kedai menjual cenderahati di sekitar kawasan Masjid Tengku Tengah Zaharah ini, Hans juga turut gembira untuk melihat hidupan-hidupan air seperti ikan dan siput yang terdapat di sekeliling kawasan masjid. Memang satu pengalaman yang sangat menarik dapat bersolat subuh di masjid terapung ini.


Hans juga begitu tertarik dengan pemandangan kawasan sekitar Masjid Tengku Tengah Zaharah ini yang bukan sekadar cantik di pandang tetapi juga menawarkan pemandangan indah dan sangat bersesuaian untuk aktiviti riadah bersama keluarga atau pun perseorangan.


Kepada sesiapa yang datang berkunjung ke Kuala Terengganu terutamanya Kuala Ibai jangan lepaskan peluang untuk singgah ke Masjid Tengku Tengah Zaharah ini untuk bersolat disamping merakam kenangan serta menikmati sendiri keindahan kawasan yang ditawarkan di sekitar masjid terapung ini.


P/S : ANTARA LOKASI MENARIK LAIN YANG BOLEH DIBACA SEPANJANG EKSPRESI MEDIA-KENYIR 2019 ADALAH SEPERTI DI BAWAH:




















Post a Comment

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama