Pokok Melunak Terbesar Di Malaysia

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah terlibat di dalam program Ekspresi Media-Kenyir 2019 anjuran Tourism Malaysia yang berlangsung pada 17 hingga 21 Mac 2019 yang lepas. Jadi, sepanjang empat hari empat malam Hans berada di bumi Terengganu sememangnya terdapat pelbagai memori menarik yang ingin Hans kongsikan kepada semua pembaca.


Hari kedua program Ekspresi Media-Kenyir 2019 akhirnya membawa Hans serta rakan-rakan media yang lain menjejakkan kaki di Tasik Kenyir. Jadi, aktiviti pertama kami untuk hari kedua ini ialah menjejak sebuah pokok yang dikatakan sebagai pokok terbesar yang boleh ditemui di Semenanjung Malaysia iaitu Pokok Melunak. Hans dimaklumkan bahawa pokok Melunak ini sebenarnya dijumpai secara tidak sengaja oleh Encik Mohd Khairul Abu Bakar yang ketika itu bersama dengan kumpulannya pada tahun 2013.


Untuk melihat pokok Melunak memerlukan Hans tiba terlebih dahulu di kawasan Melunak Trail. Jadi perjalanan ke sana dari Jeti Pengkalan Gawi adalah lebih kurang 36 kilometer. Jadi, sepanjang perjalanan Hans dihidangkan dengan sebuah pemandangan alam semula jadi yang sangat menarik dimana air tasik kenyir berwarna hijau turquoise sambil ditemani bukit bukau menghijau serta langit yang dipenuhi gumpalan awan yang memikat pandangan mata.


Untuk pengetahuan semua, kawasan Melunak Trail terletak bersebelahan dengan Gua Bewah yang menyimpan pelbagai kisah menarik untuk para pengunjung yang datang ke Tasik Kenyir. Selain itu, Hans dan rakan media lain berpeluang melihat jujuran bukit batu kapur Gua Bewah sewaktu dalam perjalanan menuju ke Pokok Melunak. Hans turut diberitahu bahawa bukit batu kapur yang terdapat di Tasik Kenyir ini merupakan satu-satunya bukit batu kapur yang ada di Negeri Terengganu. Menarik bukan?


Akhirnya, Hans tiba di jeti kawasan Melunak Trail yang sekali lagi menawarkan satu visual pemandangan indah yang pasti tidak akan dapat dilupakan Hans sepanjang program ini berlangsung. Daripada jeti ini, Hans perlu berjalan kaki merentas hutan belantara sejauh 2 kilometer yang mengambil masa sekitar 30 minit sebelum Hans tiba di lokasi terletaknya pokok terbesar di Tasik Kenyir ini iaitu Pokok Melunak.


Namun, kawasan Melunak Trail ini bukan seperti kawasan hutan lain yang bebas untuk para pengunjung melakukan aktiviti seperti jungle tracking dan sebagainya tanpa pengawasan serta bantuan daripada pemandu pelancong disini kerana kawasan ini masih merupakan habitat bagi haiwan-haiwan liar yang tinggal bebas di dalam hutan di Tasik Kenyir ini.


Satu perkara yang menarik pada aktiviti menjejak pokok Melunak ini ialah di beberapa kawasan Melunak Trail, Hans berpeluang melihat kesan-kesan tapak kaki haiwan liar seperti gajah, harimau, beruang dan tapir seperti video yang Hans kongsikan di atas.


Gambar di atas merupakan tapak kaki haiwan liar bernama harimau. Sememangnya sedikit menggerunkan juga apabila Hans memikirkan tentang hal ini tetapi memikirkan panduan serta nasihat yang diberikan sebelum memulakan aktiviti ini menjadikan Hans tidak terlalu memikirkan tetapi lebih bersemangat untuk melihat pokok Melunak di hadapan mata.


Salah satu petua yang dikongsikan kepada Hans sebelum aktiviti bermula ialah jangan terlalu membuat bising sewaktu berjalan menjejak pokok Melunak ini kerana bunyi suara kita akan menarik perhatian haiwan-haiwan liar untuk datang ke arah kita kerana sifat ingin tahu haiwan-haiwan ini yang sangat tinggi. Jadi, sila jaga nada suara serta percakapan anda apabila terlibat di dalam aktiviti di hutan seperti ini.


Hans bukannya sejenis manusia yang aktif bersukan tetapi satu lagi perkara menarik yang berlaku sepanjang aktiviti disini ialah stamina Hans sangat tinggi sepanjang melakukan pelbagai aktiviti di Tasik Kenyir ini. Hans begitu bersemangat melalui setiap kawasan hutan disini yang memberikan pelbagai halangan dan cabaran yang menarik sebelum Hans betul-betul tiba di hadapan pokok Melunak.


Jika sebelum ini sewaktu di Bukit Maras, Hans berpeluang mendengar bunyi riang-riang yang sangat unik. Tetapi, kali ini Hans berpeluang untuk melihat sendiri wajah serangga bernama riang-riang ini. Rupa-rupanya boleh tahan besar saiznya. Riang-riang pada gambar di atas ini sebenarnya telah pun mati. Hans dimaklumkan bahawa riang-riang jantan akan mati selepas melakukan proses pembiakan dengan riang-riang betina. Nasib manusia tidak seperti riang-riang. Bersyukurlah menjadi manusia yer wahai pembaca sekalian! Hahaha!


Alhamdulillah! Setelah bermandi keringat akhirnya Hans dapat melihat sendiri di hadapan mata wajah serta saiz sebenar pokok Melunak yang sering disebut-sebut sebelum ini. Inilah pokok Melunak yang bersaiz mega dan dianggarkan pokok ini merupakan pokok yang paling besar dapat ditemui di kawasan semenanjung Malaysia. Hans turut dimaklumkan usia pokok ini dianggarkan di dalam lingkungan 314 tahun lebih. Saiz ukur lilit pokok yang berketinggian 100 kaki ini bersamaan dengan lilitan tangan 22 hingga 24 orang manusia.


Melunak adalah sejenis pokok kayu keras yang merupakan spesis Pentace. Pokok ini juga turut mempunyai nilai yang sangat tinggi terutama di dalam sektor pembalakan. Jika melihat pada zaman terdahulu, masyarakat sekitar menggunakan pokok ini untuk dijadikan sebagai tiang-tiang utama di dalam pembinaan rumah kerana kekuatan batang pokoknya yang memastikan rumah berdiri kukuh.


Serius rasa penat yang anda hadapi pasti hilang kerana rasa berbaloi dapat menatap sendiri pokok Melunak terbesar di Malaysia ini. Bayangkan Hans yang besar pun kelihatan kecil sahaja apabila bergambar di batang pokok ini. Memang satu pengalaman menarik yang Hans tidak akan dapat lupakan sepanjang program Ekspresi Media-Kenyir 2019 anjuran Tourism Malaysia ini.


Selepas selesai aktiviti ini, Hans dan rakan media yang lain berpeluang makan tengahari sambil merendam kaki di dalam air yang dipenuhi anak-anak ikan di sekeliling kawasan jeti disini. Ini juga merupakan satu kenangan menarik kerana dapat makan sambil ditemani keindahan flora dan fauna yang sukar untuk ditemui di kawasan lain.


Jadi, pastikan anda menjejaki pokok terbesar di Malaysia ini iaitu Pokok Melunak sekiranya anda berkunjung ke Tasik Kenyir. Memang satu pengalaman yang bukan sahaja menarik tetapi sangat bermakna apabila anda dapat melihat sendiri keajaiban serta keindahan alam semula jadi ciptaan Allah S.W.T yang sangat memberi makna dan membuatkan hati anda terkesan dengan kebesaran sang pencipta saat anda melihat batang pokok Melunak ini. Selamat menjejak pokok Melunak di Tasik Kenyir buat para pembaca sekalian!

P/S : ANTARA LOKASI MENARIK LAIN YANG BOLEH DIBACA SEPANJANG EKSPRESI MEDIA-KENYIR 2019 ADALAH SEPERTI DI BAWAH:





















Post a Comment

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama