Menaiki Beca Di Lokasi Menarik Kuala Terengganu

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah terlibat di dalam program Ekspresi Media-Kenyir 2019 anjuran Tourism Malaysia yang berlangsung pada 17 hingga 21 Mac 2019 yang lepas. Jadi, sepanjang empat hari empat malam Hans berada di bumi Terengganu sememangnya terdapat pelbagai memori menarik yang ingin Hans kongsikan kepada semua pembaca.


Akhirnya, Hans dan rakan media yang lain dibawa ke tempat penginapan kami yang terletak di bandar Kuala Terengganu iaitu Hotel Paya Bunga. Memandangkan jadual aktiviti yang padat maka Hans hanya sempat meletakkan barang di dalam bilik dan bersiap-siap untuk melakukan aktiviti seterusnya iaitu 'City Tour' di sekitar kawasan Pasar Payang di Kuala Terengganu.


Tetapi, apa yang menariknya tentang aktiviti 'City Tour' kali ini ialah Hans akan dibawa melawat beberapa lokasi menarik dan bersejarah dengan menaiki beca bermula dari hadapan Hotel Paya Bunga. Serius Hans memang rasa teruja kerana sudah sekian lama tidak menaiki beca.


Cuma Hans melihat industri dan masa depan pengangkutan beca di Kuala Terengganu ini agak berbeza dan kelihatan sedikit mendung jika dibandingkan dengan negeri Melaka dimana golongan belia di negeri Terengganu kelihatan tidak berminat untuk meneruskan tradisi pekerjaan ini. Hans mengatakan tentang hal ini disebabkan keseluruhan pengayuh beca yang membawa Hans dan rakan-rakan lain semuanya berusia 40 tahun di atas dimana pengayuh beca paling tua dikatakan berumur 80 tahun.


Pakcik Omar yang merupakan seorang pengayuh beca yang terlibat di dalam aktiviti City Tour kali ini merupakan pengayuh beca yang membawa Hans menjelajah setiap pelosok kawasan Kuala Terengganu terutamanya sekitar kawasan Pasar Payang. Pakcik Omar yang berusia lebih daripada 70 tahun ini berjaya mengagumkan Hans dengan kekuatan yang dimilikinya di dalam mengayuh beca yang mengandungi muatan berat yakni Hans sendiri tanpa mengeluh walau sedikit pun. Lebih membanggakan Hans ialah stamina Pakcik Omar sangat tinggi dan dia juga tidak memiliki sebarang penyakit berbahaya atau penyakit tiga serangkai seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Memang hebat!


Hasil perbualan Hans dengan Pakcik Omar sewaktu menaiki beca, Hans telah diberitahu jarak perjalanan maksimum mereka mengayuh beca membawa pelanggan adalah sejauh 30 kilometer dengan caj yang dikenakan hanya RM20 sahaja. Hans agak seronok mendengar pelbagai pengalaman hidup Pakcik Omar yang telah membawa beca sejak berusia 18 tahun lagi. Kalau nak tahu lebih lanjut, anda kena datang sendiri ke Kuala Terengganu ini dan pastikan anda naik beca untuk merasai pengalaman yang Hans telah nikmati disini.


Jadi, lokasi seterusnya yang Hans lalui dan singgah sepanjang menaiki beca untuk aktiviti City Tour ini ialah Kampung China yang terletak berdekatan dengan kawasan Pasar Payang. Hans pasti sesiapa yang datang kesini pasti terpegun dengan elemen klasik yang wujud pada hasil seni dan reka bentuk deretan kedai ini yang berwarna-warni dan sangat menarik untuk dijadikan sebagai aktiviti bergambar bagi penggemar fotografi.


Kampung China yang berusia lebih 300 tahun ini menawarkan beberapa kawasan menarik yang perlu anda jejaki iaitu Lorong Warisan Dunia, Lorong Kenangan, Lorong Penyu dan pelbagai lagi daya tarikan lain. Kepada yang masih tidak tahu, kawasan ini merupakan tempat tinggal buat para pedagang yang datang berdagang dari Selatan China. Hasil perkahwinan campur serta asimilasi budaya yang berlaku di kawasan ini menjadikan generasi penduduk asal di kawasan Kampung China ini dipanggil sebagai generasi Peranakan.


Di salah satu bangunan kedai disini terdapat sebuah kedai yang menyediakan bahan serta info sejarah tentang Kampung China. Satu pengalaman yang menarik apabila Hans dapat berbual dengan seorang lelaki Cina Peranakan yang bukan sekadar fasih berbahasa Melayu loghat Terengganu tetapi juga mahir di dalam menulis dan membaca bahasa Jawi. Cara hidup, pakaian serta pemakanan mereka juga lebih mirip dengan kaum Melayu. Hans dimaklumkan bahawa wanita Cina Peranakan disini mahir memasak nasi dagang dan keropok lekor. Sayang Hans tidak berkesempatan untuk merasainya pada kali ini.


Kampung China menawarkan satu sudut lorong kenangan dimana disini terdapat beberapa bahan binaan serta barang yang berusia sangat lama. Dihiasi dengan lukisan menarik di bahagian dinding deretan kedai membuatkan anda tidak akan sedar banyak masa dihabiskan semata-mata untuk mendapatkan gambar yang terbaik sewaktu melakukansesi fotografi disini.


Lebih menarik disini juga terdapat satu kawasan iaitu Lorong Penyu dimana Hans berjaya mendapat pelbagai info berkaitan penyu. Turut dikhabarkan kawasan ini merupakan kawasan pertama yang dikatakan tempat penyu ditemui mendarat di Kuala Terengganu ini.


Hans menyarankan agar anda datang ke Kampung China ini sewaktu Pesta Peranakan Terengganu kerana pelbagai aktiviti menarik diadakan terutamanya persembahan kebudayaan, demo masakan dan juga seni jalanan. Hans diberitahu bahawa sewaktu pesta berlangsung, kaum wanita peranakan ini akan memakai sarung kebaya yang diilhamkan daripada pakairan tradisional Melayu. Jadi, pastikan anda datang ke Kampung China yang terletak di Kuala Terengganu ini untuk melihat sendiri budaya, cara hidup serta mendengar sendiri tutur kata masyarakat Cina Terengganu yang fasih berbahasa Melayu di dalam loghat Terengganu. Hans pasti anda akan menyukai dan jatuh hati dengan suasana di sini.

P/S : ANTARA LOKASI MENARIK LAIN YANG BOLEH DIBACA SEPANJANG EKSPRESI MEDIA-KENYIR 2019 ADALAH SEPERTI DI BAWAH:




















4 Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

  1. Banyak jugak rupanya tempat menarik kat sana ek.. Dah pergi banyak kali tp tak pernah tau kewujudan sestgh tempat yg menarik ni..

    BalasPadam
    Balasan
    1. betul tu
      banyak sebenarnya tempat menarik
      ada yang Hans tak singgah tetapi rakan media lagi pergi sebab dok sibuk ambil gambar dan buat video
      hahaha

      Padam
  2. pernah sekali naik beca di Terengganu. short distance saja.. menarikla lagi2 lalu kawasan yang kedai2 cina jual batik tu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups
      betul tu
      lagi menarik kalau pergi masa festival peranakan tu

      Padam

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama